Keluarga muda, dan mereka yang merancang membina rumah tangga, boleh menjangkakan lebih banyak sokongan dalam membesarkan anak mereka melalui pakej sokongan yang menyediakan sekitar $70,000 bagi setiap kanak-kanak Singapura, dari lahir hingga mereka mencapai usia 17 tahun.

Ini termasuk Pakej Bantuan Anak SG, yang menggantikan Skim Bonus Bayi dan Skim Keluarga Besar sedia ada yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

Pakej baru itu menyediakan sokongan lebih kukuh dan berterusan untuk membesarkan anak dari lahir hingga tahun-tahun membesar, dan memastikan setiap kanak-kanak Singapura menerima tahap sokongan yang sama tanpa mengira susunan kelahiran, jelas Encik Wong.

Beliau menyatakan skim semasa seperti Hadiah Tunai Bonus Bayi, Akaun Pembangunan Anak (CDA), dan Skim Keluarga Besar menyediakan sokongan yang berbeza-beza bergantung pada susunan kelahiran anak, dan ia telah menjadi agak rumit dan sukar difahami oleh ibu bapa.

“Kami akan melaksanakan beberapa perubahan. Kami akan memudahkan pelaksanaannya. Setiap anak akan menerima tahap sokongan yang sama.

“Kami akan menyediakan lebih banyak sokongan – bukan sahaja sewaktu kelahiran, tetapi secara berterusan sepanjang tahun-tahun mereka membesar,” ujar Encik Wong.

Antara sokongan yang boleh dijangkakan oleh ibu bapa termasuk menerima Kredit Anak sehingga $32,000 secara tunai, dengan $2,000 diagihkan setiap tahun dari tahun anak itu berumur satu tahun hingga tahun anak itu mencapai usia 16 tahun.

Mereka yang lahir pada atau selepas 1 April 2027 juga akan menerima Hadiah Bayi $10,000 secara tunai, yang diagihkan dalam dua peringkat sepanjang 12 bulan pertama selepas kelahiran mereka.

Ini bagi menyediakan bantuan pendahuluan yang lebih besar buat ibu bapa dengan perbelanjaan yang lebih tinggi yang ditanggung semasa lahir dan pada tahun pertama mereka.

Di bawah Pakej Bantuan Anak SG yang baharu itu, pemerintah juga akan menyediakan geran permulaan sebanyak $5,000 di bawah Geran Langkah Pertama (FSG) CDA, dengan sehingga $5,000 dalam pemadanan bersama oleh pemerintah.

Bagi membantu ibu bapa menanggung kos pendidikan tinggi, pemerintah juga akan menokok sebanyak $10,000 ke Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) anak pada tahun anak itu berusia 17 tahun.

CDA juga akan dilanjutkan sehingga akhir tahun apabila anak itu berusia 16 tahun, dan bukannya 12 tahun pada masa sekarang.

Ini bagi memberikan ibu bapa tempoh yang lebih lama untuk mendapatkan manfaat daripada pemadanan bersama pemerintah dan menggunakan dana CDA untuk perbelanjaan membesarkan anak yang diluluskan.

Pakej itu juga akan diperluaskan kepada semua kanak-kanak Singapura sedia ada yang lahir pada atau berusia 1 hingga 17 tahun pada 2026.

Mereka akan mendapatkan manfaat berdasarkan usia mereka yang sepadan pada 2026 dan pada tahun-tahun berikutnya.

Dengan sokongan sedia ada seperti Geran MediSave $5,000 untuk bayi baru lahir serta sumbangan tahunan Edusave di sekolah rendah dan menengah, Encik Wong berkata setiap kanak-kanak Singapura akan menerima hampir $70,000 dalam sokongan kewangan langsung sepanjang membesar.

“Disebabkan setiap anak menerima sokongan yang sama, keluarga yang mempunyai lebih ramai anak secara semula jadinya akan menerima lebih banyak sokongan secara keseluruhan,” kata Encik Wong.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), lebih 610,000 kanak-kanak merentasi 380,000 isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada langkah-langkah ini.

Ini adalah isi rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak warga Singapura berusia 17 tahun dan ke bawah setakat Jun.