Pameran bunga di Takashimaya Square bagi Pesta Taman S’pura pecah rekod

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran bunga di Takashimaya Square bagi Pesta Taman S’pura pecah rekod

Pemasangan cipta Rekod Dunia Guinness bagi kategori ‘Paling Banyak Bunga pada Sebuah Buaian’
Mar 13, 2026 | 6:30 PM

Pameran bunga di Takashimaya Square bagi Pesta Taman S’pura pecah rekod

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pesta Taman Singapura, Singapore Garden Festival, Takashimaya Square, Guinness World Record, Most Flower on a Swing, NParks
Pameran bunga anggerik menampilkan 20 anggerik selebriti dan warisan dipamerkan di Takashimaya Square dari 12 hingga 15 Mac. - Foto ST

Sebuah buaian gergasi setinggi 5 meter (m) yang menampilkan pameran 12,888 kuntum bunga daripada lebih 60 jenis dipamerkan di Takashimaya Square dari 12 hingga 15 Mac.

Pemasangan ini telah mencipta Rekod Dunia Guinness bagi kategori ‘Paling Banyak Bunga pada Sebuah Buaian’.

Ia menampilkan bunga seperti mawar, bunga teluki (carnation), teratai, anggerik dan bunga tiga bulan (hydrangea) yang disusun oleh kira-kira 200 pekebun masyarakat, pelajar, sukarelawan dan kakitangan Lembaga Taman Negara (NParks) dalam tempoh dua hari.

Pameran tersebut merupakan sebahagian daripada acara pelancaran edisi ke-10 Pesta Taman Singapura (SGF), sebuah pameran taman dan bunga antarabangsa yang akan berlangsung dari 4 hingga 12 Julai di Gardens by the Bay.

Festival ini dianjurkan bersama oleh Gardens by the Bay dan NParks.

“Kami memilih buaian kerana ia sering dikaitkan dengan kegembiraan dan rasa kagum, selaras dengan tema ‘Carnival of Blooms’ (Karnival Mekaran Bunga) pada pesta tahun ini (2026),” kata Encik Dennis Lim, pengarah penyelaras festival, acara dan pameran di NParks.

Bunga-bunga tersebut diperoleh dari pelbagai tempat termasuk Singapura, Malaysia, China, Belanda, New Zealand dan Afrika.

Peserta menggunakan pengikat kabel dan jaring untuk menahan span bunga serta melekatkan bunga pada struktur buaian.

Bagi memastikan bunga kekal segar, batangnya dipotong bagi meningkatkan penyerapan air sebelum direndam dalam baldi air yang dicampur makanan bunga.

Bergantung pada jenisnya, bunga-bunga tersebut dijangka bertahan kira-kira seminggu.

Seorang murid darjah tiga Sekolah Rendah Qihua, Evelyn Teo Zi Qi, yang membantu pemasangan pada 11 Mac, berkata:

“Saya belajar cara memotong dan menyediakan bunga, dan prosesnya tidak sukar.”

Peserta daripada Persatuan Kebajikan Orang Cacat (HWA), Encik Victor Chng, 55 tahun, yang menggunakan kerusi roda, berkata:

“Setiap kali melihat bunga matahari, saya berasa sangat gembira.”

Menurut pengadil rasmi Rekod Dunia Guinness, Cik Sonia Ushirogochi, yang terbang dari Jepun bagi percubaan ini, terdapat beberapa syarat untuk memperoleh rekod tersebut.

“Semua bunga yang dikira mesti berada pada buaian atau rangkanya, buaian mesti berfungsi, dan semua bunga mestilah bunga sebenar serta bermutu baik,” katanya.

Ini merupakan Rekod Dunia Guinness ketiga bagi NParks untuk SGF.

Sebelum ini, pada 2016, pesta tersebut mencipta rekod candelier bunga terbesar di dunia dengan lebih 60,000 bunga, dan pada 2018, bakul bunga terbesar di dunia dengan lebih 27,000 bunga.

Selain buaian tersebut, pengunjung boleh menikmati pameran bunga, gerai tumbuhan dan produk gaya hidup, serta ceramah dan bengkel bunga sehingga 15 Mac.

Acara di Takashimaya Square dibuka dari 10 pagi hingga 9.30 malam.

Kanak-kanak dan pengunjung juga boleh menikmati buaian karnival, dinding foto interaktif dan permainan seperti Coconut Shy dan Hoopla.

Pengunjung boleh membeli tiket SGF dengan harga diskaun bermula dari $6.40 bagi rakyat Singapura dan dari $12 bagi bukan penduduk.

Untuk maklumat lanjut, layari sgf.nparks.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg