Yuran penjagaan anak dan bayi sepanjang hari di pusat yang disokong pemerintah akan dikurangkan secara bertahap kepada $150 dan $300 sebulan masing-masing menjelang 2030.

Subsidi penuh untuk penjagaan anak dan bayi juga akan diperluaskan kepada semua keluarga yang mempunyai anak rakyat Singapura, tanpa mengira status pekerjaan pemohon utama.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

“Kadar yuran lebih rendah ini akan terpakai kepada setiap anak warga Singapura, tanpa mengira pendapatan isi rumah.

“Keluarga berpendapatan rendah akan terus menerima subsidi tambahan, dan membayar pada kadar jauh lebih rendah,” kata Encik Wong.

Pada masa ini, ibu bapa membayar antara $365 dengan $709 setiap bulan untuk penjagaan anak sepanjang hari, dan antara $746 dengan $1,406 untuk penjagaan bayi sepanjang hari di pusat-pusat yang disokong oleh pemerintah.

Dengan perubahan yang akan dilaksanakan secara bertahap mulai 2028, ibu bapa boleh menjangkakan bayaran kurang separuh daripada kadar yuran semasa.

Perubahan ini juga bertujuan memberi lebih banyak masa kepada sektor penjagaan anak dan bayi untuk membuat penyesuaian dan memastikan mutu penjagaan dan pendidikan dikekalkan sepanjang peralihan, kata Encik Wong.

Pemerintah juga akan mengembangkan rangkaian pengendali prasekolah yang disokong pemerintah, untuk menyediakan keluarga dengan akses yang lebih luas kepada perkhidmatan prasekolah yang berpatutan dan bermutu.

Sokongan tambahan juga akan diberikan kepada pengendali bukan pemerintah yang layak untuk menyertai rangkaian ini, kata Encik Wong

“Kami mahu yuran lebih rendah ini dapat disediakan secara lebih meluas. Oleh itu, kami terlebih dahulu perlu meluaskan rangkaian pengendali yang disokong pemerintah secara ketara.

“Kami akan menyediakan sokongan kepada pengendali yang berminat untuk menyertai usaha ini dan memenuhi syarat-syarat.

“Seiring dengan peluasan rangkaian ini, kami akan menurunkan kadar yuran secara berperingkat.

“Matlamat kami jelas: prasekolah yang berkualiti dan mampu milik sepatutnya berada dalam lingkungan bajet setiap keluarga, serta mudah diakses di setiap kejiranan,” kata Encik Wong.

Dengan perubahan ini, Encik Wong berkata pemerintah akan menyerap bahagian yang lebih besar daripada kos penjagaan kanak-kanak dan prasekolah.

Bagi menyokong peningkatan permintaan penjagaan pelajar, Encik Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah akan mengembangkan kapasiti pusat penjagaan pelajar di sekolah rendah, dengan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

“Kami akan meluaskan kapasiti, meningkatkan kualiti penjagaan, serta memastikan yurannya kekal mampu milik,” kata Encik Wong.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pusat-pusat terpilih di luar sekolah, bagi menyediakan lebih banyak pilihan untuk ibu bapa.”