Seorang lelaki didakwa ditikam di Gereja St Joseph’s (Bukit Timah) pada petang 9 November.
Menurut seorang wanita yang secara tetap mengunjungi gereja itu dan hanya ingin dikenali sebagai Cik Lee, lelaki yang cedera itu merupakan seorang paderi.
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan meminta bantuan dikerahkan ke 620 Upper Bukit Timah Road sekitar 6.30 petang.
Seorang lelaki telah digegaskan ke Hospital Universiti Nasional (NUH).
Lima kereta polis kelihatan di gereja berkenaan dengan 10 pegawai polis berada di ruang dalam gereja apabila wartawan ST tiba sekitar 7.45 malam.
Dalam hantaran Facebook, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, mendedahkan bahawa penyerang itu adalah lelaki warga Singapura berbangsa Sinhalese berusia 37 tahun, yang mengisytiharkan agamanya sebagai Kristian.
“Paderi itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar. Beliau dalam keadaan yang stabil, mujurlah tidak mengancam nyawa,” jelasnya mengenai paderi Katolik itu.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pula turut melahirkan rasa terkejutnya mengenai kejadian ini yang berlaku dalam satu sesi perhimpunan agama di gereja, dengan individu yang terbabit sudah pun diberkas.
“Keganasan seperti ini, dalam bentuk apa jua dan sebab apa jua, sudah tentunya tiada tempat di Singapura, apa lagi dalam tempat ibadat.
“Pihak berkuasa yang relevan akan menyiasat perkara ini dan menanganinya sewajarnya,” jelas Encik Tong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg