Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 23 Julai.
Menurut Mindef, Jeneral Hafizuddeain berada di Singapura dari 22 hingga 24 Julai dalam rangka lawatan pengenalan.
Beliau turut melawat Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng dan Panglima Tentera Darat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Mejar Jeneral David Neo, selepas memeriksa kawalan kehormatan di Mindef.
Lawatan tersebut menegaskan semula kepentingan mengekalkan hubungan kukuh antara Tentera Singapura dengan Tentera Darat Malaysia, dan menggariskan hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan terjalin lama antara Singapura dengan Malaysia.
Encik Zaqy dan Jeneral Hafizzuddeain turut membincangkan usaha berterusan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua tentera darat.
Semasa lawatan itu, Jeneral Hafizuddeain turut melawat Komando SAF di Kem Pasir Ris.
Di sana, beliau melihat pertunjukan, ‘Close Quarters Battle’ (CQB) dan Latihan Payung Terjun di Kemudahan Latihan Tentera Udara.
Beliau juga diberi pengalaman menaiki kenderaan, Light Strike Vehicle Mark II, dan mengambil bahagian dalam pengalaman menembak dengan HK416 Assault Rifle menggunakan Man Marking Rounds.
Jeneral Hafizuddeain turut bertukar sayap penerjun dengan Mejar Jeneral Neo.
Tentera Singapura dan Tentera Darat Malaysia bekerjasama dan berinteraksi secara kerap melalui pengendalian latihan seperti Latihan Dua Hala Semangat Bersatu (XSB), lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional dan kehadiran silang kursus profesional.
Interaksi yang kerap itu telah meningkatkan persefahaman dan hubungan profesional antara anggota kedua-dua angkatan tentera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg