Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ong Beng Seng mengaku salah, jangka dijatuhi hukuman 15 Ogos

Pihak pendakwa tidak bantah hukuman denda ekoran masalah kesihatan tertuduh
Aug 4, 2025 | 5:58 PM
Ong Beng Seng
Ikat jamin $800,000 ke atas jutawan hartanah, Ong Beng Seng (tengah), telah dilanjutkan. - Foto ST

Jutawan hartanah, Ong Beng Seng, mengaku bersalah pada 4 Ogos atas tuduhan bersubahat menghalang proses keadilan, dalam kes yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran.

Ong, 79 tahun, dijangka dijatuhi hukuman pada 15 Ogos.

Ikat jaminnya sebanyak $800,000 telah dilanjutkan.

Pihak pendakwaan mengakui walaupun hukuman penjara selama lapan minggu lazimnya sesuai dikenakan dalam kes sedemikian, mahkamah wajar memberi kelonggaran hukuman atas dasar belas kasihan dalam kes tersebut, memandangkan Ong menghidap penyakit yang tidak dapat disembuhkan.

Oleh itu, hukuman penjara akan menyebabkan meningkatnya risiko yang membahayakan nyawa Ong, tambahnya.

Pada 2020, Ong disahkan menghidap mieloma berbilang tahap lanjut, sejenis barah yang menjejas sel darah putih – yang penting untuk tindak balas daya ketahanan tubuh badan.

Peguam Kanan Cavinder Bull yang mewakili Ong, berkata beliau mengalami pelbagai masalah kesihatan serius, dan hukuman penjara akan meningkatkan risiko yang mengancam nyawanya dengan ketara.

Perbicaraan Ong pada 4 Ogos ditangguhkan selepas dua penggera kebakaran berbunyi sejurus sebelum kes tersebut bermula.

Penggera kebakaran yang pertama mula berbunyi sebaik sahaja Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng melangkah masuk ke bilik mahkamah.

Selepas penangguhan hampir sejam, kenyataan fakta yang memperincikan kesalahan Ong dibacakan oleh pihak pendakwa dalam bilik mahkamah yang penuh sesak, lapor The Straits Times (ST).

Bercakap kepada mahkamah mengenai kesalahan Ong kerana bersubahat menghalang proses keadilan, pasukan pendakwa berkata Ong telah bertanya kepada Encik Iswaran pada Disember 2022, sama ada bekas menteri itu berminat menyertainya dalam satu lawatan ke Qatar.

Ong memberitahu Encik Iswaran bahawa beliau akan menjadi tetamunya dan menaiki jet peribadinya.

Usahawan itu turut berkata bahawa beliau akan membiayai semua perbelanjaan Encik Iswaran bagi perjalanan tersebut, termasuk penginapan hotelnya.

Encik Iswaran menerima tawaran Ong.

Pada 10 Disember 2022, Encik Iswaran terbang ke Doha, Qatar, menaiki jet peribadi milik Ong.

Penerbangan tersebut dianggar bernilai sekitar AS$7,700 ($10,410, seperti dinyatakan dalam dokumen mahkamah).

Encik Iswaran menginap di Hotel Four Seasons, yang berharga $4,737.63 bagi penginapan satu malam.

Pihak pendakwa berkata Encik Iswaran tidak membayar kos penerbangannya ke Doha atau penginapan hotel tersebut.

Penginapan di hotel tersebut dibayar oleh penganjur perlumbaan Formula Satu, Singapore GP, atas arahan Ong.

Selepas penginapan satu malam di Doha, Encik Iswaran pulang ke Singapura dengan penerbangan kelas perniagaan berharga $5,700, yang juga dibayar oleh Singapore GP.

Pihak pendakwaan berkata: “Encik Iswaran tidak mengisytiharkan kepada pemerintah Singapura bahawa beliau telah menerima penerbangan (ke Doha) menaiki jet peribadi milik tertuduh, penginapan di Hotel Four Seasons di Doha, atau tiket penerbangan pulang dari Doha ke Singapura daripada tertuduh.”

Pada Mei 2023, nama Encik Iswaran ditemui dalam dokumen penerbangan Ong ketika Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyiasat satu perkara berasingan yang melibatkan sekutu Ong.

Ong kemudian memaklumkan kepada Encik Iswaran bahawa CPIB telah merampas dokumen itu, mendorong Encik Iswaran meminta hartawan itu supaya meminta Singapore GP memberinya bil bagi penerbangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg