Walaupun alat dan teknologi yang ada pada teknisyen pesawat di Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah berkembang saban tahun, kemahiran dan minda teras diperlukan bagi tugas tersebut dan ia masih tidak berubah.
Bagi Pegawai Waran Pertama (1WO) yang telah bersara, Encik Mohamed Haniffa Jainul Abitheen, beliau terlibat dalam menyelesaikan masalah secara manual, tidak kira sama ada mengesan kebocoran atau mengenal pasti bunyi aneh pada pesawat.
Kini, teknisyen boleh memasang sistem berkomputer yang menjalankan diagnostik dan mengenal pasti kerosakan dalam pesawat.
Mengimbas kembali pengalamannya menyertai RSAF pada 1969, yang ketika itu dinamakan Komand Pertahanan Udara Singapura (SADC), bekas tekniyen pesawat berusia 78 tahun itu berkata kepada Berita Harian (BH):
“Dahulu, penyelesaian masalah bergantung sepenuhnya pada usaha sendiri.
“Jika juruterbang sebut tentang bunyi aneh atau kebocoran, kami harus menyiasat dan mengesannya secara manual. Banyak kerja amali perlu dilakukan.
“Kini, semuanya berkomputer. Teknisyen boleh sambungkan kepada sistem yang membantu mengenal pasti kerosakan, menjimatkan masa dan tenaga.”
Pengalaman beliau mencerminkan evolusi RSAF, yang merupakan tema yang digambarkan di Pameran Peringatan ke-60 Angkatan Bersenjata Singapura (SAF60) yang dilancarkan di Wisma Teroka Singapura (SDC) oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pada 2 April.
Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolektif Pertahanan Singapura (DCS), Encik Joseph Tan.
Pameran SAF60 itu dianjurkan bersama oleh DCS, Nexus dan SAF.
Bertema, ‘Mempertahankan Tanah Air Kita, Menjamin Masa Depan Kita’ (Defending Our Home, Securing Our Future), pameran tersebut menyorot perkembangan SAF dari zaman awalnya kepada sebuah angkatan moden yang berteknologi maju.
Berlangsung dari 2 hingga 30 April, pameran tersebut bertujuan mengiktiraf sumbangan anggota SAF merentasi generasi – lelaki dan wanita – dalam memastikan keselamatan, kedaulatan, serta kemajuan Singapura selama enam dekad yang lalu.
Ia juga menerapkan kisah peribadi anggota SAF dan ciri interaktif, termasuk permainan.
Pengunjung boleh memenangi patung koleksi eksklusif dan pek pelekat dalam talian.
Semasa berucap di majlis pelancaran, Encik Zaqy menekankan kepentingan pameran itu sebagai satu cara untuk mengetengahkan perjalanan dan pencapaian SAF.
“Ini merupakan peluang berharga untuk mendekatkan kisah kejayaan SAF kepada setiap rakyat Singapura, dengan menyorot bagaimana komitmen, inovasi dan sokongan rakyat telah membentuk pertahanan kukuh yang kita harapkan hari ini,” ujar beliau.
Bagi Encik Mohamed Haniffa, pameran itu bukan sekadar memaparkan sejarah, malah berfungsi sebagai peringatan tentang kepentingan pertahanan negara.
“Pameran ini berfungsi sebagai peringatan penting terhadap pengajaran sejarah ini.
“Ia sentiasa bermakna untuk melawat dan merenung kembali sejarah kita... benar-benar membuka mata kita tentang masa lalu,” ujar beliau.
Selain di SDC, pameran SAF60 itu juga akan berlangsung di dua lokasi lain, iaitu di Muzium Angkatan Udara Singapura dan Muzium Angkatan Laut Singapura.
Ia kemudian akan bergerak ke beberapa lokasi awam pada bulan-bulan berikutnya.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, defencecollectivesg.com/saf60-sdc-2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg