Pelajar 19 tahun, Cyrus Dzulqarnain Al-Shahriar, telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac 2026.

Remaja itu menjadi radikal sendiri secara dalam talian selepas dipengaruhi fahaman ekstremis beberapa ideologi berbeza, atau yang dikenali sebagai Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).

Di samping itu, Cyrus juga pro-Hamas, anti-LGBTQ (lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira) dan anti-Barat.

Dia turut dipengaruhi oleh akselerasi keislaman – peluasan fahaman melampau menggunakan teknologi serta ideologi incel iaitu fahaman yang biasanya dipegang lelaki muda yang berasa diketepikan masyarakat.

CoVE, yang sebelum ini disifatkan ISD sebagai ekstremisme ‘salad bar’ atau fahaman melampau bercampur-aduk, merujuk kepada satu bentuk ekstremisme ganas di mana individu menganut pelbagai ideologi ekstremis, yang bercanggah, dan bukannya berpegang pada pandangan dunia yang bersatu.

Ia menghasilkan sistem kepercayaan komposit yang diperibadikan, yang digunakan oleh individu tersebut untuk mewajarkan keganasan.

Pada 2022, Cyrus menyertai beberapa kumpulan dalam talian yang membincangkan topik keagamaan untuk mempelajari lebih lanjut tentang Islam.

Bagaimanapun, dalam kumpulan itu, dia terdedah kepada kandungan anti-Barat dan anti-LGBTQ.

Dia kemudian membuat catatan dalam talian yang menghasut keganasan terhadap masyarakat LGBTQ.

Berikutan serangan 7 Oktober 2023 Hamas ke atas Israel pula, Cyrus terdedah kepada naratif pro-Hamas dalam talian, menyebabkannya menyokong kumpulan tersebut.

Pada 2024, Cyrus terfikir untuk ke Gaza bagi menyertai Hamas dan menyerang Israel dalam peperangan yang berlaku di sana.

Namun, dia tidak membuat sebarang persiapan untuk melakukan hal tersebut kerana tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk ke luar negara serta rasa takut melibatkan diri dalam keganasan fizikal.

Pada pertengahan 2024 pula, Cyrus terjumpa catatan media sosial oleh ahli kumpulan pelampau Islam dalam talian khusus yang menyokong pemikiran akselerasi ganas.

Kumpulan itu percaya dalam mewujudkan “kekacauan” melalui penggunaan keganasan jika perlu, untuk mewujudkan masa depan dengan Islam sebagai tamadun sejagat yang terkemuka.

Mereka percaya mereka perlu memusnahkan “aturan dunia” semasa, di mana negara dunia pertama, termasuk Singapura, dianggap sebagai lanjutan Amerika Syarikat, dan berada di bawah kawalan Zionis.

Selepas berinteraksi dengan ahli kumpulan tersebut di media sosial, Cyrus diundang memasuki kumpulan sembang dalam talian privet itu pada awal 2025.

Cyrus dipengaruhi oleh sokongan kumpulan tersebut terhadap serangan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) pada rejim Presiden Syria ketika itu, Encik Bashar al-Assad, sebelum kejatuhannya pada Disember 2024.

Cyrus mula menyokong HTS dan sokongannya terhadap Hamas semakin meningkat selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Dia juga semakin menyokong serangan pengganas yang menyasarkan orang Barat, seperti serangan 9/11 Al-Qaeda pada 2001 dan Pengeboman Bali 2002, dan membuat catatan dalam talian yang mengagungkan serangan tersebut.

Atas permintaan salah seorang ahli kumpulan itu, Cyrus pergi ke kawasan Esplanade sebanyak dua kali untuk mengambil gambar penerbitan elektronik yang dikarang oleh ahli kumpulan itu, berlatarbelakangkan Marina Bay Sands.

Cyrus berikrar taat setia kepada kumpulan itu dengan menyiarkan gambar itu secara terbuka di akaun media sosialnya pada November 2025.

Pada awal 2025, Cyrus menemui kandungan dalam talian mengenai penembak sekolah, Elliot Rodger, dan menjadi tertarik dengan kecenderungannya terhadap pemahaman incel.

Incel atau ‘bujang secara terpaksa’ merujuk kepada golongan bujang yang sebahagian besarnya adalah kaum lelaki yang pasrah dengan nasib tidak bertemu pasangan, walau mereka mempunyai keinginan.

Cyrus mula menganggap dirinya sebagai incel dan membuat catatan dalam talian yang mengancam untuk membunuh atau merogol wanita.

Dia mempunyai fantasi untuk melakukan keganasan terhadap kumpulan tertentu di sekolah, termasuk individu LGBTQ dan pasangan yang sedang menjalin hubungan.

Dia tidak berkongsi pandangan ekstremis atau idea ganasnya dengan keluarga atau rakan sekolahnya.

Meskipun Cyrus tidak mengambil langkah persediaan untuk melaksanakan idea ganasnya, sokongannya terhadap kumpulan pengganas dan ekstremis, serta catatan dalam taliannya yang menghasut keganasan terhadap orang lain, menimbulkan kebimbangan keselamatan, kata ISD.

Oleh itu, dia telah diletakkan di bawah RO agar dapat dipantau ISD dan menjalani rejim pemulihan bagi menangani kepercayaan radikal yang telah diamalkannya.