Singapura kehilangan sebutir mutiara dalam kalangan masyarakat Islam pada 7 Julai apabila mantan Mufti kedua negara, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, menghembus nafas terakhirnya dan pulang ke pangkuan Illahi.
Beliau, yang dilahirkan pada 2 Julai 1938, meninggal dunia lima hari selepas hari jadinya pada usia 87 tahun.
Tokoh agama yang amat disegani lagi disayangi ramai itu, termasuk daripada kalangan pemimpin negara dan masyarakat bukan Islam juga, dilantik sebagai Mufti pada 1972 ketika berusia 33 tahun.
Allahyarham menggalas peranan tersebut selama 38 tahun sehingga 2010 – menjadikannya Mufti paling lama berkhidmat di Singapura.
Pemergiannya memberi kesan yang mendalam bagi ramai masyarakat Islam Singapura, dengan sekitar 5,000 pengunjung dan anggota jemaah membanjiri Masjid Sultan pada 7 Julai untuk memberikan penghormatan terakhir.
Solat jenazah yang dipimpin oleh Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas, turut disertakan dengan doa yang dibacakan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir – detik sayu yang membuat ramai menitiskan air mata, mengharungi kehilangan tokoh berilmu itu.
Antara pemimpin negara yang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pada awal kehidupannya, Allahyarham Ustaz Syed Isa menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di rumah anak yatim setelah bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia tujuh tahun.
Selepas menamatkan pengajiannya di Madrasah Aljunied, beliau membantu perniagaan import-eksport abangnya, bekerja sebagai jurutaip di konsulat Iraq dan menyertai Kor Vigilante dan Tentera Laut sebelum beliau diterima masuk ke Universiti Al-Azhar.
Apabila beliau kembali ke Singapura selepas sembilan tahun, Allahyarham Ustaz Syed Isa dilantik ke Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah sebagai naib kadi.
Pada akhir 1971, apabila jawatan Mufti diiklankan, Allahyarham Ustaz Syed Isa keberatan untuk memohon.
Hanya atas desakan rakan-rakannya yang mengisi borang bagi pihaknya, barulah beliau menandatangani dan memohon jawatan tersebut.
Selepas beberapa proses temu bual dan saringan, Allahyarham Ustaz Syed Isa dilantik sebagai Mufti pada 7 Februari 1972, dan berusaha mendidik masyarakat tentang akidah Islam melalui akhbar dan radio.
Beliau mengambil alih Mufti pertama Singapura, Ustaz Mohamed Sanusi Mahmood, yang mengakhiri penggalnya setelah tiga tahun berkhidmat.
Antara tugas awal Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait ialah menggalakkan umat Islam membayar zakat fitrah, agar Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dapat menyalurkan bantuan dengan lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan.
Pada masa itu, zakat dibayar menerusi beras, dan beliau perlu menjelaskan kebaikan melakukannya menerusi pembayaran wang tunai.
Mengulas tentang cabaran yang dihadapi Allahyarham Ustaz Syed Isa, mantan Mufti ketiga Singapura, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, berkata selama hampir 40 tahun, khidmat Allahyarham penuh dengan ranjau, onak dan duri.
Masyarakat pada ketika itu masih memandang dengan penuh sinis terhadap apa yang beliau lakukan, tambahnya
“Namun beliau cekal, dan itu di antara apa yang saya warisi daripada beliau. Bahawa kita tidak boleh berpatah semangat hanya kerana percakapan orang.
“Biar orang tidak faham, tetapi apabila kita dapat membuktikan hasilnya daripada keikhlasan dan ketelusan kita, masyarakat akan menghargai,” kata Ustaz Dr Fatris.
Sebagai Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa telah mengetuai Jawatankuasa Fatwa untuk mencari penyelesaian bagi isu-isu mencabar dan berkembang yang dihadapi umat Islam Singapura.
Encik Wong berkata: “Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Islam melalui isu-isu yang kompleks dan berkembang.
“Beliau bekerja rapat dengan masyarakat dan pemerintah untuk mencapai penyelesaian unik untuk merangkumkan masyarakat Islam Singapura sebagai potensi penderma di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota).”
Dalam sepucuk surat yang dikirim kepada isteri Allahyarham, Sharifah Muznah Mohammad Alhaddad, Encik Lee mengenang pertemuan pertama beliau bersama Allahyarham Ustaz Syed Isa pada 1988.
Beliau berkongsi Allahyarham telah hadir di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyampaikan pandangannya mengenai cadangan penubuhan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
“Beliau mengagumkan Jawatankuasa sebagai seseorang yang mempunyai pandangan yang jelas tentang ajaran Islam, dan bagaimana kewajipan agama harus diterapkan dalam konteks berbilang kaum kita.
“Jawapannya yang mantap dan bernas kepada soalan-soalan Jawatankuasa menunjukkan kedalaman keyakinan dan pandangan beliau mengenai isu-isu sensitif dan penting ini,” kata Encik Lee, yang ketika itu menganggotai Jawatankuasa Khas tersebut.
Meskipun Allahyarham diasak dengan pelbagai soalan yang mencabar, Encik Lee berkata Allahyarham Ustaz Syed Isa kekal tenang dan yakin dalam menyuarakan keprihatinan serta aspirasi masyarakat Melayu/Islam.
Selama hampir empat dekad di bawah kepemimpinan Allahyarham Ustaz Syed Isa, Muis telah berjaya menubuhkan pelbagai institusi utama yang telah membantu memacu kehidupan beragama masyarakat.
Ini termasuk penubuhan sistem penentuan kalendar Islam, pembangunan institusi kutipan dan penyaluran zakat, program pembangunan sosial bagi golongan fakir miskin dan Dana Pembangunan Masjid (MBF).
Allahyarham Ustaz Syed Isa juga menyelia pengurusan dan pertumbuhan harta wakaf Singapura, serta penubuhan sistem Pensijilan Halal yang boleh dipercayai dan diterima di peringkat antarabangsa.
Mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham, Encik Wong berkata:
“Ustaz Syed Isa mendedikasikan hidupnya untuk membimbing dan memartabatkan masyarakat Islam. Beliau meletakkan asas bagi banyak institusi yang berkhidmat kepada masyarakat hari ini.
“Ustaz Syed Isa akan dikenang atas kebaikan, kebijaksanaan dan dedikasinya yang teguh kepada masyarakat.
“Beliau adalah tonggak, bukan sahaja kepada masyarakat Islam Singapura, tetapi juga kepada negara kita.”
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam kenyataannya berkata Allahyarham merupakan salah seorang daripada tiga penulis Buku Pengetahuan Islam, bersama Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri dan Encik Muhammad Ariff Ahmad.
Buku tersebut kini digunakan dalam kurikulum Institut Pengajian Islam Pergas (Ipip) bagi Program Takrif Islam dan Sijil Pengajian Islam.
Allahyarham juga menyokong pembentukan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk menggalak umat Islam Singapura menunjuk belas ihsan terhadap golongan fakir miskin dan mangsa bencana tanpa mengira kepercayaan atau bangsa.
Beliau juga merupakan tokoh penting dalam mempromosikan keharmonian antara agama di Singapura.
Allahyarham menyokong pembentukan Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah di Bishan bagi menggalak penglibatan dan keharmonian antara agama yang lebih luas.
Allahyarham merupakan ahli majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO) pada 1975 dan kemudian menjadi ahli seumur hidup badan tersebut.
Beliau dilantik sebagai Presiden IRO pada 1993.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata Allahyarham telah banyak berjasa dan berkorban dalam membangunkan kehidupan agama masyarakat Islam Singapura melalui panduan fatwa beliau.
Dr Nazirudin turut menekankan nasihat dan bimbingan Allahyarham dalam menangani kehidupan yang unik di Singapura – yang susah diperoleh dalam banyak masyarakat lain di luar Singapura – di mana masyarakat majmuk dapat hidup bersama bangsa dan agama lain.
“Beliau telah memberikan banyak bimbingan bagaimana Islam dapat memberikan respons yang baik, bagaimana umat Islam di Singapura dapat sama-sama membangunkan negara tanpa kehilangan identiti keagamaan mereka.
“Beliau juga sentiasa berpesan supaya kami, para asatizah, menjaga nama baik asatizah dan menjaga nama baik Singapura dalam segala yang kami usahakan dan amalkan,” kata Dr Nazirudin.
Allahyarham Ustaz Syed Isa juga merupakan ahli Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama dari 1992 hingga 2010 dan Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti dari 2015 hingga 2018.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menyusuli penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI).
Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata Allahyarham Ustaz Syed Isa telah memainkan peranan penting dalam mengeluarkan beberapa fatwa penting, yang menyesuaikan prinsip Islam bagi masyarakat moden yang berbilang agama.
“Bersama pemimpin Islam yang lain, beliau bekerjasama dengan pemerintah untuk merancang sebuah masjid di setiap bandar baru.
“Beliau juga bekerja untuk membangunkan dan meningkatkan martabat masyarakat asatizah, dan berkhidmat dengan setia pada kedua-dua Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti dan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama,” kata Tuan Presiden.
Atas kepemimpinan dan sumbangannya yang luas dan tidak pernah kenal lelah kepada perkhidmatan awam dan negara, Allahyarham telah dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) pada 1982 dan Pingat Pentadbiran Awam (Emas) pada 2009.
Selain itu, beliau juga diiktiraf dengan Anugerah Seumur Hidup IRO sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau mengukuhkan keharmonian antara agama di Singapura.
Pada 2011, Allahyarham Ustaz Syed Isa turut dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang yang berprestij.
Pada 2012, Encik Lee melancarkan buku Menjaga Iman (Keeping the Faith) yang menceritakan kisah dan pengalaman hidup Allahyarham selama bertahun-tahun berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat dan negara.
Menurut menantu Allahyarham, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff, 50 tahun, Ustaz Syed Isa telah meninggal dunia di rumah akibat sakit tua.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak perempuan dan 13 cucu.
“
Bersama pemimpin Islam yang lain, beliau bekerjasama dengan pemerintah untuk merancang sebuah masjid di setiap bandar baru. Beliau juga bekerja untuk membangunkan dan meningkatkan martabat masyarakat asatizah, dan berkhidmat dengan setia pada kedua-dua Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti dan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama.“
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Islam melalui isu-isu yang kompleks dan berkembang. Beliau bekerja rapat dengan masyarakat dan pemerintah untuk mencapai penyelesaian unik untuk merangkumkan masyarakat Islam Singapura sebagai potensi penderma di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota).“
Beliau mengagumkan Jawatankuasa sebagai seseorang yang mempunyai pandangan yang jelas tentang ajaran Islam, dan bagaimana kewajipan agama harus diterapkan dalam konteks berbilang kaum kita. Jawapannya yang mantap dan bernas kepada soalan-soalan Jawatankuasa menunjukkan kedalaman keyakinan dan pandangan beliau mengenai isu-isu sensitif dan penting ini.“
... Beliau cekal (menghadapi cabaran awal khidmatnya), dan itu di antara apa yang saya warisi daripada beliau. Bahawa kita tidak boleh berpatah semangat hanya kerana percakapan orang. Biar orang tidak faham, tetapi apabila kita dapat membuktikan hasilnya daripada keikhlasan dan ketelusan kita, masyarakat akan menghargai.“
Beliau telah memberikan banyak bimbingan bagaimana Islam dapat memberikan respons yang baik, bagaimana umat Islam di Singapura dapat sama-sama membangunkan negara tanpa kehilangan identiti keagamaan mereka. Beliau juga sentiasa berpesan supaya kami, para asatizah, menjaga nama baik asatizah dan menjaga nama baik Singapura dalam segala yang kami usahakan dan amalkan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg