Parti Tindakan Rakyat (PAP) mahu melibatkan diri dengan lebih ramai warga Singapura, berkomunikasi dengan lebih baik dan mengatur kegiatan parti dengan lebih jitu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini sebahagian kemas kini yang diberikan setelah parti pemerintah itu melalui penyegaran semula yang dikenali sebagai ‘Refresh PAP’ sepanjang tempoh enam bulan lalu yang dipimpin Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee dan pasukan generasi keempat (4G).
Latihan tersebut melibatkan lebih 2,300 aktivis yang telah mendekati pelbagai kumpulan warga Singapura.
Memberi ucapan kepada sekitar 400 hadirin semasa acara penghargaan bagi aktivis dan rakan kerja PAP di Pusat Konvensyen dan Expo Sands pada 8 Jun, Encik Wong, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PAP, berkata parti tersebut mahu mendekati lebih ramai warga Singapura melalui Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC).
“Anggota Parlimen (AP) PAP akan meningkatkan usaha penglibatan mereka melalui GPC. Kami mahu melibatkan bukan sahaja aktivis kami sendiri, tetapi juga kumpulan masyarakat dan pihak berkepentingan yang lebih luas, supaya mereka boleh mewakili pandangan anda, dan kami boleh mengadakan perbincangan dan perbahasan yang lebih berkesan di Parlimen,” kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa meskipun dalam PAP sendiri ia mempunyai pelbagai kumpulan seperti Sayap Wanita, PAP Muda dan Kumpulan Warga Emas PAP yang kerap mendekati masyarakat masing-masing, “semakin hari, cabaran utama yang kami hadapi merentasi garis demografi tradisional”.
Oleh itu, PAP akan membentuk dua kumpulan baru – Kumpulan Kesihatan Mental yang dipimpin Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary; dan Kumpulan Tindakan Iklim yang dipimpin Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Kumpulan itu akan berusaha memaklumkan dan membentuk dasar serta rancangan pemerintah PAP dengan lebih baik dalam kedua-dua bidang ini, kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa kedua-dua isu itu – kesihatan mental dan perubahan iklim – merupakan “isu utama yang juga mempunyai kepentingan nasional”.
“Sebagai sebuah Parti, kami ingin menggunakan kumpulan ini untuk melibatkan aktivis kami dan juga semua pihak berkepentingan dengan lebih baik, sama ada profesional penjagaan kesihatan, kumpulan alam sekitar, organisasi masyarakat atau individu,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan sesiapa sahaja yang mempunyai minat terhadap isu tersebut agar menyertai kumpulan itu dan melibatkan diri dalam perbincangan yang akan diadakan.
“Kami mahu mendengar pandangan anda. Kami mahu mendengar maklum balas dan saranan anda. Ayuh sama-sama cari tujuan sama dan bekerjasama untuk menjadikan Singapura lebih baik,” kata Encik Wong.
Di samping itu, Encik Wong mengatakan PAP mahu memperbaiki komunikasi parti dengan warga Singapura.
“Sebagai parti dalam pemerintah, beberapa komunikasi yang kami lakukan tidak berkaitan dengan parti. Ia adalah komunikasi pemerintah, terutamanya dalam hal menjelaskan dasar pemerintah.
“Tetapi sebagai sebuah parti politik, kami juga perlu mempunyai saluran komunikasi yang berkesan. Kami tidak boleh hanya bergantung kepada perkhidmatan awam atau pemerintah untuk menyampaikan dasar. Parti itu sendiri perlu mempunyai komunikasi yang berkesan,” tekan beliau.
Meskipun akur cara komunikasi tradisional seperti berjumpa penduduk kekal penting, beliau berkata PAP perlu melakukan lebih usaha melalui saluran digital untuk memperluas pendekatannya.
Ini akan dilakukan dengan memperbaiki lagi kandungan yang disampaikan melalui wadah digital seperti TikTok, YouTube, Instagram, Facebook dan WhatsApp.
Dalam pada itu, Encik Wong juga berkata bagi memastikan PAP merupakan parti bagi semua warga, “kami mesti memastikan pintu kami sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertai kami”.
“Parti ini perlu menjadi parti yang berkhidmat bagi semua warga Singapura, dan PAP berusaha untuk menjadi sebuah gerakan nasional. Bukan sekadar parti politik, tetapi gerakan nasional untuk Singapura dan warga Singapura,” ujarnya.
Oleh itu, PAP mahu meluaskan lagi rangkaian ‘Rakan PAP’ dengan melibatkan organisasi korporat, perkhidmatan sosial atau individu biasa yang mempunyai idea atau mahu membantu membangunkan Singapura yang lebih baik.
“Selagi anda memiliki tujuan sama dengan PAP dan ingin membuat sumbangan kepada Singapura, kami mahu bekerjasama dengan anda. Kami mahu membawa Singapura ke hadapan bersama-sama,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg