Paip yang bocor dekat Blok 222, Ang Mo Kio Ave 1 menyebabkan air melimpah ke stesen minyak SPC berdekatan, kata agensi air negara PUB pada 11 Januari.
Menerusi laman Facebook mereka sekitar 3.20 petang, PUB berkata:
“Sekitar tengah hari pada 11 Januari, PUB dimaklumkan tentang kebocoran paip berhampiran Blok 222, Ang Mo Kio Ave 1, yang menyebabkan air melimpah ke stesen minyak SPC berdekatan.
“Kami segera mengerahkan kru perkhidmatan kami dan kerja sedang dijalankan untuk memperbaiki paip air yang boleh diminum. Tiada gangguan bekalan air ke rumah dan perniagaan di kawasan itu.”
Tambahnya, PUB sedang menyiasat punca kebocoran paip itu.
Dalam kejadian itu, kawasan berumput di hadapan Blok 222, Ang Mo Kio Avenue 1 dilihat dibanjiri air berwarna coklat muda, sebahagiannya menenggelamkan laluan pejalan kaki.
Air turut melimpah ke stesen minyak SPC.
Banjir yang disebabkan kebocoran paip itu juga menjejas ketiga-tiga lorong jalan raya di Ang Mo Kio Avenue 1 menuju ke Bishan, dengan pegawai polis dikerah untuk mengawal lalu lintas.
Seorang penduduk Blok 222 Ang Mo Kio Avenue 1, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Thevar, memberitahu The Straits Times:
“Saya sedar paras air itu ketika saya melihat ke luar tingkap dan melihat air mengalir keluar daripada paip dan melimpah ke kawasan stesen minyak.”
Menurutnya, paras air semakin meningkat dan kelihatan mengalir ke jalan raya utama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg