Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Pendekatan kreatif perlu bagi tangani radikalisasi belia
Pakar: Pendekatan kreatif perlu bagi tangani radikalisasi belia
Gabungan ideologi ekstremis tidak teratur sukarkan tugas rungkai pemikiran individu radikal
Pakar: Pendekatan kreatif perlu bagi tangani radikalisasi belia
Campur tangan terhadap individu radikal kini perlu melangkaui usaha menentang sesebuah ideologi ekstrem secara berasingan.
Ini memandangkan mencampuradukkan berbilang ideologi ekstrem – dikenali sebagai Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE) – kian menjadi unsur mempengaruhi seseorang menjadi radikal sendiri, lebih-lebih lagi dalam kalangan belia, kata pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).
Justeru, ia memerlukan penilaian lebih mendalam dan pendekatan kreatif, berlandaskan usaha memperhalusinya kepada pemahaman ideologi sebagai asas, tambah mereka.
Golongan pakar menyatakan demikian menyusuli kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 24 Jun berkenaan dua individu warga Singapura yang dikenakan arahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac.
Individu pertama merupakan pelajar 19 tahun, Cyrus Dzulqarnain Al-Shahriar, yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) setelah menjadi radikal sendiri oleh CoVE, kata ISD.
Cyrus merupakan individu kedua diradikalisasikan oleh CoVE yang ditangani di bawah ISA sejak 2025 – pada September 2025, seorang remaja 14 tahun dikenakan RO kerana dipengaruhi fahaman bercampur aduk ini.
Individu kedua, Tarmizi Mohd Taha, 30 tahun, dikenakan Perintah Tahanan (DO), setelah didapati menjadi penyokong tegar Hamas dan telah menyatakan kesediaannya untuk melakukan keganasan terhadap Israel atau melakukan serangan di Singapura.
Berkenaan Cyrus, Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Kumar Ramakrishna, berkata kes sedemikian membawa beberapa kerumitan dalam menangani radikalisasi terkait dengan CoVE.
Ia melibatkan proses merungkaikan pelbagai idea yang tersemat dalam individu ini dan digabungkan sewenang-wenangnya, katanya.
“Jika dilihat sekitar 25 tahun lalu melibatkan penahanan anggota (kumpulan pengganas) Jemaah Islamiyah (JI)... ideologi ekstremis Islam sudah dikenal pasti.
“Ideologi ekstremisme Islam yang ganas telah digariskan dengan cukup jelas... ia ditulis dan didokumentasikan, jadi kumpulan pengamal yang menangani keganasan boleh mengkaji buku panduan dan dokumentasi ini, serta mengenal pasti bahagian yang telah menyeleweng daripada aliran utama agama, dan kemudian merangka usaha campur tangan ideologi bagi menunjukkan di mana kumpulan ekstremis ini telah terpesong.”
“Begitu juga bagi ideologi ekstremis sayap kanan.
“Tetapi bagi CoVE, ia rumit kerana idea-idea berasal daripada pelbagai sumber berbeza dan digabungkan dengan cara yang agak tidak teratur,” ujar beliau.
ISD sebelum ini menggelarkan CoVE sebagai ekstremisme ‘salad bar’ atau fahaman ekstrem bercampur aduk.
Ia merujuk kepada satu bentuk ekstremisme ganas dengan individu berpegang pada pelbagai ideologi ekstremis, yang kadangkala bercanggah, dan bukannya berpegang pada pandangan dunia yang bersatu.
Berkongsi sentimen serupa, Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata peningkatan dalam kes CoVE menandakan perubahan struktur yang ketara dalam landskap ancaman.
Ini setelah individu yang menjadi radikal ekoran CoVE secara memilih menggabungkan serpihan ideologi berbeza dan kadangkala bercanggah, ujarnya.
Beliau berkata: “Trend ini memberi kesan kepada bagaimana usaha campur tangan, pemulihan dan penyepaduan (individu radikal) dilakukan di Singapura.
“Sejak sekian lama, model pemulihan di sini sangat bergantung pada penolakan teologi sistematik.
“Sebagai contoh, jika seseorang individu menjadi radikal oleh propaganda (kumpulan pengganas) ISIS, kaunselor RRG dapat mengenal pasti dengan tepat teks dan konsep yang perlu dihuraikan.
“Dengan kewujudan CoVE, garis dasar ini berubah (dan) tiada naratif tunggal untuk merungkaikannya.”
Ustaz Dr Mohamed berkata asatizah mungkin dapat menangani salah tafsir teks agama oleh Cyrus.
Namun, agak sukar untuk asatizah mengatasi aspek psikologi hasil ideologi incel atau ‘bujang secara terpaksa’ yang ganas dan bertapak di minda pelajar itu.
ISD menyatakan Cyrus menganggap dirinya sebagai incel – merujuk kepada golongan bujang yang sebahagian besarnya adalah kaum lelaki yang pasrah dengan nasib tidak bertemu pasangan, walau mereka mempunyai keinginan.
Remaja itu turut mempunyai fantasi untuk melakukan keganasan terhadap kumpulan tertentu di sekolah, termasuk individu LGBTQ (lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira) dan pasangan yang sedang menjalin hubungan, tambah ISD.
Oleh demikian, usaha campur tangan kini perlu bergerak ke arah “pendekatan yang tersuai dan berbilang disiplin”, kata Ustaz Dr Mohamed.
Malah, usaha sedemikian juga harus bersifat menyeluruh – merangkumi kesedaran awam, menangani idea dan kelemahan emosi di sebalik individu radikal sedemikian – kata anggota RRG, yang juga Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar.
Beliau berkata individu yang menjadi radikal mungkin tidak berpegang pada sistem kepercayaan yang teratur, manakala orang awam pula perlu memahami radikalisasi kini tidak selalunya wujud dalam bentuk yang boleh dikenal pasti.
“Usaha terhadap memupuk kesedaran ini mesti lebih tertumpu pada tanda terkait dengan tingkah laku, misalnya pengasingan sosial, terlampau fokus pada rungutan, menunjukkan sifat tidak berperikemanusiaan kepada orang lain, dan penerimaan terhadap keganasan yang semakin meningkat.
“Lantaran itu, anggota keluarga dan masyarakat menjadi benteng pertahanan pertama kita,” tambah beliau.
Sekilas tentang Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE) di Singapura
– Fahaman ekstrem bercampur aduk yang kadangkala bercanggah, dan bukannya berpegang pada pandangan dunia yang teratur
– Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sebelum ini menyifatkan CoVE sebagai ekstremisme ‘salad bar’
– Cyrus Dzulqarnain Al-Shahriar, yang dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), individu kedua diradikalisasikan oleh CoVE selepas seorang remaja 14 tahun dikenakan RO kerana dipengaruhi fahaman bercampur aduk pada September 2025
