Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NWC minta pandangan ramai berhubung soal gaji, garis panduan pekerjaan

Garis panduan dijangka keluar jelang Nov, liputi tempoh dari 1 Dis 2025 hingga 30 Nov 2026
Aug 19, 2025 | 5:13 PM
NWC, gaji, pekerjaan
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) akan terus menetapkan panduan tahunannya mengenai pertumbuhan gaji progresif untuk pekerja bergaji rendah. - Foto: ST

Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) sedang berusaha mendapatkan pandangan orang ramai untuk membangunkan garis panduan tahunannya mengenai gaji dan isu pekerjaan di Singapura.

NWC mengambil kira daya saing ekonomi Singapura, keadaan pasaran buruh, inflasi, pertumbuhan daya penghasilan serta prospek ekonomi sejagat dalam perbincangannya kelak.

Ia juga akan terus membentangkan panduan tahunannya mengenai pertumbuhan Gaji Progresif untuk pekerja bergaji rendah.

Menurut The Straits Times, Model Gaji Progresif merupakan tangga gaji yang terikat dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti yang sedang dilaksanakan untuk pekerja bergaji rendah dalam tujuh sektor dan dua jenis pekerjaan.

Ini termasuk sektor pembersihan dan keselamatan dengan paras gaji pada setiap peringkat menganjak mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang berminat memberikan maklum balas dan cadangan mereka mengenai garis panduan yang akan datang boleh berbuat demikian menerusi pautan, go.gov.sg/nwc25-26publicfeedback selewat-lewatnya pada 1 September.

NWC, yang terdiri daripada wakil pemerintah, majikan dan pekerja, akan bersidang pada 1 September.

Garis panduan itu dijangka dikeluarkan menjelang November, meliputi tempoh dari 1 Disember 2025 hingga 30 Nov 2026.

Walaupun pertumbuhan gaji sebenar di Singapura meningkat pada 2024 apabila inflasi berkurangan, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata ia boleh menjadi perlahan pada 2025 berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan perdagangan sejagat.

Selepas mengambil kira inflasi, yang berkurangan dari 2023, gaji sebenar meningkat 3.2 peratus pada 2024, naik daripada 0.4 peratus pada 2023, kata MOM dalam laporan amalan gaji tahunan yang dikeluarkan pada 28 Mei.

Perkhidmatan pentadbiran dan sokongan melaporkan pertumbuhan gaji tertinggi pada 8.7 peratus pada 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh Model Gaji Progresif.

Ini diikuti oleh perkhidmatan kewangan sebanyak 6.7 peratus, dan perkhidmatan masyarakat, sosial dan peribadi sebanyak 5.7 peratus.

Namun, pertumbuhan gaji dalam industri perkilangan dan perdagangan borong adalah di bawah purata, masing-masing mencapai 5.1 peratus dan 4.2 peratus, berikutan ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berterusan.

Kedua-dua sektor itu dijangka terus berada di paras sederhana pada tahun akan datang.

Majlis itu mempunyai 37 ahli, diketuai oleh pengerusi, Encik Peter Seah, yang juga Pengerusi DBS.

Daripada jumlah tersebut, terdapat sembilan muka baru, termasuk bakal Timbalan Ketua Eksekutif, Tenaga Kerja Singapura, Encik Tan Cheng Kwee; Pengarah, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (Segmen Pekerja Migran), Encik Michael Lim; dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Persekitaran Binaan dan Perdagangan Bandar, Cik Noor Irdawaty Jammarudin.

Pada Julai 2004, NWC menyatakan syarikat-syarikat boleh melaksanakan potongan gaji sementara jika langkah itu dapat menyelamatkan pekerjaan.

Menurut garis panduan tambahan yang dikeluarkannya itu, jumlah potongan gaji tidak ditetapkan tetapi ia harus mengambil kira antara lain prestasi dan prospek sektor dan syarikat itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg