Mulai 30 Julai, penduduk boleh berkongsi idea dan maklum balas mereka mengenai pelan penyesuaian iklim pertama Singapura, membantu pemerintah membangunkan strategi jangka panjang untuk melindungi negara daripada perubahan iklim.

Seruan itu diumumkan semasa pelancaran Perbualan Penyesuaian Kebangsaan pertama Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) – satu siri perbincangan yang menghimpunkan pihak berkepentingan untuk bertukar idea, berkongsi aspirasi dan menimbang pertukaran dalam mengukuhkan daya tahan Singapura terhadap kesan perubahan iklim.

Pada 30 Julai, lebih 100 wakil daripada perniagaan, akademia, kumpulan masyarakat, organisasi belia dan sektor awam berkumpul di Sentosa bagi dialog julung kali mengenai cabaran dan peluang iklim Singapura.

Sepanjang beberapa bulan akan datang, perbualan itu akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang penyesuaian utama, termasuk daya tahan haba, pantai, banjir, air dan makanan; kebolehdiaman bandar dan infrastruktur; biodiversiti dan kehijauan; serta kesihatan awam.

Dialog itu turut disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang melancarkan pembinaan sebuah “bilik darjah hidup” yang digelar sebagai hab penyesuaian iklim berasaskan pengalaman pertama di Asia.

Ruang pendidikan itu terletak di bekas padang golf Sijori Wondergolf di Sentosa, yang sudah tidak beroperasi. 

Ia dijangka dibuka kepada orang ramai secara percuma menjelang akhir 2026, dan akan membolehkan pengunjung mempelajari secara langsung tentang penyesuaian habitat dan ekosistem dengan iklim yang berubah. 

Cik Fu memberitahu peserta dialog itu bahawa perbualan tersebut akan membantu memperjelaskan sejauh mana kesediaan mengambil risiko dan perubahan tingkah laku yang sanggup diambil oleh penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan pemimpin masyarakat. 

Beliau berkata: “Siri perbualan penyesuaian ini bukan hanya tentang mencari satu penyelesaian tunggal. Hakikatnya, penyelesaian itu terletak pada kita semua – pada dasar, dan pada pemerintah yang menyediakan sumber sebagai penjaga. 

“Ini membolehkan kita menggunakan sumber untuk masa depan dengan cara kos efektif, dan memberi generasi masa depan pilihan untuk memutuskan cara membentuk masa depan perniagaan dan kehidupan.” 

Tidur rehat tengah hari – membolehkan individu bekerja pada waktu lebih sejuk dalam sehari; memakai pakaian lebih sejuk; dan penerimaan lebih meluas menetapkan suhu alat hawa dingin dalaman pada 25 darjah Celsius, antara idea yang dikemukakan peserta pada dialog itu.

Pada Mei, Cik Fu menyatakan bahawa pelan penyesuaian menyeluruh, yang disasarkan untuk diterbitkan pada 2027, akan menilai semula langkah semasa dan mengenal pasti risiko iklim, dan bukannya segera menetapkan penyelesaian.

Latihan penilaian semula itu akan membuka jalan untuk perbincangan lanjut dalam kalangan agensi pemerintah, perniagaan dan bank, yang boleh membantu membiayai penyelesaian yang terhasil daripada pelan tersebut.

Sejak menetapkan 2026 sebagai Tahun Penyesuaian pada Mac, MSE telah mengadakan sekitar 50 penglibatan dengan pihak berkepentingan mengenai pandangan mereka berkenaan perubahan iklim, sebelum pelancaran Perbualan Penyesuaian Kebangsaan.

Kementerian dan agensi berkaitan kini akan mempergiat usaha itu menerusi kumpulan fokus, dialog masyarakat, penglibatan khusus sektor dan acara awam.

Ini termasuk satu pameran awam interaktif pada Oktober dan November untuk membantu rakyat Singapura memahami bagaimana perubahan iklim akan memberi kesan kepada kehidupan harian mereka dan apa yang boleh mereka lakukan.

Orang ramai boleh menyerahkan maklum balas dan cadangan mereka di go.gov.sg/NAPfeedback.