Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah melantik Cik Bernadette Giam sebagai Pengerusi Cawangan Sengkang East berkuat kuasa 23 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan pada 23 Januari, PAP menyatakan bahawa Cik Giam akan mengambil alih tugas daripada Encik Marcus Loh.
Encik Loh, kata PAP, akan membantu dalam memastikan peralihan tersebut berjalan dengan lancar.
Pengerusi Cawangan Sengkang West, Dr Lam Pin Min, berkongsi rasa penghargaan beliau kepada Encik Loh dalam satu catatan di Facebook pada hari yang sama.
“Encik Loh telah meninggalkan kesan yang berkekalan dan positif kepada rakan seperjuangan serta penduduk yang pernah bekerja dan berinteraksi dengannya,” kata Dr Lam.
Dalam catatan tersebut, beliau turut akui bahawa peranan sebagai pengerusi cawangan mencabar dan boleh memberi kesan kepada kehidupan peribadi.
Dengan itu, beliau hormati keputusan Encik Loh untuk melepaskan jawatan tersebut.
“Kami akui masa dan komitmen sebagai pengerusi cawangan agak mencabar dan sering memberi kesan besar ke atas kehidupan sendiri.
“Kami memahami serta menghormati permintaan Marcus (Encik Loh) untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi cawangan,” kata Dr Lam.
Cik Giam adalah Pengarah di Creative Eateries, sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B), yang memiliki jenama seperti Suki-ya, Bangkok Jam dan Barossa Steak & Grill.
Beliau memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat tersebut, di mana beliau terlibat dalam perancangan korporat, mengurus inisiatif strategik dan pembangunan perniagaan.
PAP menyatakan bahawa Cik Giam telah berkhidmat sebagai sukarelawan masyarakat selama lebih 10 tahun dan menyumbang dalam aspek seperti memperkasa wanita, menyokong belia dan warga emas.
Sepanjang tempoh itu, beliau telah memperjuangkan pemerkasaan wanita melalui inisiatif yang mengutamakan sokongan bagi wanita muda yang bekerja.
Beliau juga telah memimpin inisiatif pertama All Things Nice oleh Sayap Wanita PAP dengan kerjasama cawangan PAP lain.
Inisiatif tersebut berjaya memperkasakan 300 wanita muda dengan pakaian korporat terpakai dan sokongan program yang bernilai dari perusahaan kecil dan sederhana yang juga diterajui oleh wanita.
Beliau juga pernah berkhidmat kepada Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dari 2016 hingga 2022, yang menghubungkan wanita muda dengan pemimpin industri bagi memperluas rangkaian profesional mereka.
Cik Giam juga memimpin program perintis yang mendekati prasekolah dalam GRC Pasir Ris-Punggol, yang menyatukan prasekolah tempatan untuk memupuk hubungan komuniti dan ikatan antara generasi.
Cik Giam juga telah berkhidmat sebagai anggota Jawatankuasa Penasihat Pengurusan Perniagaan di Politeknik Nanyang (NYP) sejak 2016, serta di Persatuan Alumni Convent of the Holy Infant Jesus (CHIJ).
Cik Giam merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Rangkaian Pemimpin Perniagaan Muda (YBLN) di bawah Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), di mana beliau berharap dapat mengukuhkan ekosistem sokongan untuk pemimpin perniagaan muda, serta menggalak inovasi dalam industri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg