Menjelang Februari 2024, kira-kira 2 juta rakyat Singapura berumur 20 tahun dan ke bawah, dan mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas, akan menerima tokokan sebanyak $150 dalam akaun Medisave mereka, tanpa mengira nilai tahunan rumah atau pendapatan mereka, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada 15 Januari.
Pada masa yang sama, kira-kira 850,000 warga emas berpendapatan rendah Singapura yang berumur 55 tahun dan ke atas juga akan menerima Bonus Warga Emas antara $200 hingga $300.
Warga emas ini tinggal di rumah yang mempunyai nilai tahunan sehingga $25,000, dan juga memenuhi kriteria kelayakan lain, termasuk pendapatan mereka yang diperoleh pada 2021.
Demikian antara sebahagian daripada sokongan Pakej Jaminan yang diumumkan semasa Belanjawan 2022, yang bertujuan membantu rakyat Singapura mengharungi tempoh inflasi yang lebih tinggi dan mengurangkan kesan kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Di bawah Pakej Jaminan, warga emas yang layak akan menerima Bonus Warga Emas berjumlah $600 hingga $900, dan semua kanak-kanak dan warga emas Singapura akan menerima tokokan MediSave berjumlah $450. Pengagihan akan dibuat selama tiga tahun dari 2023 hingga 2025.
Untuk mendapatkan bayaran dan tokokan Medisave seawal 5 Februari, warga Singapura digalakkan mengaitkan nombor kad pengenalan (NRIC) mereka kepada PayNow.
Mereka yang tidak mempunyai akaun bank yang terpaut dengan PayNow boleh mengemas kini maklumat akaun bank mereka selewat-lewatnya 26 Januari 2024 untuk menerima pembayaran pada 13 Februari 2024.
Rakyat Singapura yang tidak mengaitkan NRIC mereka kepada PayNow atau memberikan butiran akaun bank mereka sebaliknya akan menerima GovCash, yang akan diedarkan pada 23 Februari.
Penerima yang layak akan dimaklumkan pada Februari 2024 selepas Bonus Warga Emas dan MediSave telah diagihkan kepada mereka, sama ada melalui aplikasi Singpass atau pemberitahuan SMS.
Untuk mengelakkan diri daripada penipuan, MOF berkata pemberitahuan SMS yang dihantar oleh ‘MOF’ hanya akan memaklumkan warga tentang faedah yang mereka layak dapat, dan tidak akan meminta mereka membalas, mengklik mana-mana pautan atau memberikan sebarang maklumat peribadi.
Dalam ucapan Belanjawan sulungnya pada 18 Februari 2022, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan Pakej Jaminan akan dinaikkan kepada $6.6 bilion.
Semasa Belanjawan tahun berikutnya, jumlah tersebut dinaikkan lagi sehingga $9.6 bilion, dengan Encik Wong mengumumkan peningkatan $800 juta kepada Pakej Jaminan pada 28 September 2023, menjadikan jumlahnya lebih daripada $10 bilion.
Mereka yang ingin tahu kelayakan mereka untuk mendapat bonus dan tokokan Medisave boleh log masuk ke laman rasmi Pakej Jaminan menerusi aplikasi Singpass.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg