Ketika menubuhkan gerakan warisan Orang Laut SG pada 2020, antara cabaran utama yang dihadapi Encik Firdaus Sani adalah untuk mengetengahkan sejarah dan warisan Orang Laut kepada masyarakat.

Pengasas Orang Laut SG itu berkata usaha tersebut turut melibatkan soal memastikan pengetahuan dan amalan masyarakat itu tidak terhakis ditelan zaman.

“Pada awalnya, kami sendiri masih meneroka asal-usul kami. Namun, saya kemudian sedar Orang Laut SG berkembang daripada membawa kisah sebuah keluarga kepada wadah yang mewakili masyarakat lebih luas.

“Kami juga perlu memahami dengan jelas perbezaan antara Orang Pulau dengan Orang Laut kerana kedua-duanya tidak semestinya merujuk kepada kelompok yang sama.

“Bukan semua Orang Pulau merupakan Orang Laut. Jadi, ada tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan identiti setiap kaum difahami dengan tepat,” kata Encik Firdaus, 37 tahun, kepada Berita Harian (BH).

Orang Laut merujuk kepada masyarakat nomad di selat dan pesisiran, manakala Orang Pulau merujuk kepada masyarakat yang sudah menetap di daratan.

Dalam pada itu, beliau melihat penganjuran Hari Orang Pulau, yang berlangsung pada 14 Jun 2025 di Taman West Coast, sebagai satu pencapaian yang memperluas peranan Orang Laut SG sebagai wadah masyarakat berkongsi budaya mereka.

Bermula dengan sekitar 20 individu dalam gerakan warisan itu, Orang Laut SG kini berkembang menjadi satu gerakan yang menghimpunkan sekitar 500 sukarelawan.

Lebih bermakna bagi anak keempat dalam keluarga lima beradik itu, warisan Orang Laut kini diketengahkan dalam Galeri Sejarah Singapura di Muzium Negara Singapura.

Ia bakal dibuka semula pada 10 Oktober selepas menjalani rombakan besar buat kali pertama sejak 2006.

Encik Firdaus berkata pihaknya dihubungi muzium itu untuk membantu mendapatkan pembuat yang mampu menghasilkan seni pemasangan jongkong bagi galeri tersebut.

Jongkong ialah perahu tradisional masyarakat Melayu yang digunakan sebagai pengangkutan antara pulau.

Menerusi jaringan masyarakat yang telah dibina di Kepulauan Riau dan Malaysia, beliau kemudian mendapatkan Encik Nasrun Syawal, pembuat jong berpengalaman dari Tanjung Pinang, Indonesia, 66 tahun.

Jong ialah budaya permainan tradisional masyarakat Melayu di Kepulauan Riau.

Seni pemasangan itu dipaparkan dalam segmen pertama, Fluid Beginnings (1300-an hingga 1800-an), yang menelusuri sejarah maritim awal Singapura dalam dunia Melayu.

“Kemahiran membuat jongkong kini semakin jarang diketahui di rantau ini. Kami bertuah kerana Encik Nasrun masih mempunyai kemahiran tersebut.

“Kemahiran ini bukan sesuatu yang asing di Singapura, malah pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan di sini,” kata Encik Firdaus.

Beliau menambah, seni pemasangan itu membantu masyarakat mengenali warisan Orang Laut dan kaitannya dengan sejarah maritim Singapura.

Dalam pada itu, bagi Encik Firdaus, minat terhadap warisan Orang Laut semakin ketara dalam kalangan generasi muda, termasuk keturunan Orang Laut dan Orang Pulau yang mahu mengenali asal-usul mereka.

Beliau melihat media sosial sebagai antara wadah yang mendorong minat tersebut.

“Media sosial membuka ruang kepada generasi muda untuk meneroka sejarah dan asal-usul mereka.

“Ia mencerminkan keinginan mereka untuk memahami apa ertinya menjadi orang Melayu di Singapura serta kepelbagaian budaya yang membentuk masyarakat Melayu hari ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau akur usaha memelihara warisan Orang Laut perlu diteruskan di luar ruang pameran.

Katanya, kehidupan di bandar menyebabkan generasi muda kini kurang terdedah kepada amalan tradisional masyarakat Orang Laut.

Justeru, Orang Laut SG berhasrat membangunkan pusat pembelajaran budaya laut pesisir di Taman West Coast, yang masih dalam fasa awal perancangan, untuk meneruskan amalan dan pengetahuan masyarakat itu.

“Muzium memainkan peranan penting, tetapi kita juga perlu memastikan masyarakat terus mempunyai akses kepada laut dan dapat mengamalkan budaya sendiri.

“Dengan itu, pusat pembelajaran ini tidak akan berfungsi sebagai muzium, sebaliknya menjadi wadah untuk masyarakat mempelajari dan mempraktikkan sendiri warisan mereka.

“Antaranya termasuk pembuatan jong, teknik memancing, kegiatan seni dan perkongsian kulinari yang dapat menjadi ruang untuk pengetahuan serta kemahiran tradisional diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.