Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ancaman Dadah Melalui Media Sosial Dan Peranan Ibu Bapa

Peranan ibu bapa mencegah anak-anak mereka dalam penyalahgunaan dadah merupakan antara topik dibincangkan dalam episod pertama dalam siri podcast No Tapis dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB)
Jul 4, 2024 | 4:37 PM
Episod pertama podcast No Tapis dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB) disertai oleh (dari kanan) Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang juga berkhidmat dalam Lembaga Anggota Pelawat, Perkhidmatan Penjara Singapura, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; pakar ketagihan daripada Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Cik Nasirah Nasir; hos dan penerbit podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa, dan hos bersama, Koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh.
Episod pertama podcast No Tapis dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB) disertai oleh (dari kanan) Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang juga berkhidmat dalam Lembaga Anggota Pelawat, Perkhidmatan Penjara Singapura, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; pakar ketagihan daripada Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Cik Nasirah Nasir; hos dan penerbit podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa, dan hos bersama, Koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh. - Foto BM oleh KHALID BABA

Watch on YouTube

Pemaparan gaya hidup sensasi pengedar dadah dan kemudahan mendapatkan dadah melalui platform media sosial adalah antara sebab penularan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Lantaran itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanda-tanda awal dan berusaha membina komunikasi terbuka sebagai cara mencegah penyalahgunaan dadah.

Demikian perkongsian pakar ketagihan daripada Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Cik Nasirah Nasir, dalam podcast Berita Harian, No Tapis yang menyentuh tentang gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia dan peranan yang perlu dimainkan ibu bapa dalam menangani hal ini.

Turut menyertai perbincangan ialah Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang juga berkhidmat dalam Lembaga Anggota Pelawat, Perkhidmatan Penjara Singapura, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

Penerbit podcast No Tapis, Cik Natasha Mustafa bersama koresponden, Encik Anwar Saleh merupakan hos sesi podcast. 

Punca terjebak 

Mengulas tentang penularan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, Cik Nasirah berkata bahawa penagihan dadah berlaku tanpa mengira bangsa, latar belakang ekonomi dan tahap pendidikan seseorang.

“Banyak sebab yang membawa kepada penagihan dadah. Antaranya, mereka ingin lari daripada sesuatu masalah. Mereka menggunakan dadah sebagai jalan keluar yang dapat hilangkan perasaan marah atau stres. Ada juga yang ikut kawan.

“Bagi mereka yang melihat ahli keluarga sendiri terlibat dalam dadah, itu juga adalah titik permulaan,” kata Cik Nasirah yang sudah berkhidmat sebagai pakar ketagihan selama enam tahun.

Menurutnya lagi, demografi penagih dadah yang ditanganinya berada dalam peringkat usia belasan tahun, termasuk pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah.

“Di TikTok contohnya, penjual menggunakan kod nama dan tidak dicatat secara terus terang nama dadah yang dijual dalam beg kuning. Sebaliknya, mereka gunakan nama-nama yang ‘trendy’ supaya orang tidak dapat kesan bahan yang dijual itu,” tambahnya.

Nak cuba-cuba

View post on TikTok

Menyentuh tentang tekanan daripada rakan dan perasaan ingin tahu golongan belia, Ustaz Tarmizi menasihatkan agar mereka mengelak daripada bereksperimen dengan perkara yang boleh membawa kemudaratan.

“Anak-anak muda ini sebenarnya nak cuba-cuba saja. Tapi dari situlah, permulaannya.

“Menurut satu hadis, apa yang haram dalam kuantiti yang besarnya juga haram pada kuantiti yang kecilnya. Apabila kita gunakan itu sebagai satu analogi, dadah pun begitulah kerana ia memudaratkan dan boleh menghilangkan daya pemikiran kita.

“Jadi, cuba-cuba ini masalah... Dari situ nanti, satu perkara membawa kepada yang lain. Jadi nasihat saya adalah untuk lebih berhati-hati. Kalau nak hilangkan stres, ada bermacam-macam cara yang lain,” katanya.

Komunikasi terbuka

View post on TikTok

Dalam hal ini, Ustaz Tarmizi menasihati ibu bapa supaya membina jalinan komunikasi yang terbuka dengan anak-anak dan sentiasa mengambil tahu tentang kegiatan harian mereka.

Beliau mengingatkan yang amanah kita sebagai seorang ibu dan ayah adalah untuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik.

“Dalam didikan itu, pastinya kita akan sebutkan perkara-perkara ataupun kebiasaan yang boleh mendatangkan kemudaratan.

“Di situlah, kita selitkan tentang rokok, malahan juga tentang makan minum yang kurang sihat dan kita boleh juga bangkitkan isu dadah ini.

“Jadi daripada prinsip yang umum ini, jikalau ada sesuatu yang boleh mendatangkan masalah, kemudaratan, penyakit, ketagihan, kita seharusnya menjauhkan diri kita,” tambah Ustaz Tarmizi.

Cik Nasirah bersetuju tentang peri pentingnya mencari ‘entry points’ atau titik masuk dalam perbualan bersama anak-anak untuk menyentuh tentang isu tabu seperti dadah.

“Apabila mereka pulang dari sekolah ataupun pesta, tanyakan tentang keadaan mereka. Walaupun dalam konteks Asia, isu dadah dianggap tabu, ibu bapa perlu bersikap telus dan mencipta ruang selamat untuk berbincang tentang hal ini bersama anak-anak.

“Jangan cakap ‘tak boleh’ tanpa memberi penjelasan. Lakukan perbincangan terbuka dan jangan cepat menghukum.

“Ibu bapa juga elak daripada mencemuh keadaan anak itu dengan menyatakan bahawa dia sudah tidak ada harapan atau tidak boleh diselamatkan,” katanya yang turut mengendalikan kaunseling dan kumpulan penyokong pemulihan di Sana.

Menurutnya lagi, ibu bapa boleh mengambil tindakan dari peringkat awal untuk mencegah ketagihan dadah dalam kalangan belia.

Apabila anak-anak itu dikesan pada peringkat ketagihan, langkah pemulihan dan rawatan lain akan diberikan.

Ruang selamat

Hal ini turut diakui oleh Ustaz Tarmizi yang menegaskan peri pentingnya ibu bapa tidak berputus asa terhadap anak-anak mereka.

“Jangan menghilangkan harapan anak itu, seolah-olah macam seluruh keluarganya sudah mengabaikan dan meninggalkan dia. Seolah-olah dia tidak dapat pulih dan taubat daripada kesilapan yang telah dilakukannya.

“Mungkin kesilapan ini sudah pun dia kesali. Unit keluarga perlu menjadi satu tempat yang selamat untuk anak itu kembali pulang,” tambah Ustaz Tarmizi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg