Perkhidmatan Microsoft seperti Outlook dan Teams terganggu selama kira-kira 10 jam pada 12 November sedang syarikat gergasi teknologi itu bergelut menangani masalah beberapa pelayan.

Gangguan tersebut menjejas perniagaan dan agensi pemerintah yang menggunakan platform popular itu di seluruh dunia.

Dalam perkembangan terkini, Microsoft berkata usaha memulihkan perkhidmatan tidak berjalan seperti disangka.

“Kami sedang mengenal pasti kaedah lain untuk meningkatkan keupayaan sistem susulan ketidakseimbangan berterusan dalam pengurusan trafik,” katanya.

Downdetector, yang memantau gangguan melalui laporan status daripada pelbagai sumber, merekodkan lebih 25,000 laporan masalah Outlook di Amerika Syarikat pada 9.30 malam waktu Timur Amerika Syarikat (ET), iaitu 10.30 pagi waktu Singapura.

Laman itu turut merekodkan gangguan beberapa perkhidmatan Microsoft di rantau Asia Pasifik, termasuk India, Australia dan Jepun, pada awal 13 November.

Pada waktu tersibuk, Downdetector merekodkan lebih 130,000 laporan masalah Outlook di Amerika Syarikat sekitar 1 tengah hari ET pada 12 November.

Di Singapura, laman pemantauan gangguan itu mula merekodkan laporan sekitar 2 pagi, dengan jumlahnya terus meningkat pada pagi 13 November.

Sehingga 9.15 pagi, laporan gangguan Microsoft Outlook mencecah 1,130, meningkat daripada sekitar 730 sejam sebelumnya.

Laporan gangguan Microsoft 365 turut meningkat daripada 434 pada 8.30 pagi kepada 566 pada 9.20 pagi.

Puluhan pengguna di Singapura turut melaporkan masalah dengan Microsoft Teams dan Copilot.

Pada awal 13 November waktu Singapura, syarikat berkenaan menjelaskan bahawa beberapa pelayan secara tidak dijangka gagal menampung beban tinggi, bukannya akibat peningkatan trafik.

“Kami maklum mengenai laporan masalah yang dialami pengguna perkhidmatan Microsoft 365, terutamanya Exchange Online dan sedang menyiasatnya,” kata jurucakap Microsoft.

Dalam notis status perkhidmatan, Microsoft berkata fungsi perkhidmatan Microsoft 365 yang bergantung pada Exchange Online dan e-mel terjejas, manakala fungsi yang tidak bergantung pada Exchange Online kekal beroperasi.

Exchange Online ialah platform pemesejan berasaskan pengkomputeran awan Microsoft yang menyediakan perkhidmatan e-mel, kalendar, senarai kenalan dan tugasan.

Menjelang 5.47 petang ET, laporan masalah Microsoft 365 susut kepada hampir 13,000 pengguna, manakala 763 laporan melibatkan kesukaran menggunakan Teams, menurut Downdetector.

Microsoft berkata pelayan yang dipulihkan terus berfungsi dengan baik. Syarikat itu turut mengalihkan trafik ke laluan lain, sambil memperkemas proses memulihkan baki pelayan yang terjejas.

“Apabila keupayaan pelayan dipulihkan, perkhidmatan mungkin kembali pulih secara beransur-ansur apabila aplikasi pengguna tersambung semula,” kata Microsoft dalam satu kenyataan.

Kesan terhadap sistem e-mel

Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Keselamatan Siber Australia, Encik Tony Burke, berkata Microsoft percaya gangguan itu bukan berpunca daripada serangan siber.

“Mereka yakin masalah yang dihadapi mempunyai persamaan dengan kejadian CrowdStrike, apabila kemas kini sistem mengalami kegagalan,” kata Encik Burke pada satu sidang media.

“Kesan gangguan yang mereka hadapi... tertumpu terutamanya pada sistem e-mel,” tambahnya.

Agensi perisikan dan polis persekutuan Australia antara organisasi yang terjejas akibat gangguan itu pada 13 November.

Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) berkata beberapa sistem pemerintah di negara ini turut terjejas akibat gangguan perkhidmatan tersebut.

Kegagalan sistem CrowdStrike pada 2024 merupakan antara gangguan internet terbesar pernah berlaku, yang melumpuhkan sistem teknologi di hospital, bank dan lapangan terbang, menyerlahkan kelemahan teknologi dunia yang saling berhubung.

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat berkata gangguan itu menjejaskan penggunanya dan juruteranya sedang bekerjasama dengan Microsoft.

Pada awal hari itu, syarikat teknologi berkenaan menjelaskan bahawa beberapa pelayan secara tidak dijangka tidak dapat berfungsi, dan masalah itu bukan berpunca daripada peningkatan trafik.

Microsoft ketika itu berkata pelayan yang dipulihkan terus berfungsi dengan baik dan pihaknya sedang mengalihkan trafik ke laluan lain, sambil memperkemas proses memulihkan baki pelayan yang terjejas.

“Apabila keupayaan pelayan dipulihkan, perkhidmatan mungkin kembali pulih secara beransur-ansur apabila aplikasi pengguna tersambung semula,” kata Microsoft dalam kenyataan terdahulu.

Pada 7 pagi, 13 November waktu Singapura, Microsoft berkata pihaknya mengesan pemulihan terhad apabila pengguna kembali menyambung kepada pelayan secara beransur-ansur.

Perniagaan turut terjejas

OpenAI berkata pihaknya sedang menyiasat masalah penyambung Microsoft yang mungkin mengganggu sambungan baharu dan menyebabkan alat tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Anthropic pula berkata pihaknya telah mengenal pasti masalah pada penyedia perkhidmatan huluan yang menjejaskan penyambung Microsoft 365 yang digunakannya.

Pada Oktober, Microsoft melaporkan gangguan platform pengkomputeran awan Azure yang menjejaskan rangkaian perisian produktivitinya serta pelbagai industri di seluruh dunia.

Pengeluar lori elektrik Workhorse Group menangguhkan pengumuman keputusan kewangan suku ketiga dari 12 kepada 16 November, berikutan gangguan operasi perniagaan akibat masalah perkhidmatan Microsoft di seluruh dunia. - Agensi berita