Kumpulan pengguna berkemungkinan diberi tempoh wajib untuk mempertimbangkan semula pembelian pakej prabayar yang mahal serta membatalkannya, sekiranya cadangan oleh sebuah panel diterima oleh pemerintah.

Panel tersebut, yang ditugaskan untuk menyemak semula aturan perlindungan pengguna Singapura, berkata pengguna yang mungkin berdepan tekanan penjualan yang melampau wajar diberi ruang untuk mempertimbangkan semula pembelian mereka selepas meninggalkan premis perniagaan.

Ia mencadangkan agar langkah itu dilaksanakan dalam sektor berisiko tinggi, dengan sektor kecantikan dan kesihatan dinyatakan sebagai keutamaan.

Ketika mengumumkan cadangannya pada 27 November, panel itu turut mengesyorkan ketelusan lebih tinggi dalam iklan oleh pempengaruh media sosial serta perlindungan penjualan tiket yang lebih kukuh.

Panel berkenaan telah menyerahkan tujuh cadangannya kepada pemerintah pada hari sama.

Ini merupakan semakan menyeluruh pertama terhadap aturan perlindungan pengguna Singapura sejak pindaan besar terakhir ke atas Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) pada 2018, kata pengerusi bersama panel tersebut, Encik Melvin Yong, yang juga Presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Sekiranya cadangan tersebut diluluskan, lebih ramai pengguna juga boleh membawa pertikaian mereka ke mahkamah.

Panel tersebut mencadangkan agar Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) menaikkan had asas bagi tuntutan pengguna kepada $30,000, meningkat daripada $20,000 buat masa ini.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sekiranya kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes bersetuju, had tersebut boleh dinaikkan kepada $60,000, berbanding $30,000 sekarang.

Ia turut mencadangkan supaya kategori tuntutan yang boleh dibicarakan oleh tribunal itu disemak dan diperluas bagi merangkumi pertikaian lain – seperti pertikaian melibatkan khidmat perkongsian kereta serta deposit di bawah kontrak sewaan kenderaan.

Rangka kerja perundangan juga perlu disemak bagi melindungi pengguna daripada terma kontrak standard yang mungkin menyukarkan mereka untuk mendapatkan akses kepada mahkamah, tribunal atau sebilangan proses penyelesaian pertikaian tertentu, menurut panel berkenaan.

Panel itu, yang ditubuhkan oleh pemerintah pada Mac 2025, telah mengadakan sesi rundingan selama lebih setahun bersama lebih 8,000 pengguna serta kira-kira 250 wakil perniagaan dan industri.

Ia menerima maklum balas daripada 5,522 pengguna, 26 pengendali perniagaan, 12 pempengaruh, sembilan pengantara Case serta empat anggota Persatuan Guaman Singapura bagi merangka laporannya.

Dalam kalangan 1,014 responden tinjauan yang pernah mempertimbangkan untuk memfailkan tuntutan di SCT tetapi tidak meneruskannya, seramai 42 peratus berkata tuntutan mereka melebihi had $30,000.

Sebanyak 29 peratus lagi menyatakan kesukaran mendapatkan persetujuan pihak kedua yang terlibat, bagi tuntutan berkenaan.

Dalam satu sidang media pada 27 November, Encik Yong berkata pertumbuhan e-dagang, model pembayaran baharu serta amalan perniagaan yang semakin berkembang telah mengubah cara pengguna membeli-belah dan berurus niaga.

“Meskipun perkembangan ini membawa kemudahan dan pilihan lebih luas, ia turut mendedahkan pengguna kepada risiko baharu yang semakin rumit,” katanya.

“Perlindungan pengguna dapat dijalankan secara paling berkesan apabila kemudaratan dapat dicegah sejak awal lagi, apabila pengguna diperkasa untuk membuat keputusan termaklum, dan apabila saluran pembelaan yang berkesan tersedia sekiranya berlaku sebarang masalah.”

Panel tersebut, yang dipengerusikan bersama oleh Encik Yong dan mantan Pesuruhjaya Kehakiman, Cik Foo Tuat Yien, turut dianggotai ahli akademik, wakil perundangan serta pemimpin industri yang berkaitan.

Ia meneliti bagaimana hak pengguna boleh diperkukuh, termasuk saluran pembelaan bagi pengguna yang berdepan isu barangan rosak serta kegagalan menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan.

Semakan tersebut memberi tumpuan kepada e-dagang, kerugian prabayar dan amalan jualan berunsur desakan, penjualan tiket hiburan serta akses kepada saluran pembelaan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti