Pakej sokongan baharu bernilai $900 juta, termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) tambahan dan rebat U-Save, akan disediakan oleh pemerintah untuk membantu isi rumah dan perniagaan Singapura mengharungi kesan kenaikan kos berikutan konflik di Timur Tengah.

Ini merupakan bantuan kedua oleh pemerintah sebagai respons kepada konflik yang berterusan dan tidak menentu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej, termasuk pakej pertama yang diumumkan pada April oleh pemerintah, kepada kira-kira $2 bilion.

Bercakap pada sidang media yang diadakan di bangunan The Treasury pada 29 Julai, Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow berkata pemerintah telah bertindak pantas untuk menyediakan pakej bantuan pertama bagi mengurangkan kesan kejutan harga tenaga.

Walaupun ekonomi Singapura telah bertahan lebih baik daripada yang dijangkakan setakat ini, beliau berkata situasi masih rapuh dan pemerintah menjangkakan harga tenaga global akan kekal tinggi.

Ini katanya akan menyebabkan kos petrol, diesel, elektrik, serta barangan import tertentu yang lebih tinggi yang akan membawa kesan kepada rakyat.

“Kami percaya ini adalah respons yang tepat memandangkan keadaan ekonomi yang kita hadapi hari ini. Pada masa yang sama, kami menyedari bahawa situasi global masih tidak menentu.

“Kami juga berhubung rapat dengan persatuan perdagangan dan perniagaan, kesatuan sekerja dan pekerja, pemimpin akar umbi dan penduduk, dan menerima maklum balas secara berkala di lapangan.

“Kami bersedia untuk bertindak balas sekiranya keadaan berubah,” kata Encik Siow, yang juga Menteri Pengangkutan.

Sebagai sebahagian daripada sokongan ini, semua isi rumah Singapura akan menerima tambahan $300 dalam baucar CDC pada Januari 2027, yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2027.

Ini adalah tambahan kepada $500 dalam baucar CDC yang pemerintah telah membawa ke hadapan sehingga Jun 2026, menjadikan jumlah baucar CDC yang diagihkan pada tahun kewangan 2026 kepada $800.

Isi rumah juga akan menerima rebat U-Save tambahan pada Oktober 2026 dan Januari 2027, sebagai tambahan kepada rebat Belanjawan 2026 yang disediakan pada April dan Julai 2026.

“Secara keseluruhannya, isi rumah HDB akan menerima rebat $110 hingga $190, pada setiap suku tahun kewangan ini.

“Jumlah ini akan mengimbangi sepenuhnya kesan bil utiliti yang lebih tinggi bagi kebanyakan isi rumah yang tinggal di flat HDB empat bilik atau flat yang lebih kecil sehingga Mac tahun depan (2027),” kata Encik Siow.

Pemerintah juga akan meningkatkan Bantuan Sementara ComCare dengan melaksanakan lebih fleksibiliti dalam kriteria kelayakan pendapatan agar lebih banyak isi rumah akan layak.

Ini akan menyokong isi rumah Singapura berpendapatan rendah yang mungkin menghadapi masalah kewangan sementara.

Bagi golongan ini, pemerintah akan meningkatkan pembayaran bulanan Bantuan Sementara ComCare kepada sekurang-kurangnya $250 sebulan sehingga tiga bulan.

Peningkatan ini akan berkuatkuasa pada Ogos hingga Disember 2026, dengan lebih banyak sokongan akan disediakan kepada mereka yang mempunyai keperluan yang lebih besar.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Siow berkata meskipun pertumbuhan ekonomi negara pada separuh tahun pertama menunjukkan prestasi yang sihat, prestasi merentasi ekonomi tidak sekata.

Beliau berkata perniagaan yang lebih terdedah kepada gangguan bekalan dan kos tenaga telah menghadapi tekanan yang lebih besar, khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME).

Dalam hal ini, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, berkata pemerintah akan menyediakan beberapa sokongan untuk membantu golongan peniaga menguruskan kos perniagaan mereka dalam jangka masa terdekat.

“Kami terus bekerjasama rapat dengan agensi sektor untuk menyokong dan memperkukuhkan perniagaan kami mengharungi masa yang mencabar ini.

“Kami sentiasa memantau perkembangan perniagaan dan bersedia untuk menyediakan sokongan tambahan yang disasarkan apabila diperlukan apabila situasi berubah,” kata Cik Low.

Antara bantuan yang disediakan untuk perniagaan termasuk geran tunai sekali sahaja untuk menyokong SME yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan bagi membantu keperluan aliran tunai mereka.

Syarikat-syarikat ini akan menerima Geran Tunai SME sebanyak $500 bagi setiap pekerja tempatan, sehingga had $2,500 bagi setiap syarikat, pada November.

Syarikat yang layak, yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemilik perniagaan tempatan tetapi tiada pekerja tempatan, juga akan menerima geran tetap $500.

Selain itu, bantuan sewa juga disediakan kepada penjaja di pasar dan pusat penjaja yang diuruskan oleh pemerintah dan pengendali yang dilantik oleh pemerintah.

Bagi golongan ini, mereka akan menerima bantuan sewa sebanyak $1,200 bagi setiap gerai makanan bermasak dan $600 bagi setiap gerai pasar, yang diagihkan selama enam bulan dari September 2026 hingga Februari 2027.