Pakej haji dengan tempoh selama 25 hari menerima sambutan paling baik bagi musim 2026, manakala pakej lebih lama iaitu 29 hari merupakan yang terakhir habis dijual, kata Setiausaha Kehormat, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustazah Juyda Noor Mohamad.
Pakej itu merupakan sebahagian daripada 25 pakej yang ditawarkan oleh sembilan ejen penjualan (GSA) pakej haji yang dilulus Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dengan harga purata pakej haji bagi dua individu sebilik adalah $19,154 seorang – peningkatan $2,976 berbanding 2025.
“Kali ini, Muis telah meluluskan pakej haji selama 24 hari, 25 hari dan 29 hari.
“Ketiga-tiga pakej ini diagihkan secara sama rata dalam kalangan 900 bakal (anggota) jemaah.
“Namun begitu, pakej haji yang paling mendapat sambutan dan habis dijual terlebih dahulu ialah pakej bagi tempoh 25 hari, diikuti dengan pakej selama 24 hari, manakala pakej selama 29 hari merupakan yang terakhir habis dijual oleh kesemua ejen pelancongan yang dilantik,” kongsi Ustazah Juyda ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 29 Disember.
Kesemua 900 tempat bagi musim haji 2026 berjaya diperuntukkan kepada pemohon layak yang telah mendapat sijil kesihatan yang diperlukan.
Dalam pada itu, sembilan GSA yang diberi kelulusan menjual pakej haji terdiri daripada Abu Bakar Travel Services; AQ Travel & Tours; Hagel Travel & Tours; Hahnemann Travel & Tours; Halijah Travels; Jalaluddin Travel & Services; Noor Mohamad Services & Travel; Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, pula berkongsi permintaan terhadap ketiga-tiga pakej yang ditawarkan adalah seimbang.
Namun, perbezaan yang diperhatikan ialah bakal jemaah kali ini hadir ke agensi dengan pilihan pakej yang yang mereka inginkan, mencerminkan mereka telah membuat kajian terlebih dahulu.
“Pada musim haji 2026, terdapat segelintir bakal jemaah yang telah melakukan kajian tentang pakej yang tersedia jadi apabila mereka datang, mereka sudah tahu pakej mana yang lebih sesuai untuk mereka.
“Pakej yang lebih murah tidak semestinya pakej yang paling sesuai kerana akhirnya, ia terpulang kepada keperluan dan cita rasa bakal jemaah itu sendiri,” ujar Encik Haffidz.
Menurutnya, permintaan bagi pakej haji 2026 bagi syarikatnya telah meningkat kepada sekitar 180 bakal anggota jemaah, berbanding kira-kira 120 anggota jemaah pada musim haji 2025.
Beliau berkata meskipun harga bagi pakej haji bukanlah murah, namun bakal jemaah mempunyai pilihan mengikut cita rasa dan kemampuan mereka.
Halijah Travels menawarkan pakej haji untuk dua individu sebilik bagi tempoh 25 hari dengan harga yang bermula daripada $16,165; tempoh 24 hari pula bermula daripada $17,345; manakala pakej selama 29 hari bermula daripada $19,425.
Namun, harga tersebut tidak termasuk tiket penerbangan ekonomi sebanyak $3,070, tambah Encik Haffidz.
Mulai musim haji 2026, bakal jemaah haji wajib memperoleh sijil kesihatan daripada doktor yang mengesahkan mereka bebas penyakit kronik.
Kriteria terkini itu ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu).
“
“Kali ini, Muis telah meluluskan pakej haji selama 24 hari, 25 hari dan 29 hari. Ketiga-tiga pakej ini diagihkan secara sama rata dalam kalangan 900 bakal (anggota) jemaah. Namun begitu, pakej haji yang paling mendapat sambutan dan habis dijual terlebih dahulu ialah pakej bagi tempoh 25 hari, diikuti dengan pakej selama 24 hari, manakala pakej selama 29 hari merupakan yang terakhir habis dijual oleh kesemua ejen pelancongan yang dilantik.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg