Lebih banyak sokongan akan disediakan bagi membantu warga Singapura menghadapi kesan perang Iran sekiranya keadaan semakin memburuk, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Pemerintah sedang memantau situasi di Timur Tengah dengan teliti dan bersedia untuk mengambil langkah lebih, sekiranya keadaan bertambah buruk, kata beliau pada 18 April di majlis penyampaian anugerah di Sekolah Rendah Ang Mo Kio.

“Dengan sumber dan keupayaan yang telah kami bina selama bertahun-tahun, kami mempunyai apa yang diperlukan.

“Dan saya rasa kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani situasi ini dan membantu warga Singapura harungi krisis ini,” kata Encik Lee.

Negara-negara Asia termasuk dalam kalangan yang paling teruk terjejas oleh krisis Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz, tambah beliau.

Singapura turut terjejas, namun tidak seteruk negara jiran.

Dengan penutupan Selat Hormuz oleh Iran, bekalan tenaga dan barangan kritikal lain untuk seluruh dunia telah terjejas.

Kini, di pertengahan gencatan senjata dua minggu, Amerika Syarikat dan Iran meneruskan rundingan damai, kata beliau.

Namun begitu, sukar untuk mengetahui dengan tepat apa yang sedang berlaku dan mustahil untuk mengatakan bagaimana keadaan akan berkembang, tambahnya.

Encik Lee berkata:

“Tetapi apa yang kita tahu ialah, walaupun perang berhenti serta-merta, kita tidak boleh kembali kepada keadaan sebelum perang bermula.

“Dan walaupun kita boleh berbuat demikian, ia akan mengambil masa berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun untuk memulihkan kerosakan dan memulihkan pengeluaran serta bekalan tenaga sepenuhnya.”

Apabila perang meletus, pemerintah melancarkan pakej sokongan bernilai hampir $1 bilion untuk membantu isi rumah dan perniagaan menghadapi kesan ekonomi krisis itu.

Sebagai contoh, Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 bagi setiap isi rumah yang sepatutnya diagihkan pada Januari 2027 akan diberikan pada Jun 2026.

Bayaran Khas Kos Sara Hidup juga akan dinaikkan sebanyak $200 bagi setiap orang, menjadikan jumlah keseluruhan antara $400 dengan $600 tunai bagi warga Singapura yang layak.

Sektor yang paling terjejas turut mendapat bantuan.

Sebagai contoh, semua pekerja platform aktif, pemandu kereta sewa persendirian dan pemandu teksi akan menerima $200 pada April.

Operator bas sekolah akan mendapat sokongan sementara dan perniagaan mendapat potongan cukai korporat yang dipertingkatkan.

Langkah itu, kata Encik Lee, tidak akan menyelesaikan semua masalah tetapi ia akan membantu isi rumah dan perniagaan menghadapi tekanan segera yang diakibatkan oleh krisis Timur Tengah.

Warga Singapura pula boleh menumpukan perhatian kepada apa yang boleh mereka lakukan untuk meringankan kesan persekitaran ekonomi luaran.

Beliau berkata: “Bak kata pepatah, tetap tenang dan teruskan. Tumpukan kepada perkara praktikal yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi ini dan saling membantu antara satu sama lain.”

“Dengan sumber dan keupayaan yang telah kami bina selama bertahun-tahun, kami mempunyai apa yang diperlukan. Dan saya rasa kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani situasi ini dan membantu warga Singapura harungi krisis ini.”
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.