Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi harian syarikat, pekerja tempatan tidak banyak terjejas susulan gangguan sejagat Microsoft
Operasi harian syarikat, pekerja tempatan tidak banyak terjejas susulan gangguan sejagat Microsoft
Operasi harian syarikat, pekerja tempatan tidak banyak terjejas susulan gangguan sejagat Microsoft
Meskipun pertubuhan seperti PPIS mengalami gangguan terkait dengan komunikasi emel susulan gangguan sejagat sistem Microsoft, pusat-pusat di bawah kendalian badan tersebut kekal beroperasi seperti biasa, kata Penolong Pengarah Infokom Teknologi (IT), Pengurusan Kemudahan dan Perolehan di PPIS, Encik Thariq Aziz Abdul Hamid.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) menerusi pemesejan teks pada 13 November, beliau berkata operasi harian PPIS berjalan seperti biasa, meskipun ia mengalami sedikit kegencotan dek gangguan sejagat pada sistem Microsoft yang menjejas ribuan pengguna pada 13 November.
“PPIS mengalami gangguan terhadap wadah emel Microsoft Outlook hari ini disebabkan gangguan pada perkhidmatan Microsoft, sekali gus menjejas akses kakitangan kepada komunikasi menerusi emel.
“Namun, operasi harian kami masih diteruskan, dengan tahap gangguan adalah minimal.
“Kakitangan dapat berhubung dan selaraskan (usaha) antara satu sama lain melalui aplikasi Microsoft Teams, manakala dokumen dan sumber dikongsi dapat diakses melalui aplikasi Microsoft SharePoint,” ujarnya.
Sistem Microsoft mengalami kegenjotan sejak awal pagi 13 November disebabkan masalah pada pelayan komputer(server) yang tidak dapat diakses secara tiba-tiba, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap prasarana pelayan, kata Microsoft dalam satu kenyataan.
Syarikat itu menambah bahawa peningkatan beban terhadap prasarana bukan disebabkan oleh lonjakan trafik pengguna.
Sebaliknya, ia berpunca daripada sebahagian besar pelayan yang gagal berfungsi, lalu permintaan itu beralih kepada pelayan lain yang masih berfungsi.
Dalam satu hantaran Facebook pada 13 November, Darul Arqam Singapura (MCAS) berkata ia turut mengalami gangguan dalam perkhidmatan emel disebabkan gangguan sistem Microsoft.
MCAS menambah bahawa ia sedang “memantau situasi secara aktif” dan menasihati mereka yang ingin berkomunikasi agar menghubungi media sosial rasmi pertubuhan itu.
Sehubungan itu, pekerja dan pemilik syarikat yang dihubungi BH turut berkongsi bahawa gangguan pada sistem Microsoft dianggap satu bentuk kesulitan, namun pekerjaan dan operasi dapat diteruskan tanpa menyebabkan gangguan besar.
Penganalisis proses dan projek di salah satu syarikat logistik, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Jah, berkata beliau sedar mengenai gangguan itu sekitar 6.30 pagi apabila tidak dapat mengakses aplikasi Microsoft Outlook.
Cik Jah yang dihubungi sekitar 12.30 tengahari pada 13 November,akur dirinya kerap menggunakan aplikasi tersebut memandangkan beliau perlu berurusan dengan individu di negara berbeza.
Beliau yang berusia 27 tahun berkata: “Buat masa ini, saya tidak mempunyai akses kepada aplikasi emel jadi saya tidak dapat tahu atau pastikan siapa yang telah memberi responses atau status kerja tertunggak yang telah dimaklumkan melalui Outlook.
“Namun, kami di tempat kerja masih menjalankan tugasan seperti biasa, dengan dokumen dan komunikasi penting dibuat melalui wadah Microsoft Teams.
“Yang bezanya adalah kini, saya perlu ulangi arahan (yang selalunya diberikan melalui emel) di wadah Teams.”
Hal sedemikian turut dikongsi jurutera IT di salah sebuah syarikat IT, yang telah berkecimpung dalam jawatan itu selama hampir lapan tahun dan hanya ingin dikenali sebagai Encik Hakim.
Menurut beliau, komunikasi melalui emel tidak dapat dihantar dan diterima sama sekali, sekali gus merumitkan proses bagi pasukannya menghubungi pengguna.
Pakar IT berusia 37 tahun itu berkata segala komunikasi mustahak disampaikan melalui aplikasi pemesejan, sambil menambah pasukannya belum menerima permintaan tinggi terkait dengan isu gangguan sistem Microsoft.