Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Usaha pemerintah kawal media sosial remaja langkah pertama, perlu sokongan tambahan
Langkah seperti menetapkan had masa, mematikan ciri menatal (scroll) tanpa henti dan fungsi main semula automatik serta menyekat mesej langsung (DM) daripada orang yang tidak dikenali tidak dapat menjamin perubahan tingkah laku remaja dalam talian.
Namun, langkah sedemikian merupakan titik permulaan yang penting dan boleh menjadi berkesan pada masa hadapan dalam membentuk penggunaan serta sikap yang lebih selamat terhadap media sosial, kata pakar ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Sebagai contoh, pengenalan had masa dapat mengganggu tabiat menatal secara automatik dan mendorong remaja untuk lebih sedar tentang tempoh masa yang mereka luangkan dalam talian.
“Had masa boleh mengurangkan penggunaan secara berlebihan, namun langkah perlindungan juga perlu memberi perhatian kepada kepentingan nilai-nilai serta ciri-ciri perkembangan remaja.
“Ini termasuk membentuk tabiat seperti kemahiran mengawal diri dan mengawal emosi dalam penggunaan peranti digital serta penggunaan kandungan dalam talian,” kata Penolong Profesor Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 31 Ogos, telah mengumumkan bahawa pemerintah sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan had masa harian bagi penggunaan media sosial, sebagai antara beberapa langkah perlindungan mandatori untuk remaja bagi menangani ciri-ciri platform yang boleh mendorong ketagihan serta interaksi yang bahaya.
Menyusuli itu, Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menjelaskan tempoh masa yang dihabiskan di hadapan skrin semata-mata bukan satu petunjuk bagi mengukur kemudaratan.
“Kandungan yang diakses dan cara seseorang respons terhadap kandungan (dalam talian) adalah lebih penting.
“Cadangan had masa harian akan membantu membentuk norma bahawa penggunaan skrin secara berlebihan bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan golongan muda,” kata Profesor Tan.
Beliau mengingatkan bahawa kehidupan adalah lebih luas daripada apa yang dipapar di skrin kecil – sama ada telefon bimbit, komputer riba atau tablet – dan kadangkala usaha yang disengajakan diperlukan untuk memastikan golongan muda tidak terlalu tertumpu kepada peranti mereka.
Dalam pada itu, Penolong Profesor Andrew Yee, daripada Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee (WKWSCI) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata remaja yang kerap menggunakan media sosial namun mempunyai rakan, aktif secara fizikal, mendapat tidur yang mencukupi, mempunyai kesejahteraan emosi yang baik serta mampu menjalani kegiatan harian mereka, adalah tidak membimbangkan.
“Namun, jika mereka tidak mendapat tidur yang mencukupi kerana penggunaan media sosial, atau memilih untuk tidak makan kerana terpengaruh dengan nasihat daripada seseorang yang mereka ikuti dalam talian, keadaan itu boleh mendatangkan kebimbangan,” jelas Profesor Yee.
Justeru, Ketua bagi Program Komunikasi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Brian Lee, berkongsi langkah perlindungan berbentuk struktur dengan pendekatan pendidikan dan hubungan kekeluargaan perlu diambil bagi memastikan kesejahteraan digital dalam jangka panjang.
Program TOUCH Cyber Wellness (TCW) sedia ada, menurut Profesor Lee, perlu dikemas kini agar ia selari dengan perkembangan dan perubahan terkini.
Program TCW merupakan satu inisiatif oleh TOUCH Community Services yang mempromosikan penggunaan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab, dan seimbang dalam kalangan kanak-kanak, remaja, ibu bapa, serta pendidik.
Di samping itu, beliau turut menekankan agar ibu bapa memainkan peranan lebih aktif.
“Ibu bapa harus diberikan sokongan untuk beralih daripada sekadar menjadi pihak yang menguatkuasakan had masa kepada pembimbing yang membantu remaja membangunkan keupayaan mengawal diri.
“Peranan pemerintah adalah mewujudkan persekitaran yang selamat, manakala keluarga berperanan membentuk panduan dalaman bagi membantu remaja membuat pilihan yang bijak,” ujar Profesor Lee.
Berkongsi pandangan serupa, Dr Elmie berkata bimbingan ibu bapa, celik digital dan sokongan, di samping perbualan dan norma keluarga yang sihat mengenai tingkah laku dalam talian dan penggunaan peranti digital di rumah diperlukan untuk saling melengkapi saranan pemerintah.
