Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NWC: Bayaran khas, kenaikan gaji untuk pekerja gaji rendah

Majlis Gaji Kebangsaan saran kenaikan gaji sekurang-kurangnya 5.5% bantu pekerja gaji rendah tangani kos sara hidup tinggi
Oct 31, 2023 | 5:32 PM
SARANAN GAJI: Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) Encik Peter Seah (dua dari kiri) mengumumkan saranan  untuk meningkatkan gaji pekerja bergaji rendah. Bersama beliau adalah Presiden NTUC, Cik Mary Liew (kiri), Presiden Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), Encik Robert Yap (dua dari kanan), dan Timbalan Setiausaha (Tenaga Kerja) Kementerian Tenaga Manusia, Encik Kenny Tan (paling kanan).
SARANAN GAJI: Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) Encik Peter Seah (dua dari kiri) mengumumkan saranan untuk meningkatkan gaji pekerja bergaji rendah. Bersama beliau adalah Presiden NTUC, Cik Mary Liew (kiri), Presiden Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), Encik Robert Yap (dua dari kanan), dan Timbalan Setiausaha (Tenaga Kerja) Kementerian Tenaga Manusia, Encik Kenny Tan (paling kanan). - Foto ST

Pekerja bergaji rendah yang memperoleh gaji kasar bulanan sehingga $2,500 harus menerima kenaikan gaji sekurang-kurangnya 5.5 hingga 7.5 peratus pada tahun akan datang untuk membantu mereka menangani kos sara hidup tinggi, kata Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada Selasa semasa mengumumkan Garis Panduan NWC 2023/2024.

NWC juga menggesa majikan untuk memberikan pekerja bayaran khas sekali untuk membantu semua pekerja mengharungi kos sara hidup tinggi, terutama bagi pekerja bergaji rendah dan pertengahan.

Semasa sidang media bersama pada Selasa di Bangunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Pengerusi NWC, Encik Peter Seah berkata, pihaknya mengambil kira pertumbuhan pengeluaran yang mampan pada jangka panjang, persekitaran inflasi dan prospek ekonomi yang lebih lemah semasa merumuskan garis panduan itu.

“NWC mengambil kira pelbagai isu inflasi yang berterusan, serta geopolitik yang menjejas sentimen perniagaan, dan cuba mencapai keseimbangan yang baik untuk menangani perubahan jangka panjang.

“Kami telah berbincang bersama-sama untuk mencapai huraian yang kami fikir terbaik untuk pertumbuhan berterusan ekonomi, sambil menjaga pekerja-pekerja dan majikan-majikan kita,” kata Encik Seah.

NWC juga menggesa majikan untuk memberikan pekerja yang meraih pendapatan sebanyak $2,500 dan ke bawah, dengan kenaikan gaji asas antara 5.5 hingga 7.5 peratus berdasarkan gaji kasar mereka, atau sekurang-kurangnya antara $85 hingga $105, yang mana lebih tinggi menurut prestasi syarikat atau majikan tersebut.

Majikan yang telah meraih keuntungan yang baik dan menghadapi prospek perniagaan yang positif harus memberikan pekerja bergaji rendah kenaikan gaji pada paras lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya $85 hingga $105, yang mana lebih tinggi.

Majikan yang telah meraih keuntungan yang baik tetapi menghadapi prospek yang tidak menentu harus memberikan pekerja bergaji rendah kenaikan gaji pada paras rendah hingga pertengahan, atau sekurang-kurangnya $85 hingga $105, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, majikan yang tidak meraih prestasi yang baik harus memberikan pekerja bergaji rendah kenaikan gaji pada paras rendah.

“Jika prospek perniagaan bertambah baik, majikan harus mempertimbangkan kenaikan gaji selanjutnya,” tambah majlis tersebut.

Pekerja yang bergaji $2,500 dan ke bawah merupakan persentil ke-20 penduduk yang bekerja sepenuh masa.

Semasa sidang media juga Encik Seah turut menggesa majikan untuk melaksanakan Sistem Gaji Fleksibel (FWS), jika mereka masih belum melakukannya.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menggalak majikan yang belum melaksanakan FWS untuk berbuat demikian. Dengan tekanan inflasi, FWS memberi majikan keupayaan untuk memberi ganjaran pada waktu senang dan menangani masa sukar,” kata Encik Seah.

Timbalan Setiausaha (Tenaga Kerja) MOM, Encik Kenny Tan, berkata pemerintah telah menerima garis panduan NWC dan juga menggalak majikan untuk melaksana FWS agar mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menangani sebarang masalah ekonomi.

“Pemerintah bersetuju dengan NWC bahawa majikan harus memberi ganjaran kepada pekerja berdasarkan prestasi majikan dan sumbangan pekerja.

“Pekerja juga menyokong saranan agar majikan mempertimbangkan pemberian bayaran sekali khas kepada pekerja, dengan wajaran lebih banyak untuk pekerja berpendapatan rendah hingga sederhana, bagi membantu mereka menghadapi kesan kos sara hidup yang lebih tinggi tahun ini,” kata Encik Tan.

Sebagai sebahagian daripada garis panduan yang disarankan, NWC juga menggesa rakan kongsi tiga pihak untuk meneruskan usaha untuk mengubah pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan mengukuhkan keupayaan sumber manusia (HR) mereka untuk menyokong transformasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg