Ketua Turus, Staf Bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming, telah meninggalkan SAF, mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Mantan Brigedier Jeneral itu mengesahkan kepada The Straits Times (ST) bahawa 31 Mac merupakan hari terakhir beliau berkhidmat dengan SAF, namun tidak mengulas mengenai perancangannya selepas ini, atau jika beliau bakal menceburi bidang politik dan bertanding dalam GE2025.
Encik Goh, 42 tahun, turut berkhidmat sebagai Inspektor Jeneral SAF dan Ketua Pegawai Kemampanan.
Peletakan jawatan Encik Goh menyusuli siri peletakan jawatan pegawai lain daripada sektor awam dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pegawai kanan itu mungkin dicalonkan dalam GE.
Encik Goh pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam SAF, termasuk Pengarah Operasi Bersama, Komander Divisyen Ketiga Singapura dan Ketua Jabatan Rancangan dan Transformasi Bersama.
Beliau pernah mempengerusikan jawatankuasa penganjur Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 2022 dan sebelum ini pernah dikerahkan ke Afghanistan.
Setakat 29 Mac, Encik Goh telah membuat profil Facebook awam baru.
Beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee.
Selain merupakan alumni Maktab Rendah Victoria, Encik Goh turut memiliki ijazah kejuruteraan awam daripada Universiti Cornell di Amerika Syarikat.
Beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam pengajian pertahanan daripada King’s College London di Britain dan ijazah sarjana dalam sains pengurusan dan kejuruteraan daripada Universiti Stanford di Amerika.
Encik Goh merupakan individu ketiga daripada SAF yang disebut-sebut sebagai calon pilihan raya yang mungkin akan bertanding dalam GE2025.
Mantan Brigedier Jeneral, Encik Dinesh Vasu Dash, telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan berkemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Calon lain yang mungkin bertanding ialah Mejar Jeneral David Neo, yang meletak jawatan sebagai Panglima Tentera pada 21 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg