Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ong Beng Seng dijangka mengaku bersalah 3 Jul

Jun 10, 2025 | 6:04 PM
Ong Beng Seng, S. Iswaran
Ong Beng Seng, yang menghadapi dua pertuduhan dalam kes yang dikaitkan dengan mantan Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, akan mengaku bersalah pada 3 Julai. - Foto fail

Jutawan Ong Beng Seng, yang menghadapi dua pertuduhan dalam kes yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, dijangka membuat pengakuan bersalah pada 3 Julai.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas persidangan prabicaranya pada 10 Jun, menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).

Usahawan hartanah berusia 79 tahun itu pada asalnya dijadualkan membuat pengakuan bersalah pada 2 April, namun kes tersebut ditangguhkan setelah peguamnya memohon lebih masa untuk mendapatkan laporan perubatannya.

Ong didakwa pada 4 Oktober 2024 atas pertuduhan bersubahat dengan seorang penjawat awam untuk memperoleh hadiah dan bersubahat dalam menghalang proses keadilan.

Di bawah Seksyen 165, adalah satu kesalahan bagi seorang penjawat awam menerima sebarang bentuk pemberian atau barangan berharga daripada sebarang individu yang mempunyai hubungan rasmi dengannya, tanpa bayaran atau dengan bayaran yang tidak setimpal.

Menurut dokumen mahkamah, pada Disember 2022, Ong didakwa telah mengatur penerbangan menaiki jet peribadinya untuk membawa Encik Iswaran dari Singapura ke Doha.

Penerbangan tersebut dianggarkan bernilai $10,400.

Ong juga didakwa mengatur penginapan satu malam untuk Encik Iswaran di Hotel Four Seasons Doha yang bernilai $4,737.63, serta penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura bernilai $5,700.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan Ong didakwa telah memberitahu Encik Iswaran bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah merampas daftar penumpang (manifest) penerbangan bagi perjalanan Disember 2022 tersebut.

Perkara itu mendorong Encik Iswaran meminta Ong mengenakan bayaran ke atasnya bagi penerbangan tersebut, bagi mengelakkan siasatan.

Bagi kesalahan ini, Ong didakwa atas pertuduhan bersubahat untuk menghalang proses keadilan.

Pada 3 Oktober 2024, Encik Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan, termasuk menerima barangan berharga sebagai penjawat awam daripada Ong dan Encik David Lum Kok Seng, pengarah urusan syarikat pembinaan, Lum Chang Holdings.

Encik Iswaran telah ditempatkan di bawah Skim Tahanan di Rumah pada 7 Februari 2025.

Pada 6 Jun, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) memaklumkan bahawa Encik Iswaran telah selesai menjalani penempatan di bawah Skim Tahanan di Rumah dan kini tidak lagi berada di bawah jagaan penjara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg