CARACAS (Venezuela): Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hidup di celah runtuhan bangunan selepas dua gempa bumi besar melanda Venezuela, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan lebih 700 yang lain.

Pihak berkuasa bimbang angka korban akan terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan sepanjang malam di ibu kota Caracas dan kawasan sekitarnya.

Dua gempa bumi kuat melanda Venezuela pada 24 Jun pada 6.04 petang waktu tempatan, menyebabkan bangunan runtuh, bekalan elektrik terputus dan ribuan penduduk bertempiaran keluar ke jalan raya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa pertama berukuran 7.2 magnitud melanda negeri Yaracuy di barat Caracas pada kedalaman 22 kilometer.

Hanya 39 saat kemudian, gempa kedua yang lebih kuat berukuran 7.5 magnitud melanda kawasan berhampiran pada kedalaman kira-kira 10 kilometer.

Walaupun pusat gempa berada di luar Caracas, gegaran kuat dirasai di seluruh bandar raya yang menempatkan kira-kira lima juta penduduk itu.

Gegaran turut dirasai sejauh Bogota di Colombia, lebih 1,000 kilometer dari pusat gempa.

USGS berkata kawasan yang dilanda gempa sangat berisiko kerana banyak bangunan dibina menggunakan batu-bata dan bahan binaan tradisional yang mudah runtuh apabila berlaku gegaran kuat.

Gempa berukuran 7.5 magnitud itu disifatkan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.

Pemimpin sementara Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, berkata jumlah korban semasa belum termasuk negeri La Guaira yang menjadi kawasan paling teruk terjejas.

“Puluhan bangunan runtuh dan operasi menyelamat sedang dijalankan secara intensif bagi mencari mangsa yang masih terperangkap,” katanya menerusi televisyen negara.

Beliau turut mengisytiharkan darurat dan berkata pemerintah sedang menyelaras bantuan antarabangsa yang mula tiba.

Di Caracas, anggota penyelamat dilihat menggali runtuhan bangunan sambil meminta orang ramai diam supaya mereka dapat mendengar suara mangsa yang masih hidup.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan suasana panik apabila bangunan bergoyang sebelum runtuh, manakala penduduk menjerit dan melarikan diri.

Di La Guaira, sebuah hotel runtuh sepenuhnya manakala beberapa bangunan lain dilaporkan senget dan hampir roboh.

Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar yang menjadi pintu masuk utama ke Caracas turut mengalami kerosakan teruk dan ditutup sementara.

Gangguan bekalan elektrik menyebabkan beberapa kawasan di Caracas bergelap, selain perkhidmatan kereta api dan metro dihentikan.

Beberapa jalan turut dinaiki air selepas paip utama pecah akibat gegaran kuat.

Pihak hospital di Caracas turut mengarahkan kakitangan perubatan menambah syif bagi merawat ratusan mangsa yang cedera.

Sekolah pula ditutup sepanjang minggu ini sementara pihak berkuasa menilai tahap kerosakan.

Gangguan Internet turut berlaku di banyak kawasan selepas kadar sambungan Internet di Venezuela dilaporkan merosot dengan ketara.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington bersedia membantu Venezuela menghadapi bencana itu.

“Saya sudah mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bersedia bertindak segera. Kami akan bersama rakan baharu kami di Venezuela,” katanya menerusi media sosial.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, berkata pasukan mencari dan menyelamat, bantuan perubatan serta bantuan kemanusiaan sedang dihantar ke Venezuela.

Beberapa negara Amerika Latin termasuk Brazil, Panama, Chile, Argentina dan Mexico turut menawarkan bantuan kemanusiaan dan pasukan penyelamat.

Presiden El Salvador, Encik Nayib Bukele, berkata 300 anggota penyelamat dan paramedik bersedia dihantar ke Caracas bersama ubat-ubatan dan bekalan kecemasan.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, pula berkata negaranya bersedia membantu Venezuela memulihkan kawasan terjejas.

“Rakyat Venezuela telah menunjukkan ketabahan luar biasa ketika menghadapi kesukaran,” katanya.

Cik Rodriguez turut mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang menawarkan bantuan.

“Venezuela tidak akan melupakan bantuan yang dihulurkan kepada rakyat kami dalam saat sukar ini,” katanya.

Venezuela terletak di kawasan aktif gempa bumi di pertembungan Plat Caribbean dan Plat Amerika Selatan.

Gempa besar pada 1967 pernah membunuh lebih 200 orang di Caracas, manakala gempa pada 1812 mengorbankan kira-kira 30,000 penduduk. – Agensi berita.