Tiada pilihan raya kecil akan diadakan di GRC Marine Parade-Braddell Heights susulan peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kata Menteri Pendidikan, yang juga Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Desmond Lee.

Bercakap kepada wartawan pada 20 Julai di cawangan PAP Kembangan di Blok 413 Eunos Road, Encik Lee berkata Anggota Parlimen (AP) sedia ada akan tampil ke hadapan untuk menjaga kebajikan penduduk Kembangan.

Pasukan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights kini akan diterajui Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; dan Cik Diana Pang.

Beliau menambah perancangan lanjut tentang bagaimana pasukan tersebut akan diperkukuh akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menukil situasi GRC Jurong dan GRC Sengkang satu ketika dahulu, yang juga tidak melalui pilihan raya kecil selepas terdapat perubahan pada anggotanya, Encik Lee – yang ditemani Encik Seah, Encik Goh dan Cik Pang, manakala Cik Tin tiada di Singapura – berkata:

“Tiada pilihan raya kecil akan diadakan. Perkara utama adalah memastikan keperluan penduduk dipenuhi dengan secukupnya.”

Tiada pilihan raya kecil diadakan dalam sejarah baru-baru ini selepas AP daripada golongan minoriti meninggalkan kerusi mereka di Parlimen.

Pada 2021, bekas AP Parti Pekerja (WP) Cik Raeesah Khan, yang mewakili GRC Sengkang, meletakkan jawatan selepas berbohong di Parlimen.

AP GRC Aljunied ketika itu, Encik Faisal Manap, tampil membantu untuk mengambil alih tugasnya.

Pada Januari 2024, bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, yang mewakili GRC West Coast, meletakkan jawatan daripada Parlimen dan PAP selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) secara rasmi mengumumkan pertuduhan jenayahnya.

Encik Lee, yang ketika itu AP GRC West Coast, berkata bahawa pasukannya akan bekerjasama dengan penduduk untuk terus berkhidmat di kawasan tersebut.

Encik Lee menambah bahawa keempat-empat AP di GRC Marine Parade-Braddell Heights itu akan meningkatkan usaha bagi memastikan penduduk Kembangan daripada semua lapisan masyarakat dan pelbagai latar belakang dijaga dengan baik.

“Kami akan berkhidmat untuk mereka dengan sepenuh hati kami,” ujar Encik Lee, yang berkongsi perkembangan itu di pejabat cawangan di mana sesi bertemu penduduk Dr Faishal dijalankan sebelum ini.

Awal dari itu, Dr Faishal meletak jawatan sebagai penjawat politik, AP dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas ‘alasan peribadi’ pada 20 Julai.

Dr Faishal dan seorang wanita telah berbalas kiriman di dalam talian dan bertemu di acara awam, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga telah menerbitkan surat yang dikirim Dr Faishal kepada Encik Wong.

Dalam surat itu, Dr Faishal berkata tiada hubungan fizikal antara beliau dengan wanita itu dan beliau tidak berhasrat supaya interaksi mereka menjadi hubungan fizikal.

Namun, Dr Faishal berkata beliau sedar kelakuan beliau tidak memenuhi standard yang dikehendaki dan dalam kegagalannya untuk menetapkan sempadan hubungan jelas di tahap lebih awal.

Apabila ditanya mengenai batasan yang perlu dipatuhi oleh AP memandangkan mereka kerap berkomunikasi dengan penduduk melalui WhatsApp dan media sosial, Encik Lee berkata bahawa terdapat kod tingkah laku bagi semua pemegang jawatan dan AP, yang perlu diterapkan dalam tindakan seharian mereka.

Beliau menambah bahawa AP harus menurutinya sama ada ketika interaksi fizikal, komunikasi dalam talian atau dalam perkara yang mereka perkatakan atau lakukan.

“Dan saya fikir apabila ia berkaitan dengan komunikasi dalam talian, perkara ini terpakai dengan ketetapan yang sama,” katanya.

Beliau berkata piawaian yang ditetapkan oleh PAP untuk semua AP dan pemegang jawatan telah digariskan dengan jelas, dan Encik Wong menghantar kod tingkah laku tersebut kepada mereka semua pada setiap tahun.

Tambah Encik Lee, keputusan Dr Faishal untuk meletakkan jawatan adalah sesuatu yang menyakitkan, namun ia merupakan tindakan yang betul.