Di tangga besar Galeri Nasional Singapura (NGS) baru-baru ini, dua pelajar seni duduk sambil rancak berbual.

Mereka berbincang tentang satu jurang yang berlegar di minda mereka: bagaimana maklumat atau gagasan mengenai budaya dan warisan sebuah masyarakat sering terperangkap dalam lingkungan akademik.

Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan masyarakat tersebut sukar memimpin secara mandiri perbincangan mengenai identiti dan bagaimana mereka diketengahkan.

Sebagai seniman dan bakal penggiat dalam dunia akademik, kededuanya berharap dapat merapatkan jurang itu.

Pelajar seni tersebut, Encik Mohamed Firdaus Mohamed Sani dan Cik Nurul Atiqah Zaidi, merupakan antara 54 individu dianugerahkan biasiswa seni dalam satu majlis di NGS pada 27 Julai lalu, untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan possiswazah.

Encik Firdaus menerima Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi pengajian Sarjana Seni dalam Pengajian Muzium dan Amalan Kuratorial di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Manakala Cik Atiqah akan menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana Seni Halus di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) di bawah naungan institusi Universiti Seni Singapura (UAS), menerusi Biasiswa NAC-UAS.

Pengasas gerakan warisan Orang Laut SG dan The Black Sampan, Encik Firdaus, 37 tahun, berkata: “Jurang yang wujud antara ahli akademik dengan penggiat seni berpunca daripada kecenderungan ahli akademik untuk ‘bercakap’ sesama mereka.

“Banyak maklumat akhirnya kekal dalam dunia akademik sahaja. Tanpa seniman dan penggiat seni dan budaya, catatan akademik itu hanya akan tersimpan di arkib dan akhirnya dianggap tidak berguna.”

Seniman antara disiplin, Cik Atiqah, 22 tahun, pula berkata: “Dalam amalan seni saya, kekurangan maklumat ini turut mendorong saya berfikir dengan lebih mendalam tentang kepentingan bagaimana diperkenalkan.

“Saya rasa keadaan ini memberi kami peluang untuk memastikan karya dan kehadiran kami terus diingati.”

Menurut Encik Firdaus, isu bagaimana diketengahkan yang banyak ditentukan oleh mereka yang menulis tentang masyarakat Orang Asli dan warga peribumi, menjadi faktor yang menggugat keupayaan masyarakat tersebut untuk menentukan sendiri bagaimana mereka mahu diwakili serta membentuk identiti mereka dek wujudnya “hierarki yang tidak kelihatan” dalam dunia akademik.

Dalam mencerahkan hal ini, beliau memetik contoh tentang bagaimana Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) boleh digunakan sebagai panduan yang mengiktiraf hak masyarakat peribumi untuk menentukan cara mereka melihat diri sendiri, termasuk hak menentukan bagaimana mereka di ketengahkan.

UNDRIP satu deklarasi hak asasi manusia yang menggariskan hak masyarakat peribumi di seluruh dunia. Deklarasi itu mengandungi 46 artikel yang memperincikan pelbagai hak kolektif dan individu, dengan matlamat melindungi kemandirian hidup, maruah dan kesejahteraan masyarakat peribumi.

Sebagai keturunan Orang Laut generasi keempat, Encik Firdaus berkata keupayaan untuk menentukan bagaimana diperkenalkan sendiri juga merupakan sebahagian daripada usaha meneruskan legasi budaya Melayu.

“Walaupun penting untuk kita melihat kembali sejarah, kita juga perlu mengaitkannya dengan makna menjadi seorang Melayu pada masa kini, dan apakah ertinya identiti kemelayuan itu kepada generasi akan datang,” katanya, yang akan memulakan pengajiannya pada Ogos.

Semangat itu turut dizahirkan menerusi seni pemasangannya sempena Festival Light to Night Singapore 2026 di Padang mencerminkan sejarah dan kehidupan Orang Laut yang semakin terhakis akibat proses perbandaran, penambakan tanah, serta kehilangan akses kepada kawasan pesisir pantai.

Encik Mohamed Firdaus Mohamed Sani, keturunan Orang Laut generasi keempat mempamerkan seni pemasangan tiga bahagian dalam festival ‘Light to Night Singapore 2026’. Seni pemasangan beliau mencerminkan sejarah dan warisan Orang Laut di Singapura yang hampir pupus ditelan zaman.
Encik Mohamed Firdaus Mohamed Sani, keturunan Orang Laut generasi keempat mempamerkan seni pemasangan tiga bahagian dalam festival ‘Light to Night Singapore 2026’. Seni pemasangan beliau mencerminkan sejarah dan warisan Orang Laut di Singapura yang hampir pupus ditelan zaman. - Foto fail

Bagi Cik Atiqah pula, amalan seninya melingkari persembahan sebagai kaedah penyelidikan dan pemikiran feminis.

Karyanya meneroka tubuh wanita Melayu-Jawa menerusi arkib digital, pergerakan dan bunyi, dan pernah dipersembahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Projek akhir tahun di peringkat diploma, ‘Wanita’ (2023-2025), mengangkat dan mentafsir semula naratif wanita yang sering digambarkan sebagai watak pasif dalam filem-filem ‘Orang Minyak’, terutamanya karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan L. Krishnan.

Menerusi projek akhir tahun di peringkat ijazah sarjana muda bertajuk ‘Gigit’ (2025) pula, beliau mengambil pendekatan yang lebih bersifat introspektif dengan menghasilkan projek persembahan dan arkib.

Dengan penggunaan tanah liat, projek itu juga menjadikan perbuatan menggigit sebagai bahasa untuk meluahkan emosi serta menuntut semula hak menentukan naratif sendiri.

Projek itu juga mengupas perbincangan tentang cara tubuh wanita Melayu didokumentasikan dalam media dan sejarah.

Menerusi persembahan, projek arkib dan penggunaan tanah liat, projek akhir tahun Cik Atiqah bertajuk ‘Gigit’ (2025) mengupas perbincangan tentang tubuh wanita Melayu dengan menjadikan perbuatan menggigit sebagai bahasa untuk meluahkan emosi serta menuntut semula hak menentukan naratif sendiri.
Menerusi persembahan, projek arkib dan penggunaan tanah liat, projek akhir tahun Cik Atiqah bertajuk ‘Gigit’ (2025) mengupas perbincangan tentang tubuh wanita Melayu dengan menjadikan perbuatan menggigit sebagai bahasa untuk meluahkan emosi serta menuntut semula hak menentukan naratif sendiri. - Foto ihsan NURUL ATIQAH ZAIDI

“Karya saya sentiasa berpusat pada perbincangan tentang tubuh wanita Melayu. Menerusi pengajian ini, saya mahu terus mempertahankan gambaran itu dan meletakkan warisan keturunan saya di barisan hadapan amalan seni saya,” katanya, yang akan memulakan pengajiannya pada Ogos.

Bagi Encik Firdaus pula, biasiswa yang diterimanya juga satu batu loncatan untuk meneruskan usahanya dalam memperjuangkan sejarah dan budaya warisan Orang Laut, melalui pembinaan sebuah pusat pembelajaran budaya pesisir sebagai sebahagian projek Pesisiran Selatan Besar (GSW) bagi mengukuhkan naratif Orang Laut sebagai antara tunjang penting dalam pembangunan kawasan tersebut.

“Saya rasa idea mengenai masyarakat peribumi di Singapura masih lagi di peringkat awal.

“Apakah sebenarnya makna menjadi warga peribumi? “Adakah kita perlu mempunyai gambaran? Dan jika ya, apakah bentuk gambaran yang kita mahukan? Saya fikir inilah antara persoalan yang ingin kami bincangkan menerusi pusat pembelajaran itu.

“Sebab saya rasa, buat masa kini, kita belum lagi membincangkan hal seperti ini,” tambahnya.