KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi popular di Malaysia, Fu Wa dan Feng Yi, akan dihantar pulang ke China pada Mei ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Malaysia berkata ia membolehkan Malaysia menerima pasangan baru untuk tempoh 10 tahun mulai 2025 hingga 2035.
Menurut kementerian tersebut, sebagai persediaan, Fu Wa dan Feng Yi akan menjalani proses kuarantin mulai 18 April di Pusat Konservasi Panda Gergasi (PKGP) di Zoo Negara, Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia bagi memastikan kesihatan kededua panda itu berada pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit di bawah perundangan antarabangsa serta latihan melibatkan sangkar bagi membiasakan haiwan itu bagi penerbangan ke China.
“Sepanjang tempoh kuarantin, pengunjung tidak lagi boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat, tetapi masih berpeluang melihat mereka dari pusat pembelajaran PKGP pada masa-masa tertentu,” kata kementerian itu menerusi satu kenyataan, lapor MalaysiaGazette.
Dalam kenyataannya, Zoo Negara juga telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang telah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014.
NRES berkata ia termasuk menyediakan Papan Ucapan Perpisahan, sesi bersama penjaga panda, tayangan dokumentari serta pertandingan menulis dan melukis.
Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai program tersebut melalui laman sesawang dan wadah media sosial Zoo Negara.
“Zoo Negara akan menambah baik kemudahan dan pameran di PKGP sepanjang tempoh ketiadaan panda gergasi sebagai persediaan untuk menerima pasangan panda gergasi baru yang dijadualkan pada Ogos 2025,” katanya lagi.
Sebagai rekod, kerjasama panda gergasi merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dengan China dalam memupuk diplomasi pemuliharaan.
Sehubungan itu, warga Malaysia digalak supaya mengambil peluang mengunjungi Zoo Negara bagi sama-sama menunjukkan penghargaan kepada Fu Wa dan Feng Yi serta memeriahkan program anjuran Zoo Negara.
Malaysia melalui NRES pada 16 April lalu meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi dengan China melalui pemeteraian perjanjian baru.
Ia bersempena lawatan negara Encik Xi ke Malaysia baru-baru ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg