Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Gaji pekerja pendapatan rendah, pertengahan naik lebih pantas pada 2024

Pertumbuhan disokong oleh daya usaha seperti Model Gaji Progresif (PWM) dan saranan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC)
Nov 28, 2024 | 5:38 PM
(Dari kiri) Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berinteraksi dengan dua penolong terapi, Encik Sabar Halomoan Butar dan Cik Anne Mary Shanthini, semasa lawatannya ke Hospital Masyarakat Yishun pada 28 November.
(Dari kiri) Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berinteraksi dengan dua penolong terapi, Encik Sabar Halomoan Butar dan Cik Anne Mary Shanthini, semasa lawatannya ke Hospital Masyarakat Yishun pada 28 November. - Foto ST

Paras gaji pekerja di persentil ke-20 terbawah dan pertengahan terus tumbuh pada 2024, pada kadar lebih pantas berbanding 2023 sedang inflasi mereda.

Pendapatan kasar bulanan nominal bagi penduduk yang bekerja sepenuh masa di persentil ke-20 (P20) tumbuh daripada $2,826 pada 2023 kepada $3,026 pada 2024 – pertumbuhan 7.1 peratus dan lebih tinggi berbanding pertumbuhan 1.7 peratus yang dilihat dari 2022 hingga 2023.

Pendapatan nominal bagi mereka di persentil ke-50 (P50), atau median, pula tumbuh daripada $5,197 pada 2023 kepada $5,500 pada 2024.

Ini merupakan pertumbuhan 5.8 peratus, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 2.5 peratus pada 2023, menurut perangkaan dalam laporan awal tenaga kerja Singapura yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November.

Dengan pertumbuhan pendapatan nominal yang lebih kukuh dan juga inflasi yang mereda, pendapatan sebenar tumbuh 4.6 peratus pada P20 dan 3.4 peratus pada P50.

Ini selepas ia menyaksikan kemerosotan pada 2023 – sebanyak -3 peratus pada P20 dan -2.2 peratus pada P50.

“Pertumbuhan pendapatan sebenar pada 2024 hampir dengan kadar pertumbuhan purata yang dilihat dalam tahun-tahun sebelum Covid-19 (2014-2019: 3.8 peratus setiap tahun bagi P50; 4.4 peratus setiap tahun bagi P20) apabila inflasi lebih rendah,” kata laporan itu.

Dalam kenyataannya, MOM menambah bahawa pertumbuhan pendapatan juga inklusif, dengan gaji P20 tumbuh lebih cepat berbanding gaji P50.

Menurut laporan, pertumbuhan tersebut disokong oleh daya usaha yang bertujuan mempertingkat pekerja bergaji rendah, seperti Model Gaji Progresif (PWM) dan saranan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) mengenai kuantum kenaikan gaji bagi golongan itu.

Hasilnya, nisbah pendapatan pada P20 kepada P50 bertambah baik.

Pada 2024, pekerja dengan gaji di persentil ke-20 membawa pulang 55 peratus daripada pendapatan di persentil ke-50 – naik daripada 52 peratus pada sedekad lalu, yang menunjukkan jurang pendapatan semakin rapat.

“Kenaikan pendapatan yang lebih besar pada P20 dijangka pada tahun-tahun mendatang, sedang kenaikan dalam keperluan gaji nominal di bawah PWM dilaksanakan secara bertahap-tahap,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, laporan tersebut turut berkongsi bahawa peratusan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dalam kalangan penduduk telah meningkat kepada 63.7 peratus pada 2024 daripada 53.5 peratus pada 2014.

Kadar pengangguran bagi kedua-dua golongan PMET dan bukan PMET kekal rendah, iaitu 2.7 peratus bagi PMET dan 3.4 peratus bagi bukan PMET pada 2024.

Kadar rendah juga dilihat bagi pengangguran jangka panjang – iaitu menganggur selama enam bulan atau lebih – pada 0.7 peratus bagi PMET dan 0.5 peratus bagi bukan PMET.

Dalam pada itu, sebahagian besar, atau 59.3 peratus, daripada penduduk bekerja sepenuh masa berusia 25 hingga 64 tahun yang bertukar kerja dan memasuki industri baru dalam tempoh setahun lalu menikmati pendapatan lebih tinggi dengan pertumbuhan gaji sebenar sekurang-kurangnya 5 peratus.

SEKILAS PERANGKAAN

Pertumbuhan pendapatan sebenar

Di persentil ke-20 (P20)

– 2023-2024: 4.6%

– 2022-2023: -3%

Di persentil ke-50 (P50)

– 2023-2024: 3.4%

– 2022-2023: -2.2%

Jumlah PMET meningkat

– 2024: 63.7%

– 2023: 62.6%

– 2014: 53.5%

Kadar pengangguran bagi PMET

– 2024: 2.7%

– 2023: 2.4%

– 2014: 2.8%

Kadar pengangguran bagi bukan PMET

– 2024: 3.4%

– 2023: 3.6%

– 2014: 4.1%

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg