Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pantau rutin harian belia untuk kesan tanda penyalahgunaan dadah

Cara mempertingkatkan sokongan untuk penyalah guna belia merupakan antara topik dibincangkan dalam episod kedua dalam siri podcast No Tapis dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB)
Aug 1, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Episod kedua No Tapis dihoskan oleh koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh bersama penerbit dan penyampai podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa dengan disertai oleh , pekerja sosial daripada Khidmat Belia Alkin, Cik Farah Dina Nordin serta Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), Encik Taufiq Abdul Azim.
(Dari kiri) Episod kedua No Tapis dihoskan oleh koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh bersama penerbit dan penyampai podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa dengan disertai oleh , pekerja sosial daripada Khidmat Belia Alkin, Cik Farah Dina Nordin serta Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), Encik Taufiq Abdul Azim. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Bau yang sungguh hapak dan keadaan bilik berserak menyapa Encik Taufiq Abdul Azim sebaik sahaja beliau membuka pintu bilik seorang penyalah guna dadah. 

Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) itu melihat sebiji botol air 1.5 liter yang diisi penuh dengan air kencing.

“Biliknya gelap dan sangat busuk. Penyalah guna dadah itu sedang duduk di lantai. Misi kehidupan penyalah guna itu adalah untuk mengambil dadah. Jadi, dia bangun tidur, mungkin kencing, hisap dadah, ambil Ice.”

Demikian pengalaman yang dikongsi oleh Encik Taufiq semasa diundang dalam episod kedua dalam siri khas podcast Berita Harian, No Tapis dengan kerjasama CNB.

Episod kedua ini yang dihoskan oleh penerbit dan podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa bersama koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh, menyentuh tentang mempertingkatkan sokongan untuk belia bersama Encik Taufiq serta pekerja sosial daripada Khidmat Belia Alkin, Cik Farah Dina Nordin.

Watch on YouTube

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Taufiq berkata terdapat beberapa petanda yang dipamerkan oleh seseorang yang sudah ketagih dadah.

“Petanda fizikal, sebagai contoh, kalau seorang itu mengambil dadah Ice, dia memang susah nak tidur. Dia tidak akan tidur selama berhari-hari. Kadang-kadang selama beberapa hari, dia akan main ‘game’ saja. 

“Kedua, persekitarannya akan memberi bayangan keadaannya. Contohnya, mesej dalam telefon bimbitnya menggunakan lingo dadah,” kata Encik Taufiq.

Lingo dadah seperti “sejuk” atau emoji gambar rumput digunakan dan hal ini adalah tanda-tanda bahawa perbualan mereka adalah tentang dadah, tambahnya. 

Hal ini dipersetujui Cik Farah Dina yang mengatakan bahawa pemantauan rutin harian belia akan mendedahkan kegiatan mereka.

“Kita tengok rutin seharian mereka. Selalunya, mereka mulakan dalam bilik, tak keluar-keluar. Kadang-kadang tak mandi atau sikap mereka menjadi aneh. Mereka cuba untuk berkelakuan normal, tapi tak normal bila kita tengok. 

“Kita pantau waktu mereka pulang ke rumah. Mereka mungkin balik lambat atau sengaja pulang sewaktu ibu bapa tengah tidur. Mereka lakukan begini supaya ibu bapa tidak melihat keadaan mereka apabila pulang ke rumah,” jelas Cik Farah Dina.

Jika dikesan bahawa anak anda sudah penyalahgunaan dadah, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan bantuan, nasihat mereka. 

View post on Instagram
 

Menurut Encik Taufiq, laporan boleh dibuat kepada pegawai CNB untuk melakukan siasatan lanjut.

“Jika anda mengesyaki anak anda atau belia terlibat dalam penyalahgunaan dadah, anda boleh telefon hotline CNB dan pegawai CNB akan memberikan nasihat. Daripada siasatan kami nanti, belia tersebut akan diletakkan ke dalam satu daripada tiga kategori.”

Tambahnya, laluan pemulihan bergantung kepada penilaian risiko penyalah guna untuk mengulangi kesilapannya. 

Kata Encik Taufiq, kategori pertama ialah mereka yang berisiko rendah. 

Mereka akan disalurkan ke program Skim Pengawasan Dipertingkatkan Belia (YES) , yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan disasarkan kepada penyalah guna di bawah usia 21 tahun.

Bagi memastikan para belia menerima sokongan mencukupi, anggota keluarga dilibatkan dalam sesi kaunseling dan dilengkapi dengan pendekatan keibubapaan untuk membantu anak mereka terus bebas dadah sementara belia itu pula akan mempelajari kemahiran baru agar menjauhkan diri dari dadah. 

Di bawah skim ini, para belia itu juga perlu menjalani ujian air kencing secara tetap di CNB dan pada masa sama, melalui sesi kaunseling. 

“Kategori yang kedua pula adalah untuk mereka yang berisiko sederhana. 

“Dalam fasa pertama kategori ini, mereka perlu tinggal di Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) dengan keizinan untuk pergi ke sekolah dan kerja. Dalam fasa kedua, mereka dibenarkan pulang ke rumah tetapi dikenakan ‘tagging’,” ujar Encik Taufiq.

Pegawai CNB, Encik Taufiq Abdul Azim berkongsi pengalamannya menangani penyalah guna belia.
Pegawai CNB, Encik Taufiq Abdul Azim berkongsi pengalamannya menangani penyalah guna belia. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

CRC merupakan aturan pemulihan (step-down) selama 12 bulan untuk penyalah guna dadah belia kali pertama yang sudah selesai tempoh tahanan singkat di Pusat Pemulihan Dadah (DRC). Ini boleh dibahagikan kepada dua fasa. 

Fasa pertama, pesalah belia harus menetap di sebuah CRC yang menawarkan khidmat kaunseling dan mengizinkan mereka menghadiri sekolah atau bekerja di luar CRC.

Fasa kedua pula, mereka akan dinilai kesesuaian untuk pulang ke rumah tetapi akan perlu memakai alat pantauan elektronik atau ‘tagging’. Mereka juga akan terus menerima kaunseling serta pengawasan dan sokongan dari anggota keluarga. 

“Kategori ketiga ialah mereka yang berisiko tinggi. Mereka akan dimasukkan ke DRC yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) di mana jenis program, intensiti dan tempoh pemulihan adalah berbeza-beza bergantung mengikut keperluan pemulihan individu,” kata Encik Taufiq.

Encik Taufiq menekankan bagi mereka yang disalurkan kepada YES, CRC dan DRC, dan tidak disiasat untuk kesalahan lain, mereka tidak akan mempunyai rekod jenayah.

View post on Instagram
 

Cik Farah Dina pula menambah jikalau ibu bapa takut untuk menghubungi CNB, mereka boleh meminta bantuan daripada Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC).

“Ibu bapa boleh ke FSC di estet kejiranan mereka. Di sana, mereka boleh berbual dengan pekerja sosial untuk mendapatkan nasihat. Ada pertolongan dan komuniti yang sedia membantu mereka yang takut untuk menghubungi CNB. 

“Untuk program YES, kaunseling yang kami sediakan adalah untuk memberi sokongan kepada belia supaya mereka faham dorongan di sebalik tindakan mereka,” kata Cik Farah Dina.

Tambahnya, sokongan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memberi motivasi supaya anak-anak belia mereka tekal berubah dan menjauhi dadah.

Mengulas tentang peningkatan penggunaan dadah dalam kalangan anak muda, Encik Taufiq merumuskan bahawa terdapat dua faktor utama.

“Pertama adalah pengaruh kawan. Kebanyakan penagih belia mengambil dadah dengan kawan-kawan. Pembekal mereka juga ialah kawan-kawan. 

“Kedua, maklumat yang salah dalam media sosial, seperti TikTok, Facebook dan sebagainya. Belia senang mempercayai maklumat yang mereka dapat di media sosial tanpa usul periksa. 

Ada yang percaya mengambil dadah seperti ganja tidak ada ketagihan atau kesan buruk. Namun, penyelidikan pakar menunjukkan masalah ketagihan dan kesan sampingan berlaku apabila mereka cuba berhenti.”

Cik Farah Dina mengatakan bahawa pemantauan rutin harian belia akan mendedahkan kegiatan mereka.
Cik Farah Dina mengatakan bahawa pemantauan rutin harian belia akan mendedahkan kegiatan mereka. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sehubungan dengan ini, Cik Farah Dina menekankan bahawa ibu bapa harus memantau kegiatan media sosial anak-anak dan mengukuhkan komunikasi dengan anak-anak tanpa mengira peringkat usia mereka.

“Yang paling penting adalah kita boleh berkomunikasi. Kita bincang tentang hal-hal yang relevan untuk anak-anak kita. Apa yang mereka gemar tengok? Apa yang mereka suka baca sekarang? Sebenarnya, yang paling senang adalah bercakap tentang kegiatan sehari-hari. Apa yang kita buat hari ini? Di sekolah, kita belajar apa?

“Ia bermula dari situ. Adakan perbualan tentang rutin harian. Dari situ, selepas lebih selesa dengan satu sama lain, baru boleh berbual tentang perkara yang lebih serius atau kontroversial,” ujar Cik Farah Dina. 

-
Imbas Kod QR untuk baca lebih lanjut tentang penyalah guna dadah belia di laman web CNB
Imbas Kod QR untuk baca lebih lanjut tentang penyalah guna dadah belia di laman web CNB - CNB
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg