Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar: Tidak perlu panik wujud varian baru Covid-19

Optimis varian koronavirus baru tidak akan jejas keberkesanan vaksin
Dec 25, 2020 | 5:30 AM
a1aa9a64-ae7a-418f-bb06-d4fb037d5b88
-

KES pertama melibatkan varian baru Covid-19 yang disahkan di Singapura menimbulkan kebimbangan tetapi pakar perubatan berkata orang ramai tidak perlu panik.

Malah, mereka bersikap optimis varian koronavirus yang baru itu tidak akan menjejas keberkesanan vaksin yang ada.

Varian koronavirus B117 itu kini menular di Britain dan disyaki lebih mudah berjangkit.

Namun pakar penyakit berjangkit dari Hospital Mount Elizabeth Novena, Dr Leong Hoe Nam, berkata orang ramai tidak perlu bimbang berhubung kes jangkitan B117 yang diimport itu kerana pesakit itu telah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) di pusat kuarantin yang ditetapkan setibanya di Singapura.

"Tidak mungkin individu itu boleh menjangkiti orang lain dan virus itu akan mati dalam tubuh individu itu, jadi saya tidak bimbang tentang kes tersebut," ujar Dr Leong.

Menambah, Dr Leong berkata pemerintah juga tidak lagi membenarkan semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke Britain sepanjang tempoh 14 hari yang lalu masuk ke negara ini atau transit di Singapura.

Langkah-langkah itu, bersama langkah lain seperti SHN dan ujian Covid- 19 mandatori yang dikenakan ke atas mereka yang masuk ke negara ini, adalah aspek perlindungan penting bagi masyarakat daripada jangkitan Covid-19, ujar Dr Leong.

Alat jejak kontak seperti TraceTogether dan SafeEntry pula penting untuk segera mengenal pasti golongan paling berisiko dijangkiti akibat terdedah kepada pesakit Covid-19, katanya menambah.

Namun sekiranya ada kes yang terlepas, Dr Leong berkata langkah lain seperti memakai pelitup, memastikan jarak selamat antara individu serta program vaksinasi adalah penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Dr Leong berkata vaksin Covid-19 dijangka tetap berkesan menentang varian B117 tetapi vaksinasi harus dilaksana dengan cepat dan bagi seberapa ramai orang yang mampu.

Ini kerana dengan lebih banyak peluang virus itu dibenarkan menular, terdapat lebih banyak peluang juga baginya melalui mutasi terhadap vaksin.

"Virus ini sedang berlumba untuk mutasi. Jika virus ini dapat mutasi dahulu sebelum orang ramai mendapatkan vaksin, kita akan kalah tapi kalau sebaliknya berlaku, kita akan menang," ujar Dr Leong.

Bersependapat, doktor keluarga, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, menggesa orang ramai segera mendapatkan vaksin itu apabila ia sudah ada untuk menyumbang kepada usaha membendung penularannya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan kes jangkitan Covid-19 varian B117 pertama di sini - seorang warga perempuan Singapura berusia 17 tahun yang menuntut di Britain sejak Ogos 2020.

Dihubungi Berita Harian (BH), Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, pula berkata adalah tidak mengejutkan pesakit yang dijangkiti varian B117 dikesan di sini.

Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan di Klinik Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Suphan, pula menarik perhatian bahawa varian baru Covid-19 itu didapati 70 peratus lebih mudah menular.

Ini membayangkan risiko jangkitan bertambah bagi varian tersebut, kata Dr Nuridayati.

Bersependapat, Dr Leong berkata varian B117 kini juga telah dikesan di luar Britain seperti di Australia, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.

Singapura perlu tetap bersikap berjaga-jaga kata Dr Leong.

"Ancaman varian baru ini menular ke sini tetap ada, dan kita perlu berjaga-jaga, terutamanya di pintu masuk ke Singapura seperti di lapangan terbang dan di pelabuhan," kata Dr Leong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg