Beberapa penduduk di sebuah kondominium di Sin Ming dikejutkan dengan pengaliran air berwarna coklat dan kuning pada 1 Januari lalu, susulan kebocoran paip berhampiran persimpangan Sin Ming Avenue dan Upper Thomson Road.
Agensi air negara, PUB, berkata ia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada hari pertama Tahun Baru 2026, sekitar 9 pagi .
“Kami dengan segera mengerahkan pasukan perkhidmatan ke lokasi berkenaan bagi mengesan punca kebocoran dan memulakan kerja-kerja pembaikan. Bekalan air ke rumah dan perniagaan di kawasan sekitar tidak terjejas,” katanya sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST).
Seorang jurucakap PUB berkata agensi itu sedang menyiasat punca kebocoran paip berkenaan.
Penduduk di kondominium berdekatan, Flame Tree Park, telah melaporkan perubahan dalam warna air yang mengalir dari paip mereka.
Menurut PUB, keadaan itu kemungkinan disebabkan oleh mendapan bahan galian dalam paip yang terapung semula akibat gangguan aliran air susulan kebocoran tersebut.
Kerja-kerja pembaikan masih dijalankan dan dijangka siap menjelang 2 Januari, tambahnya.
Seorang doktor berusia 42 tahun yang menetap di kondominium itu memberitahu ST, isterinya telah menyedari air di dalam mangkuk tandas berwarna coklat walaupun selepas disiram sekitar 2 pagi.
Sekitar 8 pagi pula, beliau mendapati air yang berubah warna mengalir dari paip dapur dan tandas.
“Ia sememangnya menjejas rancangan saya sempena cuti umum. Dengan perubahan warna air yang keperang-perangan itu, kami tidak berani mandi atau membasuh pakaian menggunakan air tersebut,” kata doktor itu, yang enggan dinamakan.
Keluarganya sebaliknya membeli air botol untuk kegunaan sepanjang hari, berbanding menggunakan pendispens air mereka.
“Dengan seorang anak kecil di rumah, kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.
Beliau turut menambah kebimbangan beliau tentang adanya kejadian lubang benam, memandangkan kebocoran paip air pernah terjadi sebelum kejadian lubang benam di Tanjong Katong Road pada Julai 2025.
Apabila ST tiba di tempat kejadian, sebuah papan tanda PUB menunjukkan kerja-kerja pembaikan kecemasan bekalan air sedang dijalankan. Sebahagian daripada persimpangan jalan itu kelihatan basah dek kesan aliran air.
Para pekerja dilihat mengalihkan pergerakan trafik. Lorong tersebut kekal ditutup sehingga 6.30 petang.
Pada petang itu, PUB mengerahkan sebuah lori tangki air dan mengagihkan beg air sebagai bekalan sementara kepada penduduk yang terjejas.
Satu pesanan yang dihantar kepada penduduk pada waktu malam memaklumkan lori tangki air itu akan kekal di kawasan perumahan tersebut sehingga tengah malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg