Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orchard Road berpesta apabila sebahagian ditutup sempena Krismas

Dec 25, 2023 | 2:22 PM
NIKMATI SUASANA KRISMAS: Sebahagian Orchard Road dari persimpangan Paterson ke Bideford  telah ditutup kepada lalu lintas pada petang 24 Disember bagi satu pesta jalanan sempena ulang tahun ke-40 penyalaan lampu tahunan di kawasan pusat membeli-belah paling terkenal di Singapura itu dan juga ulang tahun ke-25 Persatuan Perniagaan Orchard Road (Orba).
NIKMATI SUASANA KRISMAS: Sebahagian Orchard Road dari persimpangan Paterson ke Bideford  telah ditutup kepada lalu lintas pada petang 24 Disember bagi satu pesta jalanan sempena ulang tahun ke-40 penyalaan lampu tahunan di kawasan pusat membeli-belah paling terkenal di Singapura itu dan juga ulang tahun ke-25 Persatuan Perniagaan Orchard Road (Orba). - Foto ST

Selama beliau bekerja di Singapura, pembantu rumah warga Filipina, Cik Lydia Lundubian, 43 tahun, memastikan beliau berada di Orchard Road bersama rakan-rakan pada malam Hari Natal untuk menikmati suasana perayaan.

Namun, kali ke-11 beliau kembali ke kawasan itu adalah istimewa: tahun ini, Cik Lundubian, Cik Julie Gelongo, 44 tahun, dan Cik Premia Tomas, 48 tahun, menyaksikan cahaya lampu bergemerlapan dari perspektif pemandu, dengan berjalan-jalan di jalan raya empat lorong yang biasanya sibuk.

“Ia lebih sesak berbanding tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia lebih bagus daripada biasa,” kata beliau.

SAMBUT BERSAMA RAKAN: (dari kiri) Cik Lydia Lundubian, Cik Julie Gelongo, dan Cik Premia Tomas sama-sama turun padang ke Orchard Road untuk menyertai pesta jalanan yang pertama di kawasan pusat beli-belah paling terkenal di Singapura itu pada malam Hari Natal.
SAMBUT BERSAMA RAKAN: (dari kiri) Cik Lydia Lundubian, Cik Julie Gelongo, dan Cik Premia Tomas sama-sama turun padang ke Orchard Road untuk menyertai pesta jalanan yang pertama di kawasan pusat beli-belah paling terkenal di Singapura itu pada malam Hari Natal. - Foto ST

Sebahagian Orchard Road telah ditutup kepada lalu lintas pada petang 24 Disember bagi satu pesta jalanan sempena ulang tahun ke-40 penyalaan lampu tahunan di kawasan pusat membeli-belah paling terkenal di Singapura itu dan juga ulang tahun ke-25 Persatuan Perniagaan Orchard Road (Orba).

Pada 6 petang, laluan Orchard Road sepanjang 400 meter dari persimpangan Paterson ke Bideford telah ditutup sedang persediaan dijalankan untuk persembahan, nyayian karol Krismas, trak makanan, dan pengiraan detik ke Krismas sebelum pesta itu berakhir.

Pada 8 malam, berduyun-duyun orang yang telah menunggu di sepanjang laluan pejalan kaki dibenarkan ke jalan raya melalui pintu masuk tertentu, seperti di hadapan Tangs Plaza dan ION Orchard.

Keluarga, rakan-rakan dan pasangan kemudian bersiar-siar di sepanjang Orchard Road, yang dibarisi gerai menjual kraf tangan dan minuman.

Walaupun keadaan teratur, satu segmen di hadapan Wisma Atria sangat sesak. Ada teriakan “jangan tolak” kerana orang ramai berdiri bahu ke bahu.

Orba berkata maksimum 3,000 orang dibenarkan di dalam kawasan jalan raya yang dikepung pada bila-bila masa, dan kira-kira 60 anggota keselamatan, termasuk pegawai polis bantuan, telah dikerahkan untuk menjaga ketenteraman.

Satu peta digital disediakan dari 6 petang, yang mengetengahkan kawasan-kawasan yang sesak di kawasan pusat beli-belah itu dan tempat-tempat alternatif yang kurang padat.

BERJAGA-JAGA: Walau bersuka ria, Cik Ashley Lim dan suami, Dr David Low, serta anak mereka, Maryann dan Michela, tidak lupa memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan gelombang Covid-19 yang terkini.
BERJAGA-JAGA: Walau bersuka ria, Cik Ashley Lim dan suami, Dr David Low, serta anak mereka, Maryann dan Michela, tidak lupa memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan gelombang Covid-19 yang terkini. - Foto ST

Pakar perubatan, Dr David Low, 50 tahun, pula berkongsi cuti hujung minggu yang lebih panjang telah mendorong keluarganya untuk makan malam sempena Krismas pada 23 Disember dan mengunjungi pesta jalanan itu pada malam Krismas.

Keluarga tersebut juga antara sebilangan kecil pengunjung - kurang daripada satu dalam 10 - yang telah menggunakan pelitup sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan gelombang Covid-19 baru-baru ini.

Pada 22 Disember, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata gelombang Covid-19 semasa mungkin sudah mencapai kemuncaknya, dan tiada keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup.

Juruterbang, Encik Max Foo, berkata beliau dan isteri serta anaknya tidak memakai pelitup kerana acara itu diadakan di luar, dan bahawa mereka semua sudah divaksinasi dan sudah pulih daripada Covid-19.

Encik Foo berkata mereka biasanya tidak mengunjungi Orchard Road semasa malam Hari Natal, tetapi pesta jalanan malam Krismas yang pertama di Orchard Road itu jelas layak.

“Bukan setiap hari raya jalan ditutup, jadi kami memutuskan untuk turun dan merasakan suasananya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg