Sedang jemaah Singapura mula menerima surat tawaran menunaikan haji musim 2025 rasmi daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), terdapat segelintir yang memilih pakej haji tidak rasmi untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pakej haji tidak rasmi ini lazimnya tidak memenuhi syarat pihak berkuasa Arab Saudi, lantas meningkatkan risiko jemaah menghadapi masalah visa dan penginapan, serta pelbagai kesulitan lain di Tanah Suci.
Pemeriksaan Berita Minggu (BM) mendapati kira-kira 100 jemaah telah mendaftar untuk menunaikan haji pada 2025 menggunakan permit tidak sah, termasuk menggunakan visa pelancong, visa perniagaan, visa furada (visa jemputan), menerusi pakej yang dikenali sebagai haji ‘VIP’.
Mereka mendaftar dengan sekurang-kurangnya lima ejen atau individu yang menawarkan pakej haji ‘VIP’ itu. Jumlah jemaah yang memilih pakej haji ‘VIP’ ini dijangka terus meningkat menjelang musim haji pada Jun 2025.
Jurucakap Muis dalam kenyataannya kepada BM berhubung jemaah yang memilih menunaikan haji tanpa menggunakan tawaran rasmi oleh pihaknya berkata: “Menggunakan visa di luar kuota rasmi visa haji Muis untuk menunaikan rukun Islam itu sangat berisiko. Daripada perspektif kami, pengurusan atau pelaksanaan haji tanpa permit rasmi adalah sesuatu yang tidak digalakkan sama sekali.”
Pakej itu ditawarkan pada harga tinggi antara $28,000 hingga $37,000, jauh melebihi kos pakej haji kuota rasmi Muis yang sekitar $16,178 hingga $26,995. Ia menjanjikan tempoh perjalanan 20 hingga 30 hari ke Makkah dan Madinah, tanpa keperluan menunggu giliran dalam sistem kuota rasmi.
Namun, harga tinggi itu tidak menjamin keselamatan dan kesempurnaan ibadah haji. Pemeriksaan BM mendapati ejen haji ‘VIP’ yang menawarkan pakej untuk haji 2025 adalah individu dan agensi yang sama yang membawa sekitar 150 hingga 200 jemaah menunaikan haji ‘VIP’ pada 2024.
Pengalaman pahit jemaah pada 2024 menjadi bukti. Daripada 40 jemaah yang dijanjikan berangkat menggunakan visa furada, hanya 11 dapat menunaikan haji, sementara 29 hanya menggigit jari.
Lebih mengejutkan, sekitar 30 jemaah yang menggunakan visa pelancong melaporkan pengalaman seperti “pelarian” di Tanah Suci pada 2024.
“Kami terpaksa bersembunyi dan sering melarikan diri daripada pihak berkuasa Arab Saudi kerana tidak mempunyai visa haji yang sah,” kongsi seorang jemaah yang membayar sekitar $28,000 bagi pakej haji ‘VIP’ 30 hari.
Seorang jemaah yang menunaikan haji menggunakan visa perniagaan bersama 80 jemaah lain turut meluahkan penyesalan.
“Walaupun saya sempurna menunaikan haji, rasa bersalah masih menghantui kerana tahu saya tidak mengikut aturan pihak berkuasa. Ini bukan ibadah yang saya impikan,” katanya dengan nada kesal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg