Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembentukan EBRC: Bila GE2025 dijangka diadakan?

Para pengamat percaya rakyat akan keluar undi sekitar Mei; perubahan sempadan dijangka berlaku di kawasan flat-flat baru
Jan 23, 2025 | 2:33 PM
Dalam empat pilihan raya lalu, masa antara pembentukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dengan Hari Mengundi adalah antara empat hingga 11 bulan.
Dalam empat pilihan raya lalu, masa antara pembentukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dengan Hari Mengundi adalah antara empat hingga 11 bulan. - Foto ST

Pembentukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 22 Januari memulakan proses pilihan raya untuk Singapura.

The Straits Times (ST) bercakap dengan penganalisis mengenai bilakah pilihan raya umum (GE) dijangka berlangsung, dan apakah perubahan sempadan yang boleh dijangkakan.

1. Bilakah GE2025 akan diadakan?

Pilihan raya umum (GE) akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya November 2025. Dalam empat pilihan raya lalu, masa antara pembentukan jawatankuasa sempadan pilihan raya dengan Hari Mengundi adalah antara empat hingga 11 bulan.

Kebanyakan pemerhati politik yang bercakap dengan ST – termasuk mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Inderjit Singh, dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin – percaya rakyat Singapura akan keluar mengundi sekitar Mei, selepas pengumuman Belanjawan pada 18 Februari.

Mei lebih berkemungkinan berbanding Jun, apabila ramai rakyat Singapura akan berada di luar negara kerana cuti sekolah, kata Profesor Madya Bilveer Singh, yang merupakan timbalan ketua jabatan sains politik Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau juga berpendapat pemilihan itu akan diadakan sebelum Dialog Shangri-La dari 30 Mei hingga 1 Jun.

“Jadi ia mungkin pada awal Mei, dengan Parlimen dibubarkan pada minggu kedua atau ketiga April, seperti yang berlaku pada pilihan raya 2011,” katanya.

Profesor Madya Undang-Udang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Eugene Tan, yang juga mantan NMP, menjangkakan pilihan raya akan diadakan seawal separuh kedua April, selepas Parlimen meluluskan Belanjawan.

“Mei adalah satu lagi kemungkinan. Saya menjangkakan GE akan dijalankan pada separuh pertama tahun ini (2025).”

Beliau menambah: “Julai terlalu hampir dengan sambutan Hari Kebangsaan SG60. Tidak mungkin Parlimen ke-14 sekarang akan melengkapkan keseluruhan penggal lima tahunnya yang berakhir pada 23 Ogos 2025, yang bermaksud GE selepas Ogos mungkin tidak berlaku.”

Namun, Profesor Madya Sains Politik NUS, Dr Chong Ja Ian, berkata EBRC mengikut sejarah mengambil masa tiga hingga lapan bulan untuk melaksanakan tugasnya, jadi paling awal, pilihan raya boleh diadakan mungkin sekitar Jun 2025.

2. Bagaimana sempadan boleh dirangka semula?

Seperti yang biasa berlaku, jawatankuasa itu telah diminta mengambil kira perubahan ketara dalam bilangan pengundi disebabkan oleh peralihan penduduk dan pembangunan perumahan.

Tetapi tidak seperti jawatankuasa sebelumnya yang dibentuk menjelang pilihan raya umum dari 2011 hingga 2020, ia tidak diminta mewujudkan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) yang lebih kecil atau memastikan bilangan minimum tertentu Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Sebaliknya, ia diminta untuk “mengekalkan saiz purata GRC, bahagian AP yang dipilih daripada SMC, dan nisbah purata pemilih kepada AP yang dipilih, yang semuanya kira-kira sama seperti pada pilihan raya umum lalu”.

Istilah-istilah itu diungkapkan secara berbeza daripada sebelumnya, tetapi mengekalkan parameter utama untuk mempunyai GRC yang lebih kecil dan lebih banyak SMC, kata felo penyelidik kanan Institut Kajian Dasar, Dr Gillian Koh.

Profesor Tan daripada SMU berkata, terma tersebut menunjukkan bahawa sebarang lakaran semula sempadan pilihan raya yang diperlukan tidak seharusnya menyebabkan saiz purata GRC, bahagian AP daripada SMC, dan nisbah AP kepada pengundi yang terlalu berbeza daripada pilihan raya lalu. Iaitu, tidak mungkin ada lakaran semula yang ketara pada peta pilihan raya.

3. Di manakah mungkin kita lihat paling banyak perubahan?

Perubahan sempadan berkemungkinan besar berlaku di kawasan di mana flat baru dibina, kata para penganalisis itu.

Sepanjang lima tahun lalu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menyiapkan 92 projek perumahan yang sebelumnya tertunda ekoran pandemik – terdiri daripada kira-kira 75,800 flat baru.

Dr Koh berkata dengan perkembangan baru di kawasan kejiranan Punggol, Tengah, Bidadari dan Yishun, akan berlaku perubahan ketara dalam penduduk sejak pilihan raya lalu.

Sempadan juga mungkin akan dilakar semula di kawasan pilihan raya di kawasan tersebut untuk mencerminkan peningkatan bilangan pengundi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg