Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panda Le Le perlu tunggu lagi dapat adik... Jia Jia tidak hamil

Nov 19, 2025 | 12:56 PM
Kai Kai (di atas) bermain riang dengan Jia Jia. Pasukan penjagaan haiwan dan veterinar Kumpulan Hidupan Liar Mandai berada dalam keadaan tertanya-tanya kerana Jia Jia menunjukkan beberapa tanda yang dikaitkan dengan kehamilan.
Kai Kai (di atas) bermain riang dengan Jia Jia. Pasukan penjagaan haiwan dan veterinar Kumpulan Hidupan Liar Mandai berada dalam keadaan tertanya-tanya kerana Jia Jia menunjukkan beberapa tanda yang dikaitkan dengan kehamilan. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Peminat panda yang berharap agar panda gergasi Le Le yang dilahirkan di Singapura mendapat adik pada 2025 perlu bersabar menanti.

Kumpulan Mandai Wildlife Group (MWG) pada 18 November mengumumkan bahawa ibu Le Le, Jia Jia, tidak hamil, lapor The Straits Times (ST).

Pengumuman itu dibuat selepas Pavilion Capital Giant Panda Forest di River Wonders ditutup seketika pada 21 dan 22 April lalu.

Penutupan pameran popular itu bertujuan untuk memberikan sokongan terbaik kepada panda gergasi kesayangan ramai, Jia Jia dan Kai Kai, semasa musim pembiakan mereka.

MWG berkata pasukan penjagaan haiwan dan veterinar mereka telah menyokong kededua panda itu semasa musim mengawan semula jadi mereka, serta inseminasi buatan yang dijadualkan dengan teliti pada 25 April.

Prosedur inseminasi buatan itu dilakukan mengikut protokol dan selepas berbincang dengan pakar pembiakan panda dari China, kata timbalan naib presiden Program Penjagaan Kesihatan Veterinar dan Program Saintifik MWG, Dr Heng Yirui. 

“Pasukan kami memantau tingkah laku, tahap hormon dan masa ovulasi dengan teliti untuk mengoptimumkan peluang kejayaan,” katanya.

Mereka berada dalam keadaan tertanya-tanya kerana Jia Jia menunjukkan beberapa tanda kehamilan, termasuk perubahan hormon, perubahan tingkah laku dan selera makan yang berkurangan.

Namun, menjelang akhir Oktober, Dr Heng menjelaskan bahawa Jia Jia mengalami kehamilan palsu, satu fenomena yang biasa berlaku dalam kalangan panda gergasi.

Beliau menambah bahawa walaupun itu bukan hasil yang diharapkan, ia mencerminkan cabaran semula jadi dalam mengendalikan spesies yang proses pembiakannya sangat rumit dan kompleks.

“Walaupun semua keadaan dilihat ideal, alam semula jadi mempunyai peraturannya sendiri, sebab itulah setiap kelahiran panda sangat istimewa.”

Panda gergasi betina seperti Jia Jia hanya mengalami ovulasi sekali setahun dan mempunyai tempoh subur yang sangat singkat, selalunya kurang daripada 48 jam.

“Setiap musim pembiakan adalah peluang untuk kami mendalami pemahaman dan menyumbang kepada pengetahuan bersama dalam usaha memulihara panda gergasi, sama ada di kurungan mahupun di habitat liar mereka,” jelas Dr Heng.

“Kami tahu betapa masyarakat sangat menyayangi panda gergasi kami, dan kami mengucapkan terima kasih atas sokongan ikhlas daripada semua.”

Kai Kai dan Jia Jia kekal sihat dan akan terus menjadi duta yang disayangi untuk hidupan liar dan pemuliharaan, kata Dr Heng.

Kedua-dua panda itu tiba di Singapura pada September 2012, secara pinjaman sepuluh tahun dari China. Pada 2022, tempoh tinggal mereka dilanjutkan lima tahun lagi sehingga 2027.

Selepas enam kali gagal hamil sejak ketibaan mereka, pasangan Kai Kai dan Jia Jia akhirnya berjaya menyambut kelahiran anak pertama mereka, Le Le, pada 14 Ogos 2021.

Le Le adalah anak panda gergasi pertama bagi Kai Kai dan Jia Jia. Namanya diumumkan oleh Singapura dan China pada 29 Disember 2021.
Le Le adalah anak panda gergasi pertama bagi Kai Kai dan Jia Jia. Namanya diumumkan oleh Singapura dan China pada 29 Disember 2021. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Hari ini, Le Le (panda gergasi jantan), kekal sebagai satu-satunya panda gergasi yang dilahirkan di Singapura. 

Le Le telah dihantar kembali ke China pada 16 Januari 2024, selepas sekitar dua tahun di taman River Wonders bersama ibu bapanya.

Ini adalah menurut terma perjanjian pinjaman panda yang ditandatangani antara MWG dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China.

Pada September, Kai Kai dan Jia Jia masing-masing menyambut ulang tahun kelahiran ke-18 dan ke-17.

Menurut Institut Zoologi Smithsonian, panda gergasi mencapai kematangan pembiakan antara empat hingga tujuh tahun dan boleh membiak hingga usia 20-an.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg