Palang Merah Singapura (SRC) telah memperuntukkan tambahan $2 juta dalam bentuk bantuan untuk mangsa banjir di Nepal.

Dana tersebut akan digunakan untuk menyediakan makanan, barangan kebersihan dan pakaian panas kepada masyarakat yang terjejas.

Dalam kemas kini mengenai usaha bantuan pada 25 September, ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC, Encik Benjamin William, berkata ramai yang bimbang tentang musim sejuk yang bakal tiba.

Pada masa ini, suhu di Nuwakot dan Rasuwa, yang terjejas secara langsung akibat banjir, adalah sekitar 20 darjah Celsius.

Namun, apabila musim sejuk semakin hampir, suhu dijangka turun sehingga tinggi sedikit daripada suhu beku.

Banjir yang melanda beberapa kawasan di Tibet dan Nepal pada pagi 26 Ogos telah meragut lebih 1,450 nyawa. Lebih 5,700 orang masih hilang, termasuk sembilan warga Singapura.

Encik William berkata usaha pemulihan bagi keluarga yang terjejas di Nepal baru sahaja bermula.

Bantuan $2 juta itu merupakan bantuan pusingan ketiga daripada SRC, yang sebelum ini menyediakan $50,000 dalam pusingan pertama dan tambahan $170,000 dalam pusingan kedua.

Bantuan terdahulu menyediakan keperluan asas seperti makanan dan bekalan air.

Encik William berkata bantuan terkini akan memberi tumpuan kepada sokongan penting untuk golongan yang paling terdedah, seperti warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil, menjelang musim sejuk.

Antara bantuan yang akan disediakan ialah pakaian panas, selimut, cadar, kasut, barangan kebersihan serta makanan asas seperti beras, minyak masak dan biskut.

Pengarah kanan SRC, Encik Sahari Ani, merupakan sebahagian daripada pasukan enam anggota yang dihantar ke Kathmandu pada 20 September. Beliau kembali ke Singapura pada 24 September.

Ketika bercakap kepada media, beliau berkata 70 peratus daripada mereka yang masih hilang ialah lelaki Nepal.

Beliau berkata banjir melanda kawasan berkenaan pada waktu pagi ketika ramai lelaki sedang bekerja di kilang-kilang yang terletak di sepanjang sungai. Pada ketika itu, wanita berada di rumah manakala kanak-kanak sedang dalam perjalanan ke sekolah.

Ramai keluarga kehilangan pencari nafkah pada hari tersebut, manakala ramai kanak-kanak mengalami trauma, kata Encik William.

Beliau menggesa orang ramai agar turut memberi perhatian kepada keperluan jangka panjang, termasuk membantu kanak-kanak kembali ke sekolah dan mendapatkan sokongan bagi mengatasi trauma. 

SRC akan menghantar pasukan kedua ke Nepal pada November untuk meninjau bentuk bantuan tambahan yang boleh diberikan kepada masyarakat yang terjejas.