Pakar bahasa, budaya dan sastera Melayu dari Jerman, Profesor Arndt Graf, kini dalam lawatan ke Singapura.
Beliau yang kini mengajar Pengajian Asia Tenggara di Universiti Goethe, di Jerman, merupakan penyandang pertama Kursi Allahyarham Pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad (MAS) dalam Pengajian Melayu atau ‘Dr Muhammad Ariff Ahmad Professorship in Malay Studies’ di Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sepanjang lawatannya ke Singapura dari 6 hingga 10 Oktober, beliau telah mengambil bahagian dalam beberapa acara anjuran NIE-NTU.
Antara lain, beliau telah menyampaikan kuliah umum bertajuk ‘Melestarikan Warisan, Membina Masa Depan: Menelusuri Peranan Pengajian Melayu Sebagai Jambatan Masyarakat Melalui Lensa Pemikiran MAS’ di The Pod, di Perpustakaan Negara (NLB), pada 9 Oktober.
Kuliah tersebut mencerminkan cara bahasa dan budaya Melayu berfungsi bukan sahaja sebagai wadah komunikasi, malah ia juga wadah jati diri komunal, nilai moral, dan ekspresi kreatif.
Menerusi kuliahnya, Profesor Graf menunjukkan bagaimana Pengajian Melayu berfungsi sebagai jambatan penting - menghubungkan generasi, mengekalkan pertanyaan berdasarkan intelektual dan memupuk daya tahan budaya dalam dunia yang semakin global.
Di samping itu, Profesor Graf juga akan menjadi ahli panel bagi sesi perbincangan dan minum teh bersama pihak berkepentingan pada 10 Oktober di bangunan NIE.
Sesi itu bertajuk ‘Bahasa Melayu di Persada Global: Peluang dan Cabaran’ dan dikendalikan oleh pensyarah kanan NIE, Dr Mohd Aidil Subhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg