Sebagai penutup tirai dan bagi menyambut tahun baru 2025, MegaXpress International Pte Ltd mengadakan pameran terakhir bagi 2024 dari 29 November hingga 1 Disember 2024 di Singapore Expo Dewan 5A.
Lebih 200 gerai ditawarkan di ekspo dengan tema, ‘Halal International 2024’.
Ia membuka ruang kepada pengunjung membeli-belah, mendapatkan barang keperluan bagi tahun baru sambil menderma dan menyokong dana peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang terpilih sebagai benefisiari pameran itu.
Pameran ini dipenuhi dengan pelbagai acara menarik dan program kerohanian, sambil mengajak pengunjung menikmati hidangan unik ‘International Cuisine’ seperti dari India, Timur Tengah, Jepun, Thailand, Indonesia dan Malaysia.
Tidak ketinggalan artis sebarang Tambak dan tanah air bakal menghiburkan pengunjung.
Mereka termasuk Fahrin Ahmad, Anzalna, Lana Nodin, Baby Shima, Ramlah Ram, Shuib Sepahtu, di samping kehadiran usahawan Dato Seri Aliff Syukri dan isteri, Datin Seri Shahida, serta Bonda Rozita, Elfaeza Ul Haq, Roslan Shah dan ramai lagi.
Pengurus Komunikasi Media MegaXpress International, Cik Reny Delfina Hamzah, berkata terdapat pelbagai pilihan barangan dan makanan rencam yang ditawarkan di pameran tersebut.
Beliau menganggarkan 20,000 hingga 30,000 pengunjung bakal membanjiri pameran itu.
Selain itu, bagi setiap pembelian daripada $10 ke atas, pengunjung berpeluang memenangi wang tunai tajaan syarikat FFX Capital bermula daripada $400 hingga $1,000 dalam acara cabutan bertuah.
Malah syarikat itu juga menaja 100 beg cenderahati, berisi barangan menarik setiap hari.
“Bagi pameran kali ini, kami menggalakkan semua vendor dan pegerai kami mengeluarkan menu baru dan kreatif untuk acara ‘Halal International 2024’ ini.
“Kami galakkan pengunjung mencuba dan meneroka barangan yang ditawarkan semua reruai. Anda mungkin menjumpai benda ataupun makanan yang belum pernah anda temui atau rasakan sebelum ini. Pameran ini juga merupakan yang terakhir atau penutup bagi 2024,” katanya.
Menurutnya, lebih banyak pameran akan diadakan pada 2025, seawal 10 hingga 12 Januari.
“Bagi acara tiga hari ini, lebih 200 gerai yang rencam tersedia dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.
“Tentunya pameran kali ini menjanjikan lebih banyak lagi kelainan unik, hiburan dan pertandingan lagu dangdut yang menarik, serta syarahan agama dan ceramah oleh asatizah setempat,” jelas Cik Reny.
Beliau turut menggalak perniagaan dari rumah (HBB) atau peniaga kecil menyertai pameran.
“Kami berharap lebih ramai warga Singapura meneroka bidang keusahawanan terutama sekali dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
“Sebagai HBB, anda bukan menjual barangan secara online. Sudah sampai masanya usahawan kita meneroka platform offline ataupun platform ekspo supaya mendapat lebih banyak visibility, atau pendedahan. Ini penting untuk menjana untung,” katanya.
Masuk ke pameran adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut, lungsuri laman media sosial Instagram dan Facebook MegaXpress.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg