Satu program nasional baru akan mengkaji kesan cuaca buruk terhadap operasi penerbangan di Singapura susulan peningkatan enam kali ganda pesawat yang terpaksa dilencongkan dari Lapangan Terbang Changi pada 2025.
Program Meteorologi Penerbangan, yang diwujudkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), akan membangunkan kemampuan penyelidikan dan operasi untuk mengurangkan kesan cuaca terhadap kawalan trafik udara, syarikat penerbangan dan operasi lapangan terbang.
Program tersebut memberi tumpuan kepada lima fenomena cuaca kritikal yang menjejas penerbangan di Singapura dan rantau ini, lapor The Straits Times (ST).
Cuaca olakan (convective) yang merangkumi awan, hujan dan angin akibat pergerakan udara panas dan sejuk menyebabkan lonjakan lencongan penerbangan daripada sembilan antara Januari dengan November 2024 kepada 55 dalam tempoh yang sama pada 2025.
CAAS dan NEA menjelaskan ribut petir kini lebih sukar diramal dan boleh berlaku serta reda secara mendadak.
Kededua agensi akan meningkatkan ramalan cuaca buruk bagi menyokong keputusan masa nyata dan meningkatkan kecekapan operasi lapangan terbang.
Salah satu tumpuan utama merupakan risiko kilat. Singapura antara negara paling terdedah kepada kilat kerana kedudukannya berhampiran khatulistiwa, kata CAAS dan NEA.
Pemberitahuan risiko kilat dalam radius keselamatan enam kilometer di sekitar lapangan terbang dijangka menimbulkan cabaran tambahan apabila Terminal 5 siap pada pertengahan 2030-an.
CAAS dan NEA akan mengurangkan kesan kilat dengan meningkatkan ketepatan ramalan serta menghasilkan peta ketumpatan kilat berasaskan data sejarah.
Mereka juga akan menggunakan pemodelan elektromagnetik untuk memahami interaksi kilat dengan pesawat, prasarana dan manusia.
Alat lain termasuk algoritma ramalan kilat masa nyata dan penilaian risiko mengikut kawasan.
Langkah tersebut akan meningkatkan keselamatan, mengurangkan masa henti dan membolehkan pengurusan risiko yang lebih tepat, ujar kededua agensi.
Gelora udara turut diberi perhatian selepas kejadian sedunia meningkat.
Selepas insiden gelora udara kuat dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 2024 yang meragut nyawa seorang penumpang, Singapura menjadi negara pertama yang mengisytiharkan gelora udara buruk sebagai risiko utama dalam penerbangan pada 2025.
CAAS dan NEA akan memperkukuh ramalan gelora udara untuk membantu syarikat penerbangan bertindak lebih awal.
Program itu juga akan mengkaji angin permukaan yang menentukan arah landasan.
Ramalan angin yang lebih tepat akan membantu pengawal trafik udara merancang pertukaran landasan lebih awal, mengekalkan keupayaan landasan dan mengurangkan gangguan kepada operasi.
Program itu turut meneliti jejak pemeluwapan yang dikaitkan dengan pemanasan sejagat.
Kededua agensi berkata mereka akan meningkatkan pengetahuan saintifik tentang fenomena ini, khususnya di Asia-Pasifik yang mempunyai keadaan atmosfera berbeza dan data terhad.
Pada 8 Disember, CAAS dan NEA menandatangani surat hasrat di Hong Kong untuk bekerjasama dengan rakan serantau bagi menangani kesan cuaca terhadap penerbangan.
Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, berkata perubahan cuaca memberi kesan besar kepada operasi penerbangan sedunia.
Singapura mengambil langkah tegas melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta penyepaduan kepakaran penerbangan dan meteorologi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg