Buat julung kalinya, satu pameran berskala besar yang bertujuan menarik lebih ramai pengunjung dan pelabur ke Sarawak bakal berlangsung di Suntec City dari 16 hingga 19 Oktober 2025.
Pameran Mega Sarawak 2025 yang dijangka menarik sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung akan menampilkan Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan serta Karnival Sarawak dan Gastronomi untuk menarik minat para pemimpin perniagaan serta orang awam.
“Kami tidak mahu mana-mana bahagian Sarawak kekal tersembunyi atau tidak dikenali oleh dunia luar. Kami akan bersikap terbuka tentang perniagaan kami dan peluang yang ditawarkan di Sarawak,” kongsi Pengerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (Statos), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Acara mega ini akan menyerlahkan kekuatan Sarawak dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pengilangan, pertanian, perkhidmatan, dan pelancongan, sambil menyediakan platform kerjasama bagi peniaga meneroka peluang baru.
Para pengunjung boleh menikmati pelbagai program menarik seperti sesi perbincangan yang bakal dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bagi orang ramai pula, Karnival dan Gastronomi Sarawak akan mempersembahkan budaya serta warisan negara tersebut di mana sekitar 50 reruai yang menampilkan aktiviti interaktif, sajian asli seperti laksa Sarawak, demonstrasi seni dan kraf, serta persembahan budaya akan disajikan.
Selain budayanya yang meriah, Sarawak juga dikenali dengan pelepasan karbon positif, dengan 70 peratus keluasan negeri yang masih berhutan.
“Sarawak kini berada di peringkat transformasi daripada ekonomi konvensional kepada benar-benar ekonomi hijau dan mampan” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee.
Beliau juga berkongsi perkembangan Transit Pantas Berautomasi (ART) yang pertama di luar China, dikuasakan oleh hidrogen.
Ia kini sedang dibangunkan di Sarawak.
Pameran Mega Sarawak dianjurkan oleh kerajaan Sarawak dengan urus setia bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan Sarawak (Mintred) serta Statos di mana pengunjung boleh menantikan promosi pelancongan eksklusif di acara tersebut.
Pameran ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan pelancongan sambil menginspirasi pengunjung untuk meneroka keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya Sarawak.
Pameran Mega Sarawak
Tarikh dan tempat:
16 dan 17 Oktober 2025 (Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore)
16 hingga 19 Oktober 2025 (Karnival dan Gastronomi Sarawak di Suntec Singapore Atrium, Towers 1 dan 2)
Daftar secara percuma bagi Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan di sini.
Masuk secara percuma bagi Karnival dan Gastronomi Sarawak
Maklumat lanjut boleh didapatkan di Statos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg