LA GUAIRA (Venezuela): Dengan secepat kilat, Cik Graciela Mora, mencapai rangka pintu apabila gegaran gempa bumi terasa begitu kuat sehingga membuatnya seolah-olah melayang ibarat bakal ditelan bumi.

Penduduk kota La Guaira di Venezuela itu merupakan antara mangsa gempa yang masih bernyawa dan berjaya ditarik keluar daripada puing-puing runtuhan susulan gempa yang melanda pada 24 Jun, lapor laman web, BBC.

Satu rakaman video menunjukkan Cik Mora, 40-an tahun, menceritakan pengalamannya sambil berbaring atas usungan pasukan penyelamat.

“Sejurus sahaja gempa bumi melanda, saya pegang kuat rangka pintu sampai tulang jari saya patah.

“Saya tak sempat menangis dan meratap kehilangan teman yang berada dengan saya ketika itu,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa gempa yang terselamat, Encik Benito Quivera, 57 tahun, dari Caracas pula menyatakan beliau sempat berlari ke dalam almari pakaian dan berdoa bencana itu segera berakhir.

Angka korban maut akibat dua gempa bumi dahsyat di Venezuela kini meningkat kepada 920 mangsa setakat 26 Jun, manakala lebih 50,000 individu dilaporkan masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat yang bermula perlahan kini diperkukuh dengan ketibaan pasukan penyelamat antarabangsa, kata Ketua Bantuan Kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher.

Menurutnya, lebih 50,000 orang masih hilang selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu selang masa hanya seminit pada petang 24 Jun, mengakibatkan bangunan di utara Venezuela runtuh.

Kawasan pesisir pantai La Guaira, berhampiran ibu negara Caracas, paling teruk terkesan apabila deretan bangunan musnah akibat gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5.

Menurut Encik Fletcher, gegaran susulan serta bangunan yang rosak masih menimbulkan risiko besar kepada pasukan penyelamat. 

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Encik Diosdado Cabello, berkata akses ke kawasan bencana dihadkan bermula 8 malam waktu tempatan pada 26 Jun. 

Pasukan penyelamat dari Chile pula tiba di sebuah kompleks kediaman di La Guaira yang merangkumi empat bangunan tinggi dengan ratusan unit pangsapuri, namun hampir kesemua bangunan itu telah runtuh. 

“Malangnya, bangunan itu musnah sepenuhnya dan peluang menemui mangsa yang masih hidup amat tipis.

“Usaha kini tertumpu kepada mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban,” kata Ketua Pasukan Penyelamat, Encik Nadiomar Polanco.

Di lokasi lain, ahli keluarga, jiran dan sukarelawan menggunakan tangan untuk menggali runtuhan dalam usaha menyelamatkan mangsa, sambil meluahkan kekecewaan terhadap kekurangan jentera berat dan bantuan rasmi bagi mengeluarkan mereka yang masih terperangkap.

Penduduk di Caracas mencemuh pemimpin sementara, Cik Delcy Rodriguez, ketika beliau melawat kawasan yang musnah teruk, susulan kemarahan orang ramai terhadap kelewatan dan kelemahan tindak balas rasmi pemerintah.

Venezuela masih berada dalam tempoh peralihan yang rapuh, enam bulan selepas Amerika Syarikat menggulingkan pemimpin negara itu, Encik Nicolas Maduro.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha), memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat dari sekurang-kurangnya 17 negara sedang digerakkan bagi membantu usaha mencari mangsa yang terselamat.

Pasukan penyelamat dari Sepanyol, El Salvador, Switzerland, Colombia dan Mexico sudah berada di lokasi bencana.

Seorang pegawai kanan tentera Amerika turut tiba di Caracas bagi menyelaras usaha bantuan Washington.

Pada 26 Jun, Amerika mengumumkan penghantaran lebih 250 anggota pasukan tindak balas bencana, termasuk tiga unit khas mencari dan menyelamat bersama anjing pengesan yang dilatih untuk mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. – AFP.