Orang ramai kini boleh mendaftar dalam talian bagi mengunjungi pameran T5 In the Making, yang memberi paparan di belakang tabir mengenai visi, perancangan dan reka bentuk Terminal 5 (T5), Lapangan Terbang Changi, yang dijadualkan dibuka pada pertengahan 2030-an.
Pameran itu akan berlangsung dari 6 Januari hingga Mac 2026 di balai ketibaan Terminal 3, menurut kenyataan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) pada 15 Disember.
Ia akan membuka selingkar kisah bagaimana terminal terbaru Lapangan Terbang Changi itu dirancang dan dibangunkan, menjelang pembukaannya kelak.
Pendaftaran dibuka melalui laman web rasmi pameran itu mengikut ketetapan ‘siapa cepat, dia dapat’.
Setiap pendaftar boleh menempah slot lawatan bagi sehingga lima pengunjung.
Lawatan tanpa pendaftaran awal juga diterima, tertakluk kepada ketersedian ruang pada hari berkenaan.
Pameran itu dibuka setiap hari, dari 10 pagi hingga 8 malam, dengan setiap lawatan mengambil masa sekitar 60 minit.
Kemasukan adalah percuma.
Merangkumi lima zon, pameran tersebut menelusuri perjalanan Lapangan Terbang Changi sejak era awalnya di Paya Lebar sehingga peluasannya di Changi, sebelum mengupas skala, reka bentuk dan inovasi yang dirancang bagi T5.
Pengunjung boleh meneroka paparan interaktif, zon pengalaman (mencuba sendiri) serta model berskala terperinci yang menampilkan aspirasi masa depan lapangan terbang itu.
Pameran ini turut mengemukakan teknologi yang sedang diteroka bagi menangani cabaran seperti kekangan tenaga kerja, populasi yang menua serta perubahan iklim.
Sebelum pulang, pengunjung berpeluang meninjau ciri kecerdasan buatan (AI) interaktif dan meninjau dengan lebih dekat model berskala T5 serta keterangan mengenai pembangunan Changi East secara menyeluruh.
Sebelum ini, pada Mei lalu, CAG mendedahkan T5 akan dilengkapi sistem terkini serta penggunaan meluas teknologi dan automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman penumpang.
Antara teknologi yang diketengahkan termasuk robot pengendali bagasi yang mampu beroperasi dalam keadaan cuaca buruk, serta penggunaan analitik video dan AI untuk menjejak proses putar balik masa pesawat dan meramalkan potensi kelewatan.
Proses putar balik masa itu merujuk pada masa antara ketibaan pesawat dengan keberangkatan selanjutnya.
Terminal itu juga akan dikuasai tenaga bersih bagi mengurangkan jejak karbonnya.
Sistem solar di bumbungnya, yang merupakan antara yang terbesar di Singapura, berpotensi menjana tenaga mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada sehingga 20,000 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) selama setahun.
T5 terletak dalam kawasan pembangunan Changi East seluas 1,080 hektar, yang turut merangkumi landasan ketiga, kompleks kargo baru serta prasarana sokongan penerbangan dan pengangkutan darat.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, merasmikan majlis pecah tanah bagi terminal mega itu pada Mei lalu.
Direka bagi mengendalikan sekitar 50 juta penumpang setahun, T5 akan menggandakan saiz Lapangan Terbang Changi dan meningkatkan kapasiti penumpang tahunannya daripada 90 juta orang kepada 140 juta penumpang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg