Rayuan yang dikemukakan seorang mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) selepas beliau diberikan markah sifar kerana menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) dalam kerja sekolah akan dinilai oleh panel yang dianggotai pakar AI yang dibentuk khas oleh universiti tersebut.
Beliau antara tiga mahasiswa NTU yang diberikan markah sifar bagi satu esei yang merupakan sebahagian modul mengenai kesihatan, penularan penyakit dan politik di Sekolah Sains Kemasyarakatan.
Rayuan seorang lagi mahasiswa ditolak. Pelajar itu mengaku menggunakan alat AI dalam mengarang esei semasa siasatan awal pada April lalu, kata NTU.
Mahasiswa ketiga memberitahu akhbar The Straits Times (ST) beliau tidak mengemukakan rayuan.
Memberi respons kepada pertanyaan Berita Harian (BH), NTU berkata pada 26 Jun, ia telah bertemu dengan dua pelajar yang mengemukakan rayuan secara berasingan pada minggu ini untuk membincangkan kes masing-masing.
Namun, NTU berkata ia tidak dapat memberikan sebarang butiran lanjuit kerana proses rayuan sedang berlangsung dan pelajar tersebut telah mengemukakan rayuan secara rasmi kepada universiti.
Insiden ini mula-mula menarik minat awam selepas mahasiswa tersebut berkongsi pengalamannya di wadah perbincangan dalam talian, Reddit.
Antara lain, beliau mendakwa dirinya tidak diberi layanan adil dan proses disiplin yang dikenakan terhadapnya tidak telus.
Beliau mendakwa dihukum atas kesalahan dalam mengemukakan bukti rujukan dalam esei walaupun telah menyerahkan bukti berupa video yang menunjukkan proses penulisan esei tersebut - yang dirakam dalam masa nyata - atau sepanjang masa beliau menulis esei tersebut. Beliau menggunakan sofwe Draftback di Google Chrome untuk berbuat demikian.
Dalam satu pertukaran emel yang dilihat oleh ST, pelajar berkenaan telah menghantar versi esei yang diperbetulkan dengan rujukan yang dikemas kini kepada pensyarahnya, dan menerima ucapan terima kasih sebagai balasan — menimbulkan persoalan mengenai bagaimana kesalahan rujukan dinilai dalam siasatan pelanggaran tersebut.
Pelajar itu, yang kini berada di Tahun 3 dalam jurusan dasar awam dan hal ehwal global, berkata beliau menerima amaran akademik yang berkekalan serta pengurangan gred, walaupun telah berusaha menunjukkan niat baik dan ketelusan.
Beliau juga menyatakan bahawa semasa cuba mengemukakan rayuan rasmi, beliau menghadapi kesukaran untuk menjadualkan pertemuan yang diperlukan sebelum tarikh akhir, dan berasa seolah-olah aduannya diketepikan.
Dalam laporannya, ST berkata tiga pelajar terlibat dan esei masing-masing diteliti kerana mengandungi rujukan akademik yang tidak wujud, pautan web yang rosak, atau statistik yang tidak tepat - yang dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap integriti akademik oleh pihak universiti.
Ketiga-tiga pelajar tersebut telah diberi markah sifar untuk tugasan tersebut, yang merangkumi 45 peratus daripada gred keseluruhan modul berkenaan.
NTU telah menjalankan siasatan awal pada April dan mengadakan sesi semakan rasmi selepas itu, di mana setiap pelajar diberi peluang untuk membela diri.
Dua pelajar mengaku menggunakan alat AI, manakala seorang lagi pelajar menyatakan beliau tidak mengetahui bahawa platform yang digunakan -yang digambarkan sebagai perkhidmatan penulisan berkuasa AI - termasuk dalam kategori tersebut.
Pelajar ketiga, juga dari Tahun 4 dan kursus yang sama, berkata beliau menggunakan laman web citationmachine.net untuk menyusun rujukan dan hanya mendedahkan penggunaan ChatGPT bagi tujuan penyelidikan latar belakang selepas esei dihantar. Beliau menegaskan kandungan tugasan adalah asli dan tidak dijana oleh AI.
Beliau menyatakan telah menjalani semakan rasmi dan dikenakan markah sifar serta rekod rasmi pelanggaran akademik. Beliau turut mendakwa pensyarahnya meninggikan suara semasa sesi tersebut, dan usahanya untuk menghubungi pihak sekolah selepas itu tidak mendapat maklum balas.
Seorang lagi pelajar dari kursus yang sama, kini di Tahun 4, memberitahu ST bahawa beliau pada mulanya dikenakan pemotongan 10 markah selepas menjelaskan bahawa beliau hanya menggunakan Gen AI untuk mencari maklumat dan bukan untuk menjana teks.
Bagaimanapun, keputusan itu kemudiannya ditarik balik oleh Pegawai Integriti Akademik Sekolah, yang memberikan markah sifar tanpa pendengaran rasmi. Rayuannya turut ditolak.
Dalam kenyataan pada 26 Jun, NTU menegaskan bahawa walaupun penggunaan alat AI umumnya dibenarkan dalam tugasan merentas disiplin, pelajar perlu mengisytiharkan penggunaannya serta bertanggungjawab atas ketepatan fakta dan sumber kandungan.
Tenaga pengajar boleh melarang penggunaan AI untuk tugasan tertentu demi mencapai objektif pedagogi khusus. Dalam kes ini, penggunaan AI dilarang bagi menilai keupayaan pelajar berfikir secara bebas dan menjalankan penyelidikan kendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg