Topik diikuti
Pergi ke BHkuPalang Merah S’pura peruntuk bantuan $50,000 kepada Colombia akibat gempa bumi, $50,000 lagi kepada Venezuela
Palang Merah S’pura peruntuk bantuan $50,000 kepada Colombia akibat gempa bumi, $50,000 lagi kepada Venezuela
Palang Merah S’pura peruntuk bantuan $50,000 kepada Colombia akibat gempa bumi, $50,000 lagi kepada Venezuela
Palang Merah Singapura (SRC) telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan sebanyak $50,000 untuk menyokong Colombia yang dilanda gempa bumi terkuat dalam tempoh satu abad, serta $50,000 lagi kepada Venezuela yang masih menjalankan usaha menyelamat selepas negara itu dilanda dua gempa bumi pada Jun.
Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter melanda Colombia pada 10 Ogos, menyebabkan bangunan runtuh di beberapa bandar utama dan mengorbankan sekurang-kurangnya 265 nyawa. Setakat 13 Ogos, pihak berkuasa menganggarkan lebih 3,500 orang cedera dan lebih 500 orang masih hilang.
Bantuan sebanyak $50,000 kepada Colombia itu akan menyokong usaha tindak balas oleh rakan kongsi Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, termasuk Palang Merah Colombia, menurut kenyataan SRC pada 13 Ogos.
Bantuan tersebut akan melengkapi dan menyokong usaha bantuan di lapangan, termasuk menyediakan tempat perlindungan sementara, makanan, barangan keperluan serta rawatan kesihatan kecemasan kepada mangsa.
SRC turut menjanjikan $50,000 lagi untuk usaha bantuan dan pembinaan semula oleh Palang Merah Venezuela. Ini merupakan peringkat kedua bantuan kepada Venezuela yang dilanda gempa, menyusuli $100,000 bantuan kemanusiaan yang diperuntukkan kepada negara Amerika Selatan itu pada Jun.
“Bantuan peringkat kedua SRC ini melengkapi usaha tindak balas yang diterajui pihak tempatan dan mencerminkan komitmen berterusan kami selepas fasa awal kecemasan, ketika masyarakat yang terjejas berdepan tempoh pemulihan yang lebih panjang,” kata SRC.
Sehingga kini, SRC telah memperuntukkan sejumlah $150,000 bantuan untuk menyokong usaha menyelamat dan pemulihan di Venezuela, yang dilanda dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada 24 Jun. Gempa tersebut telah mengorbankan lebih 6,300 orang.
Sumbangan tersebut disampaikan secara simbolik oleh Pengerusi SRC, Encik Tan Kai Hoe, kepada Duta Venezuela ke Singapura, Cik Jessica Lopez, dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Colombia di Singapura, Encik Yesid Bonilla, pada 12 Ogos semasa majlis makan malam resepsi Malam Kemanusiaan anjuran SRC.
Orang ramai boleh menyumbang kepada usaha bantuan gempa bumi di Colombia di Red Cross House, 15 Penang Lane, pada waktu pejabat.
Mereka yang ingin menyumbang kepada usaha tindak balas gempa bumi di Venezuela boleh berbuat demikian melalui kaedah berikut:
– PayNow: Masukkan UEN: S86CC0370EFR2 dan nyatakan “Venezuela Earthquake (NRIC, FIN atau UEN anda)” pada ruangan rujukan bil.
– Di kaunter: Red Cross House, 15 Penang Lane, pada waktu pejabat.
– Mengumpul dana: Daftar sebagai pengumpul dana pihak ketiga dengan SRC atau tubuhkan kempen melalui Giving.sg.
