Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pandangan awam diundang bagi rang bolehkan pemerintah peroleh artifak arkeologi

Oct 16, 2024 | 9:23 PM
Undang-undang yang dicadangkan akan mewajibkan laporan dibuat untuk penemuan artifak di tapak-tapak yang ditetapkan di darat serta di kapal karam di laut.
Undang-undang yang dicadangkan akan mewajibkan laporan dibuat untuk penemuan artifak di tapak-tapak yang ditetapkan di darat serta di kapal karam di laut. - Foto ST

Undang-undang baru yang memerlukan mereka yang menemui artifak arkeologi menyerahkannya kepada pihak berkuasa sedang digubal, sebagai sebahagian usaha melindungi warisan arkeologi Singapura.

Undang-undang yang dicadangkan itu akan memberikan Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) kuasa untuk mengisytiharkan pemilikan ke atas artifak ini, mewajibkan laporan dibuat mengenai penemuan sedemikian di tapak tertentu, dan memerlukan mereka yang menjalankan kegiatan arkeologi mendapatkan permit.

Ini adalah bidang yang pada masa ini tidak dilindungi undang-undang.

Bulan ini (Oktober), NHB melancarkan perundingan awam melalui unit maklum balas Pemerintah, Reach, untuk mendapatkan pandangan mengenai cadangan perundangannya, lapor The Straits Times.

“Tanpa perlindungan perundangan, terdapat risiko tapak arkeologi dan/atau penemuan penting di Singapura mungkin tidak mendapat perhatian pakar, penjagaan dan perlindungan yang tepat pada masanya,” kata NHB.

NHB menyatakan bahawa terdapat risiko tapak arkeologi atau barang yang ditemui boleh rosak, disimpan secara persendirian atau dijual di luar negara.

Ini mengakibatkan “kemungkinan hilangnya maklumat arkeologi berharga yang berpotensi menyumbang kepada warisan budaya Singapura”, kata NHB.

Artifak yang NHB boleh isytiharkan pemilikannya akan termasuk “objek boleh alih” yang berusia sekurang-kurangnya 75 tahun – yang akan meliputi item sejak Perang Dunia II dan zaman penjajah – yang sama ada tertimbus atau tenggelam sepenuhnya atau sebahagiannya dalam kawasan Singapura.

Undang-undang yang dicadangkan juga akan mewajibkan laporan dibuat untuk penemuan di tapak-tapak yang ditetapkan di darat serta di kapal karam di laut.

Akta Perkapalan Saudagar 1995 yang sedia ada memerlukan mereka yang menemui bangkai kapal di Singapura, atau mereka yang membawa bangkai kapal di perairan Singapura, menghantarnya kepada penerima yang dilantik oleh pihak berkuasa.

NHB menambah bahawa tiada pampasan atau ganjaran akan diberikan apabila ia memperoleh penemuan sedemikian, kerana artifak ini adalah barangan awam dan bukan barangan untuk diperniagakan.

Langkah ini bagi memastikan pemilik tanah privet tidak berhak mendapat keuntungan durian runtuh. Ia juga bagi mengelakkan kegiatan memburu harta karun, katanya.

NHB juga berkata sebarang pemerolehan akan didedahkan kepada umum, dan akan ada mekanisme rayuan terhadap pemerolehan.

Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan menjadikan perbuatan merosakkan atau memusnahkan artifak dengan sengaja sebagai satu kesalahan.

Sejak 1984, lebih daripada 30 penggalian arkeologi telah berlaku di Singapura, termasuk di tapak seperti Padang, Fort Canning dan Empress Place.

Orang ramai mempunyai masa sehingga 6 petang pada 31 Oktober untuk menghantar maklum balas mereka di pautan ini: https://form.gov.sg/66f28201bceb91d8198848f5.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg